Gaya Hidup

‘Aquaman’ Kini Filem DCEU Paling Laris Tewaskan ‘Justice League’ & ‘Wonder Woman’

Share

Boleh tak kalau MASKULIN nak cakap sedikit sebanyak kami berasa bangga dengan pencapaian ‘Aquaman’ yang kini sudah mencatatkan kutipan kira-kira USD900 juta di seluruh dunia. Apa taknya ia merupakan filem arahan James Wan yang merupakan anak kelahiran dari Sarawak! Okay, done claim! Hehe.

Filem penutup DC Extended Universe (DCEU) bagi tahun 2018 yang menampilkan adiwira Atlantis lakonan Jason Momoa ternyata berjaya mencuri hati peminat-peminat filem aksi khususnya bagi genre superhero.

Siapa sangka superhero yang sebelum ini tidak dipandang serius oleh ramai orang dengan ejekan mempunyai kuasa bercakap dengan ikan telah mencipta rekod baru buat DCEU. Kutipan terbaru ini sekali gus menewaskan filem yang menduduki tempat pertama sebelum ini iaitu ‘Batman V Superman: Dawn of Justice’ yang mencatatkan kutipan USD873.6 juta.

Rekod filem terlaris DCEU sebelum ini dipegang oleh ‘Batman V Superman: Dawn of Justice’.

BACA: [REVIEW] ‘Aquaman’ Bukan Sekadar Filem Superhero Sado Bercakap Dengan Ikan

Apa yang menarik filem ‘Aquaman’ masih lagi ditayangkan di seluruh dunia dan mendapat kutipan tinggi. Malah ramai pemerhati industri filem menjangkakan ia mampu memecah angka 1 billion dalam tempoh terdekat.

Ketika ia mula-mula diperkenalkan pada minggu pertama tayangannya ramai yang skeptikal dan sangsi akan kemampuan filem ini untuk mencatatkan jumlah kutipan yang tinggi.

“Amacam bro, hebat tak filem gua?” Mungkin itu diperkatakan Jason Momoa ketika ini.

Ternyata kombinasi pelakon kacak yang sado, jalan cerita yang baik, aksi CGI hebat dan arahan berkualiti daripada James Wan menjadi formula berbisa buat DCEU.

Adakah filem seterusnya dari DCEU iaitu ‘Shazam’ akan mencatatkan jumlah kutipan yang lebih kurang sama atau mampu menewaskan ‘Aquaman’?

Berikut merupakan senarai kutipan filem DCEU mengikut ranking;

1. Aquaman – USD887.6 juta
2. Batman v Superman: Dawn of Justice – USD873.6 juta
3. Wonder Woman – USD821.8 juta
4. Suicide Squad – USD746.8 juta
5. Man of Steel – USD668.0 juta
6. Justice League – USD657.9 juta

Menerusi senarai ranking di atas mungkin anda terkejut dengan kedudukan ‘Justice League’ yang berada di tangga terakhir. Kalau berdasarkan hype yang dicipta sebelum ia dikeluarkan, ‘Justice League’ ternyata tidak berjaya mencapai tahap seperti yang disasarkan oleh Warner Bros.

‘Justice League’ filem sebelum ini yang mencatatkan kutipan paling rendah antara kesemua filem DCEU.

Kejayaan ‘Aquaman’ pula merupakan satu kejutan buat mereka yang tidak menjangkakan ia mendapat kuitpan sebaik ini. Malah, ‘Aquaman’ adalah filem DCEU yang mendapat kutipan terendah pada minggu pertama tayangannya di Amerika Syarikat. Ia juga menjadikannya sebagai filem Warner Bros. yang paling tinggi jumlah kutipannya buat tahun 2018.

IKLAN