
Budaya larian di Malaysia semakin berkembang daripada sekadar aktiviti kecergasan kepada sebuah komuniti yang menghubungkan pelari daripada pelbagai latar belakang. Menjelang Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026, ASICS Malaysia membawa semangat itu lebih jauh menerusi pengenalan koleksi khas yang menggabungkan prestasi, identiti tempatan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.
Dalam acara yang berlangsung di TRX City Park, ASICS Malaysia memperkenalkan 42 anggota rasmi KLSCM Pacer Squad, selain mendedahkan rona eksklusif ASICS NOVABLAST™ 6 serta koleksi pakaian ASICS x KLSCM 2026.
Menjadi tumpuan utama ialah NOVABLAST™ 6 edisi eksklusif yang direka oleh kreatif tempatan, Wilson Ng, menerusi konsep “Unity in Motion”.
Rekaannya menggunakan bahagian atas rona putih pudar dan tapak putih sebagai kanvas neutral, melambangkan titik pertemuan pelari daripada pelbagai latar belakang, tahap kelajuan dan perjalanan hidup.
Sentuhan warna merah, biru, kuning dan putih pula diambil daripada Jalur Gemilang, masing-masing membawa simbol keberanian, perpaduan, kemakmuran dan kesucian. Bahagian pelapik dalam kasut turut menampilkan corak abstrak “KL” yang diinspirasikan warna kebangsaan.
Pengurus Negara ASICS Malaysia, Boon Tib Soom Nik berkata perkembangan budaya larian tempatan semakin ketara apabila lebih ramai rakyat Malaysia menjadikannya sebahagian daripada gaya hidup.
“Hari ini, kita menyaksikan budaya larian di Malaysia berkembang dengan begitu ketara apabila semakin ramai rakyat Malaysia menerima sukan ini sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka.
“Pacer KLSCM merupakan sebahagian penting daripada perkembangan budaya ini. Mereka dipilih untuk membimbing pelari dalam kumpulan pace yang berbeza, dengan membawa pengalaman, disiplin dan semangat terhadap larian ke dalam perlumbaan.
“Selain membantu pelari kekal berada pada landasan untuk mencapai sasaran masa penamat, mereka turut memberi motivasi, galakan dan mewujudkan semangat kebersamaan dalam kumpulan pace masing-masing, sama ada pelari sedang mengejar rekod peribadi atau menamatkan perlumbaan pertama mereka.
“Di ASICS, kami percaya bahawa pergerakan mempunyai kuasa untuk membina keyakinan dan menyatukan manusia.
“Menerusi inovasi, komuniti serta mereka yang menyokong pelari sepanjang perjalanan, kami mahu menjadikan larian lebih mudah didekati dan memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada semua. Dengan koleksi KLSCM 2026, kami bukan sahaja meraikan sejauh mana budaya larian Malaysia telah berkembang, tetapi juga semangat yang akan membawa kita bergerak lebih jauh bersama,” katanya.
Seramai 42 pacer rasmi akan bertugas merangkumi kategori 10KM, 21KM Half Marathon dan 42KM Full Marathon.
Mereka akan mengenakan pakaian rasmi ASICS dengan fabrik ringan, pengudaraan baik dan warna yang mudah dilihat ketika perlumbaan. Dari aspek kasut pula, skuad ini akan menggunakan NOVABLAST™ 6 dan SONICBLAST™ 2 bagi menyokong keperluan mereka sepanjang perlumbaan.
Pengarah Dirigo Events, Rainer Biemans berkata pemilihan pacer dilakukan menerusi proses penilaian yang ketat.
“Sebagai perlumbaan pertama dan satu-satunya di negara ini yang memiliki label World Athletics Elite Label Race, Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon komited untuk mengekalkan standard tinggi acara kami, dan ini termasuk mendapatkan pacer terbaik untuk menjalankan tugas tersebut.
“Pacer KLSCM 2026 kami telah melalui proses penilaian pacer yang ketat untuk melayakkan diri dan dipilih. Individu yang penuh motivasi ini merancang untuk membantu seramai mungkin pelari mencapai sasaran serta menamatkan perlumbaan dengan jayanya. Mereka bersedia memberikan yang terbaik untuk memperkasa, memberi semangat dan membimbing pelari KLSCM 2026 pada hari perlumbaan, dan kami amat menghargai masa, usaha serta dedikasi mereka,” katanya.
Identiti Malaysia turut diterjemahkan melalui koleksi pakaian ASICS x KLSCM 2026 menerusi dua konsep berbeza.
RUNKL City Edition menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah trek larian dengan bangunan pencakar langit ikonik dan jalan raya bandar sebagai inspirasi visual.
Sementara RUNKL Local Food Edition pula meraikan budaya makanan Malaysia dengan motif seperti satay, kopi dan nasi lemak yang diolah menjadi rekaan pakaian larian.
BACA: Tip Dapatkan PB Larian 10k Dalam Tempoh 30 Hari
Koleksi ASICS x KLSCM 2026 mula berada di kedai ASICS seluruh negara pada 5 September, kecuali dua kemeja-T kapas eksklusif yang hanya dijual di KLSCM Expo. SONICBLAST™ 2 pula akan berada di pasaran bermula 18 September pada harga RM829.
Daripada kasut berinspirasikan Jalur Gemilang hingga pacer yang bakal menemani ribuan peserta, koleksi kali ini membawa satu mesej jelas: KLSCM bukan sekadar tentang siapa paling pantas, tetapi tentang bagaimana komuniti bergerak dan sampai ke garisan penamat bersama.
