10 Fakta Menarik Pemain Termahal Premier League, Alexander Isak

Share

Jendela perpindahan bagi liga-liga di Eropah akhirnya di tutup semalam dengan tumpuan pastinya lebih ke aras Premier League. Antara nama yang paling disebut akan beprindah ialah pemain Newcastle United, Alexander Isak ke pasukan juara bertahan liga, Liverpool.

Pertama sekali, nama Alexander Isak sememangnya cukup sinonim di kalangan peminat bola sepak Inggeris. Dia bukan sekadar penyerang moden dengan rekod klinikal di hadapan gawang, tetapi juga figura yang mencipta pelbagai naratif menarik sepanjang kariernya.

Foto: LFC

Perpindahan dramatik ke Liverpool semalam menjadi puncak kepada sebuah perjalanan yang penuh dengan pencapaian, liku-liku dan momen yang mengukuhkan reputasinya sebagai salah seorang penyerang paling berpengaruh di generasi ini.

Drama sebelum perpindahannya ke Anfield mendapat perhatian global. Isak dilaporkan enggan menyertai sesi latihan pramusim bersama Newcastle United, satu tindakan yang cukup kontroversi.

Desas-desus mengenai janji yang tidak ditunaikan mula tersebar, sekaligus menimbulkan spekulasi bahawa pintu keluar semakin hampir. Akhirnya, Liverpool tampil dengan tawaran berani bernilai £125 juta, sekali gus memecahkan rekod perpindahan British.

Foto: LFC

Dengan kontrak enam tahun dan jersi nombor 9 yang ikonik, Isak kini sah bergelar tonggak utama The Reds.

Berikut adalah 10 fakta menarik tentang Alexander Isak:

  1. Digelar “Swedish Zlatan” – Gaya permainan dan fizikalnya sering dibandingkan dengan Zlatan Ibrahimović.
  2. Debut profesional pada Usia 16 Tahun – Menjadi penjaring termuda dalam sejarah Allsvenskan bersama AIK.
  3. Cabaran di Borussia Dortmund – Pindah ke Bundesliga pada 2017, namun gagal menyerlah di Jerman.
  4. Bangkit di Real Sociedad – Menjadi penjaring utama kelab dan membantu meraih trofi Copa del Rey.
  5. Rekod cemerlang di Newcastle United – Menjaringkan 62 gol dalam 109 penampilan antara 2022 hingga 2025.
  6. Bawa trofi ke St. James’ Park – Menyumbang gol penting untuk kejayaan EFL Cup 2025, menamatkan kemarau 70 tahun.
  7. Rekod gol pantas – Pernah mencatat salah satu gol terpantas dalam sejarah Newcastle United.
  8. Identiti Eritrea-Sweden – Lahir di Solna kepada ibu bapa Eritrea, menjadikannya simbol kejayaan diaspora.
  9. Perpindahan rekod ke Liverpool – Pada 1 September 2025, sah berpindah ke Anfield dengan nilai £125 juta, menjadikannya sebagai pemain termahal Premier League.
  10. Pemain Antarabangsa Sweden – Sejak 2017, menjadi pemain tetap skuad kebangsaan dan muncul dalam PFA Team of the Year musim 2024/25.
Foto: LFC

Kini bersama Liverpool, cabaran baharu menanti. Isak bukan sahaja perlu membuktikan nilai rekod perpindahannya, tetapi juga menggalas tanggungjawab sebagai wajah baharu serangan The Reds.

BACA: Pemain Bola Sepak Terkenal Sebelum dan Selepas Melakukan Transplan Rambut

Dengan profilnya sebagai penyerang moden serba boleh, gabungan fizikal 1.92 meter, teknik halus, serta visi taktikal, Alexander Isak dilihat sebagai pelaburan masa depan yang mampu memberi impak besar di Anfield.

Perjalanannya dari Solna ke Merseyside adalah bukti bahawa disiplin, keberanian, dan keinginan untuk terus maju mampu membawa seorang pemain ke puncak dunia bola sepak.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim