
Minuman kekal terhidrat sepanjang berpuasa sering dipandang ringan setiap kali Ramadan tiba. Ramai lelaki lebih fokus pada apa nak makan waktu berbuka.
Ayam percik, kambing bakar, buffet hotel, moreh lewat malam. Tapi ada satu perkara yang selalu dipandang ringan walhal ia jauh lebih penting daripada apa yang ada atas pinggan. Hidrasi.
Badan kita menahan haus hampir separuh hari. Dalam tempoh itu, tubuh tetap bekerja seperti biasa.
Jantung mengepam darah, otak berfikir, otot bergerak, sistem badan berfungsi tanpa henti. Bila air dalam badan tak cukup, kesannya bukan sekadar tekak kering. Kita jadi cepat penat, susah fokus, mudah sakit kepala dan kulit pun nampak kusam.
Kalau nak kekal bertenaga sepanjang puasa, ini lima jenis minuman yang patut ada dalam rutin anda dari berbuka sampai sahur.
Nampak terlalu biasa, tapi inilah minuman paling penting. Air kosong adalah cara paling bersih dan efektif untuk kembalikan cecair dalam badan tanpa gula tambahan atau kalori tersembunyi.
Waktu azan Maghrib berkumandang, cuba disiplinkan diri untuk minum satu atau dua gelas air kosong dahulu sebelum sentuh minuman manis. Badan yang dah lama menahan haus perlukan rehidrasi yang perlahan dan stabil.
Cara paling mudah nak pastikan cukup air ialah bahagikan pengambilan sepanjang malam. Minum secara konsisten dari berbuka hingga sahur, bukan sekaligus sebelum imsak. Badan serap air dengan lebih baik bila kita beri masa.
Air kelapa bukan sekadar pelepas dahaga di bazar Ramadan. Ia kaya dengan potassium dan elektrolit semula jadi yang membantu menstabilkan keseimbangan mineral dalam badan.
Kalau anda jenis yang banyak bergerak, bersenam selepas berbuka atau kerja dalam persekitaran panas, air kelapa boleh jadi pilihan yang sangat membantu. Ia bantu badan pulih dengan lebih cepat dan kurangkan rasa lesu.
Cuma pastikan pilih yang asli tanpa tambahan gula. Air kelapa yang terlalu manis akan hilangkan manfaat asalnya.
Ada lelaki yang sebenarnya tahu kepentingan air kosong, tapi cepat bosan. Di sinilah infused water boleh jadi penyelamat.
Campuran lemon, timun atau daun pudina bukan sekadar hiasan dalam botol kaca Instagram. Lemon beri rasa segar dan sedikit vitamin C, timun bantu sensasi penyejukan, manakala pudina buat air terasa lebih ringan dan menyegarkan.
Bila air rasa lebih menarik, secara automatik anda akan minum lebih banyak tanpa sedar. Ini sangat membantu untuk capai keperluan hidrasi harian sepanjang Ramadan.
Ramai tak sedar susu juga menyumbang kepada hidrasi kerana kandungan airnya yang tinggi, ditambah dengan protein dan sedikit lemak.
Segelas susu waktu sahur boleh bantu rasa kenyang lebih lama dan stabilkan tenaga sepanjang pagi. Protein dalam susu membantu melambatkan pengosongan perut, jadi anda tak cepat rasa lapar atau lemah sebelum tengah hari.
Untuk lelaki yang masih aktif bersenam waktu malam atau cuba kekalkan jisim otot sepanjang Ramadan, susu adalah tambahan yang cukup praktikal dalam pelan sahur.
Minuman isotonik direka untuk menggantikan elektrolit dan sodium yang hilang melalui peluh. Ia memang efektif, terutama untuk mereka yang bersukan atau melakukan aktiviti fizikal selepas berbuka.
Namun ia bukan minuman harian yang perlu diminum tanpa kawalan. Kandungan gula dalam sesetengah produk agak tinggi. Pilih versi rendah gula dan ambil bila perlu sahaja, terutamanya selepas aktiviti berat.
Gunakan sebagai alat pemulihan, bukan sebagai minuman utama setiap malam.
Air sirap, teh ais dan minuman berkarbonat memang nampak menggoda selepas seharian berpuasa. Tapi pengambilan gula yang tinggi boleh menyebabkan lonjakan gula darah secara mendadak. Tenaga naik sekejap, kemudian jatuh dengan cepat. Akhirnya badan rasa lebih letih dan lesu.
Ramadan sebenarnya peluang terbaik untuk reset tabiat. Kalau sebelum ini pengambilan gula agak tinggi, inilah masa sesuai untuk kurangkan dan latih disiplin diri.
BACA: Kelebihan Derma Darah Yang Mengejutkan, Bukan Sekadar Selamatkan Nyawa
Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ia juga tentang bagaimana kita urus badan dengan lebih bijak. Hidrasi yang baik membantu kekalkan fokus, stabilkan tenaga dan pastikan tubuh terus berfungsi pada tahap optimum.
Lelaki yang jaga pengambilan air sepanjang Ramadan biasanya rasa lebih segar, kurang sakit kepala dan lebih produktif walaupun berpuasa.
Makan memang penting. Tapi air, itulah senjata sebenar untuk kekal perform sepanjang hari.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.