Aisar Khaledd Digelar ‘Wira Cahaya’ Aceh, Bantu Salur Bekalan Elektrik

Share

Di antara pempengaruh dari Malaysia yang palign dikenali di Aceh ialah Aisar Khaledd. Sememangnya nama ini tidak asing lagi di kalangan warga Aceh kerana sebelum ini sudah beberapa kali turun padang ke wilayah tersebut bagi melaksanakan misi kemanusiaan, termasuk menghulurkan bantuan pascabencana serta terlibat secara langsung dalam program sokongan komuniti.

Terbaru, Aisar Khaledd sekali lagi turun padang ke Aceh untuk memberi bantuan dan tanda solidariti selepas kawasan tersebut berdepan pasca bencana banjir yang cukup teruk.

Penduduk Aceh sendiri merasakan kehadirannya bukan bersifat sekali lalu, sebaliknya konsisten dan berterusan, menjadikan namanya sinonim dengan keprihatinan dan solidariti merentasi sempadan negara.

Aisar Khaledd Bantu Warga Aceh Tamiang

Aisar Khaledd sekali lagi meraih pujian meluas di Indonesia apabila tampil membantu penduduk di Aceh Tamiang yang terpaksa hidup hampir sebulan dalam kegelapan akibat bencana banjir besar.

Kali ini, dia digelar sebagai ‘wira cahaya’ oleh penduduk selepas berusaha menyalurkan semula bekalan elektrik kepada komuniti terjejas. Sekali gus mengembalikan sedikit sinar harapan kepada ribuan penduduk yang terkesan.

Wilayah Aceh Tamiang dilanda tragedi besar apabila bencana banjir memusnahkan infrastruktur asas, termasuk sistem bekalan elektrik.

Situasi ini bukan sahaja menyukarkan urusan harian, malah memberi kesan besar terhadap emosi dan kesejahteraan penduduk, terutamanya kanak-kanak, warga emas dan golongan rentan.

@aisarkhaledd 1 bulan kehidupan tiada listrik , aceh tamiang berduka 🥀 #bencana #aceh #tamiang ♬ original sound – AisarKhaledd

Realiti Pahit Yang Dikongsi Aisar Khaledd

Menerusi satu hantaran di laman TikTok kendaliannya, Aisar Khaledd berkongsi realiti pahit yang disaksikannya sendiri ketika berada di lokasi.

“Sebulan hidup tanpa elektrik, Aceh Tamiang berduka,” tulisnya, satu ungkapan ringkas tetapi cukup menggambarkan penderitaan yang dialami masyarakat setempat.

Menurut laporan, tragedi banjir yang melanda wilayah itu telah meragut sebanyak 1,090 nyawa setakat ini.

Angka tersebut menjadikan bencana ini antara yang paling menyedihkan dalam sejarah terbaharu kawasan berkenaan. Dalam keadaan sedemikian, kehadiran Aisar Khaledd membawa makna besar buat penduduk yang sedang berusaha bangkit daripada kesan bencana.

Keprihatinan Jadi Inspirasi Ramai

Keprihatinan tulus Aisar Khaledd mendapat pujian meluas daripada warga maya yang kagum melihat kesungguhannya menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan jawatan, imbuhan atau peruntukan rasmi.

Tindakannya disifatkan sebagai contoh kepimpinan melalui teladan yang lahir daripada empati dan keikhlasan, bukan sekadar untuk kandungan media sosial.

Selain menyalurkan bantuan berbentuk material dan logistik, Aisar Khaledd turut terlibat secara langsung dalam aktiviti trauma healing, khususnya kepada kanak-kanak dan penduduk yang terkesan dari sudut psikologi.

Sokongan moral dan kehadirannya di tengah komuniti memberi kekuatan emosi kepada mereka yang masih bergelut dengan trauma pascabencana.

Solidariti Merentasi Sempadan Negara

Masyarakat Aceh Tamiang menyambut kehadiran Aisar Khaledd dengan penuh rasa terima kasih dan hormat. Dalam kesukaran yang melanda, ramai netizen turut memuji ketabahan penduduk Aceh yang kekal tenang, beradab dan berpegang teguh kepada nilai kemanusiaan meskipun diuji dengan dugaan yang amat berat.

Aksi kemanusiaan ini sekali lagi membuktikan bahawa solidariti dan kepedulian tidak mengenal sempadan negara.

BACA: Keberanian Ahmed al Ahmed, Wira Bondi Dihargai Dengan Sumbangan RM11.7 Juta

Apa yang dilakukan oleh Aisar Khaledd bukan sekadar bantuan sementara, tetapi satu peringatan bahawa kemanusiaan mampu menjadi cahaya dalam saat paling gelap, dan setiap individu berupaya memainkan peranan untuk membawa perubahan.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

 

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim