Kesihatan

Pakar Kardiologi Pilih Elak Simpan Aiskrim Di Rumah, Ini Sebabnya

Share

Aiskrim selalu menjadi pilihan utama apabila cuaca panas atau seharian menjalan aktiviti. Namun, bagi seorang pakar kardiologi pencegahan, makanan popular itu bukan menjadi pilihan untuk disimpan di rumah.

Keputusan tersebut dibuat kerana aiskrim sering mengandungi lemak tepu, gula dan kalori yan gagak tinggi. Walaupun tidak mempengaruhi sepenuhnya dalam aspek kesihatan, pengambilannya disarankan kekal sederhana dan tidak menjadi sebahagian daripada rutin harian.

Menurut laporan Parade, Dr Dara Lee Lewis, pakar kardiologi pencegahan dari Mass General Brigham Heart & Vascular Institute, menjelaskan bahawa aiskrim lebih sesuai dianggap sebagai makanan untuk dinikmati sekali-sekala.

Beliau turut menjelaskan bahawa pengambila lemak tepu secara berlebihan boleh meningkatkan paras kolestrol LDL, yang merupakan antara faktor yang dikaitkan dengan risiko penyakit kardiovaskular. 

Selain lemak tepu, kandungan gula dan kalori yang tinggi dalam sesetengah produk aiskrim juga boleh menyumbang kepada pengambilan tenaga yang berlebihan dan mempengaruhi perubahan berat badan sekiranya diambil dengan kerap.

BACA JUGA :Kesan Jangka Masa Panjang Terhadap Tangan Akibat ‘Scrolling’ Terlalu Lama

1. Tidak bermakna aiskrim perlu dielakkan sepenuhnya

Nasihat pakar tersebut bukan bermaksud aiskrim perlu disingkirkan terus daripada menu. Sebaliknya, pengambilan perlulah berpada-pada. Mereka yang gemar menikmati aiskrim boleh mengambil ikhtiar untuk dijadikan sebagai pencuci mulut berbanding menjadikan aiskrim makanan wajib setiap malam.

Dr. Lewis turut mencadangkan pengguna mempertimbangkan pilihan pencuci mulut yang mempunyai kandungan gula dan lemak yang lebih rendah, selain menyediakan lebih banyak protein.

Pendekatan itu seiring dengan saranan American Heart Association (AHA) yang menggalakkan orang ramai mengurangkan pengambilan lemak tepu, gula tambahan dan makanan proses dalam usaha menjaga kesihatan jantung.

2. Bukan semua makanan sejuk beku tidak sihat

Walaupun  tidak mengutamakan aiskrim, Dr. Lewis tidak menganggap semua makanan sejuk beku sebagai pilihan yang kurang baik.

Dengan jadual kerja yang sibuk, beliau dilaporkan turut menyimpanan makanan yang sudah disediakan seperti udang, dada ayam, buah-buahan beku dan bayam.

Pilihan lain termasuk sayur-sayuran segar atau beku, salad, yogurt kosong, tauhu serta makanan kekacang dan bijian.

Menurut AHA, makanan sejuk beku juga boleh menjadi sebahagian daripada diet yang sihat, terutama buah-buahan dan sayur-sayurang yang dibekukan tanpa tambahan gula, sos atau garam dalam jumlah tinggi.

Pengguna bagaimanapun disarankan supaya membaca label pada makanan sebelum membeli, khususnya bagi produk yang telah diproses.

3. Jangan abaikan label pemakanan

Persoalannya bukan sekadar sama ada sesuatu makanan itu disimpan di dalam peti sejuk atau berada di bahagian makanan sejuk beku pasar raya. Apa yang lebih penting ialah kandungan nutrisi makanan tersebut.

AHA menggalakkan pengguna membandingkan label produk dan memberi perhatian kepada jumlah sodium, gula tambahan serta lemak tepu sebelum membuat pilihan.

Ini kerana produk dalam kategori yang sama boleh mempunyai kandungan pemakanan yang jauh berbeza.

Sebagai contoh, sayur-sayuran beku tanpa sos boleh menjadi pilihan praktikal, tetapi produk yang sama jika disertakan sos tinggi sodium mungkin mempunyai kandungan nutrisi yang kurang sesuai untuk pengambilan kerap.

4. Kekerapan pengambilan lebih penting

Aiskrim tidak semestinya perlu dilabel sebagai makanan yang perlu dielakkan. Sebaliknya, perkara yang lebih penting ialah berapa banyak dan berapa kerap ia dimakan.

Menikmati satu hidangan aiskrim sekali-sekala tentunya berbeza daripada menjadikannya pencuci mulut setiap malam. Prinsip sama boleh digunakan terhadap makanan lain yang tinggi lemak tepu, gula atau sodium.

AHA turut menekankan kepentingan melihat corak pemakanan secara keseluruhan, termasuk meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan sumber protein yang baik serta memilih lemak tidak tepu berbanding lemak tepu.

Justeru, sekiranya aiskrim sudah menjadi rutin harian selepas makan malam, mungkin sudah tiba masanya untuk menilai semula tabiat tersebut.

Menjaga kesihatan jantung bukan bermaksud perlu menghapuskan semua makanan kegemaran daripada diet. Sebaliknya, pilihan yang lebih baik dan kawalan terhadap jumlah serta kekerapan pengambilan boleh membantu membentuk corak pemakanan yang lebih seimbang dalam jangka panjang.

Sumber: Parade, American Heart Association (AHA) dan Journal of Clinical Lipidology.

Published by
Erwannizam Osmand