
Dulu, mahu membina program kecergasan biasanya memerlukan buku latihan, jurulatih atau sekurang-kurangnya sedikit pengetahuan tentang senaman. Hari ini, kecerdasan buatan (AI) mula mengubah pendekatan itu dengan menganalisis data, mengenal pasti corak dan memberikan cadangan latihan yang lebih peribadi.
Ia bukan bermaksud AI boleh menggantikan jurulatih atau pakar kesihatan. Namun jika digunakan dengan betul, teknologi ini boleh membantu kita memahami tubuh sendiri dengan lebih baik dan menjadikan latihan lebih tersusun.
Malah, American College of Sports Medicine (ACSM) meletakkan wearable technology sebagai trend kecergasan nombor satu dunia bagi 2026, berdasarkan tinjauan terhadap kira-kira 2,000 profesional kesihatan dan kecergasan. Teknologi berasaskan data pula berada dalam kelompok 10 teratas.
Salah satu kekuatan utama AI ialah keupayaan menyesuaikan cadangan berdasarkan individu.
Daripada memasukkan umur, tahap kecergasan, jadual mingguan dan sasaran seperti mahu berlari 10km atau meningkatkan kekuatan, sistem AI boleh membantu menyusun struktur asas latihan.
Jika digabungkan dengan data jam pintar seperti kadar denyutan jantung, jumlah langkah dan sesi latihan terdahulu, program itu boleh berubah mengikut perkembangan pengguna.
Kajian meta-analisis pada 2025 yang merangkumi 10 kajian rawak dengan 2,269 peserta mendapati intervensi berasaskan machine learning boleh membantu meningkatkan aktiviti fizikal, termasuk jumlah langkah harian, selain memberikan cadangan dan maklum balas yang lebih diperibadikan.
Memiliki data belum tentu bermaksud kita tahu menggunakannya.
Jam pintar hari ini boleh memberikan maklumat seperti kadar denyutan jantung, tidur, HRV, VO₂ max dan beban latihan. AI berpotensi menukar angka tersebut kepada penerangan yang lebih mudah difahami.
Contohnya, berbanding sekadar menunjukkan HRV menurun, sistem boleh menggabungkan corak tidur dan latihan beberapa hari sebelumnya sebelum mencadangkan supaya intensiti dikurangkan.
ACSM melaporkan lebih 70 peratus pengguna wearable menggunakan data daripada peranti mereka untuk membuat keputusan berkaitan senaman atau pemulihan.
Namun ketepatan berbeza mengikut peranti dan metrik, jadi angka daripada jam pintar tidak seharusnya dianggap sebagai diagnosis perubatan.
Kemajuan tidak berlaku ketika kita berlatih semata-mata. Tubuh juga memerlukan masa untuk pulih.
Dengan melihat corak latihan, tidur, kadar denyutan jantung dan data pemulihan, sistem berasaskan AI boleh membantu mengesan apabila beban latihan mula meningkat terlalu pantas.
Dalam konteks ini, AI bukan sekadar berkata, “Hari ini kena workout,” tetapi berpotensi mencadangkan pilihan lebih sesuai seperti easy run, latihan mobiliti atau rehat.
ACSM menyatakan penggunaan biofeedback seperti HRV dan pola tidur boleh digunakan untuk menyesuaikan intensiti latihan mengikut tahap kesediaan seseorang.
Cabaran kecergasan selalunya bukan mengetahui senaman apa yang perlu dibuat. Cabaran sebenarnya ialah melakukannya secara konsisten.
AI boleh digunakan untuk menetapkan sasaran adaptif, memberikan peringatan pada waktu yang sesuai dan menyesuaikan sasaran apabila tahap aktiviti berubah.
Meta-analisis 2025 mendapati intervensi machine learning menghasilkan peningkatan signifikan dalam jumlah langkah harian berbanding intervensi tanpa ML, dengan saiz kesan sederhana.
Satu lagi kajian terhadap intervensi perubahan tingkah laku digital melibatkan 18 kajian rawak dan 1,674 peserta turut menemui peningkatan aktiviti fizikal, walaupun penyelidik mengingatkan bahawa tahap kepastian bukti masih rendah dan kesan jangka panjang memerlukan kajian lanjut.
AI juga boleh membantu memecahkan sasaran besar kepada langkah lebih kecil.
Jika matlamat anda mahu memenuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia boleh membantu menyusun minggu latihan menuju sasaran 150 hingga 300 minit aktiviti aerobik intensiti sederhana, atau 75 hingga 150 minit aktiviti intensiti tinggi seminggu. WHO turut menyarankan latihan penguatan otot sekurang-kurangnya dua hari seminggu bagi orang dewasa.
Daripada terus mengejar program orang lain di media sosial, sasaran boleh dibina berdasarkan kemampuan sendiri.
BACA: HYROX Tawar Bayaran Balik Penuh Selepas Insiden Beijing, Peraturan Baharu Kini Berkuat Kuasa
AI paling berguna apabila ia membantu kita membuat keputusan lebih baik berdasarkan data, bukannya menentukan semuanya tanpa pertimbangan.
Ia tidak mengetahui keadaan tubuh dengan sempurna dan boleh memberikan cadangan yang tidak sesuai jika maklumat yang diberikan tidak lengkap. Individu dengan penyakit kronik, kecederaan atau simptom luar biasa tetap perlu mendapatkan nasihat profesional.
Teknologi boleh memberitahu bila perlu berlari, berapa banyak langkah telah dilakukan dan bagaimana trend pemulihan berubah.
Tetapi akhirnya, tubuh anda sendiri masih menjadi data yang paling penting untuk didengar.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.