
Nama High Council sudah cukup kuat untuk membawa bayangan tentang kuasa, hierarki dan dunia sekolah berasrama yang penuh persaingan. Namun menerusi KUDRAT 1968: High Council, francais ini mahu membawa penonton jauh ke belakang — ke sebuah zaman yang menjadi titik awal kepada sistem, budaya dan legasi yang akhirnya membentuk dunia High Council seperti yang dikenali hari ini.
Astro Shaw baru-baru ini memperkenalkan Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith sebagai enam teraju utama karya terbaharu itu. Pengumuman tersebut pantas mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat, terutama tentang hubungan antara watak serta bagaimana semuanya berkait dengan permulaan dunia High Council.
Menariknya, KUDRAT 1968: High Council tidak dibangunkan sekadar sebagai sebuah filem. Buat pertama kali di Malaysia, cerita ini hadir menerusi konsep satu cerita, dua format — sebuah siri premium empat episod sebelum kisahnya diteruskan dalam bentuk filem di pawagam.
Kedua-duanya dirancang dan menjalani penggambaran dalam tempoh yang sama, dengan siri berfungsi sebagai pintu masuk untuk memperkenalkan dunia, karakter serta konflik sebelum penonton melangkah ke pengalaman sinematik yang lebih besar di layar perak.
Pemilihan tahun 1968 bukan sekadar mahu memberikan karya ini estetika retro.
Sebaliknya, latar tersebut digunakan untuk meneroka sebuah Malaysia yang masih muda, sedang mencari identiti dan melalui perubahan sosial. Dari sinilah tercetus persoalan lebih besar tentang bagaimana sesuatu sistem terbentuk — dan bagaimana manusia yang hidup di dalamnya membuat pilihan.
Menurut Penerbit Eksekutif KUDRAT 1968: High Council merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Jenama High Council terus kukuh dengan kehadiran KUDRAT 1968 : High Council.
“Sejak kami mengumumkan enam nama pelakon utama serta video teaser dunia prekuel High Council ini, kami dapat melihat keterujaan yang luar biasa daripada penonton yang mula mengaitkan setiap watak dengan membina pelbagai teori.
“KUDRAT 1968 : High Council bukan sekadar membawa penonton kembali kepada permulaan High Council, tetapi turut mengangkat naratif yang lebih dekat dengan realiti iaitu tentang jurang di antara kelas dalam sesebuah sistem.
“Kami percaya jurang ini wujud di mana-mana, dan melalui penceritaan ini, kami ingin membuka ruang refleksi terhadap bagaimana struktur sebegini membentuk identiti, pilihan dan konflik dalam kehidupan.
“Di bawah teraju showrunner Zulaikha Zakaria bersama pengarah bersama, Khairi Asyraff serta pasukan kreatif dan semua yang terlibat, KUDRAT 1968: High Council akan dipersembahkan sebagai sebuah filem dan siri premium yang mengangkat kualiti penceritaan High Council ke tahap yang lebih berimpak sekali gus diharap mampu mengulangi fenomena High Council dan memperluaskan lagi naratif Astro Shaw Cinematic Universe,” tambahnya lagi.
Di sinilah KUDRAT 1968 kelihatan mahu bergerak melangkaui formula cerita tentang siapa paling kuat atau siapa berada di puncak hierarki.
Sebaliknya, persoalan tentang warisan dan pilihan menjadi lebih menarik. Sejauh mana seseorang benar-benar bebas menentukan hidupnya apabila dia lahir dan membesar dalam sebuah struktur yang sudah mempunyai peraturan, kelas dan jangkaannya sendiri?
Ia adalah persoalan yang terasa dekat dengan dunia sebenar — bukan sahaja dalam konteks sekolah atau institusi, malah dalam kerjaya, keluarga dan kehidupan seorang lelaki apabila berhadapan dengan tuntutan untuk menentukan siapa dirinya sendiri.
Showrunner Zulaikha Zakaria bersama pengarah Khairi Asyraff pula mahu memberikan identiti tersendiri kepada dunia KUDRAT tanpa meninggalkan DNA yang membuatkan High Council dikenali.
Zulaikha menjelaskan KUDRAT 1968 merupakan sebuah karya fiksyen yang mengutamakan hiburan, namun tetap membawa naratif yang mendalam dan dekat dengan realiti.
Walaupun ceritanya fiksyen, kami banyak meminjam elemen sejarah dan suasana sosial Malaysia. Tahun 1968 dipilih kerana ia mencerminkan sebuah negara yang masih muda, sedang mencari identiti serta berdepan dengan pelbagai perubahan dan ketegangan. Jadi, latar ini membentuk sistem, budaya dan legasi dalam KUDRAT.
“Dari segi hala tuju kreatif, kami ingin mengangkat skala KUDRAT ke tahap lebih tinggi melalui pendekatan visual yang lebih berani dan kreatif, tanpa mengorbankan emosi dan konflik yang dekat dengan penonton.
“Pada masa yang sama, DNA High Council tetap dikekalkan. Kami berharap KUDRAT bukan sekadar mengulang dunia High Council, tetapi berkembang dengan identiti dan bahasa tersendiri,” jelasnya.
Selain enam pelakon utamanya, produksi ini turut menghimpunkan nama seperti Zamarul Hisham, Nabila Huda, Datuk Seri Eizlan Yusof, Aziz M. Osman, Aleza Shadan, Yasmin Hani, Rusdi Ramli, Muzayyin Mahyuddin, Johnny Gillett, Jebat Zulfar, Balkisyh Semundur Khan, Umar Shakur, Nix Wong, Mokhtar Mohsin dan Zarul Zaidee.
Menariknya, pembangunan dunia KUDRAT
turut bergerak di luar skrin.Astro Shaw menjalinkan kolaborasi bersama jenama fesyen tempatan Christy Ng menerusi koleksi eksklusif Christy Ng X KUDRAT 1968, menampilkan beg serta stokin edisi khas terhad. Ia menjadikan identiti karya ini bukan sekadar sesuatu yang ditonton, tetapi turut diterjemahkan ke dalam produk gaya hidup.
Lagu tema berjudul ‘Manifestasi’ nyanyian Sharul Kamal pula menjadi sebahagian daripada pembentukan atmosfera dunia KUDRAT 1968.
KUDRAT 1968: High Council akan mula ditayangkan menerusi Astro Ria dan Astro Citra setiap Jumaat pada jam 9 malam bermula 11 September 2026. Penonton juga boleh menyaksikan episod lebih awal menerusi Sooka atau Astro X3 pada jam 12 tengah malam.
BACA: Danish Iftikhar Hampir Pecah Rekod Kebangsaan, Terlepas Hanya 0.04 Saat Di SUKIPT 2026
Lebih daripada sekadar menjawab bagaimana High Council bermula, karya ini nampaknya mahu mengajak penonton melihat sesuatu yang lebih besar: bagaimana kuasa diwariskan, bagaimana sistem menentukan kedudukan seseorang dan, paling penting, sama ada manusia akhirnya memilih jalannya sendiri — atau hanya meneruskan jalan yang sudah dibentangkan untuknya.