Ads

Lebih 1,800 Bakat Muda Sertai Astro Kem Badminton 2026, Terus Perkasa Pembangunan Akar Umbi

Astro Kem Badminton

Selepas menjelajah empat lokasi utama di seluruh negara, Astro Kem Badminton (AKB) 2026 akhirnya melabuhkan tirainya di Arena Sukan Kuala Lumpur.

Ia sekali gus menutup satu lagi edisi program pembangunan badminton akar umbi yang terus mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan pemain muda Malaysia.

Edisi tahun ini menyaksikan lebih 1,800 peserta berusia antara 10 hingga 12 tahun mengambil bahagian dalam program tersebut yang dianjurkan hasil kerjasama antara Astro dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program yang bermula di SJKC Yuk Chai itu kemudiannya menjelajah ke Pulau Pinang, Johor dan Miri sebelum berakhir di Kuala Lumpur.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, Astro Kem Badminton telah melatih lebih 25,000 kanak-kanak dari seluruh negara, menjadikannya antara program pembangunan badminton akar umbi paling konsisten di Malaysia.

Platform Mencungkil Bakat Dan Membina Karakter

Walaupun badminton menjadi fokus utama program ini, Astro Kem Badminton sebenarnya membawa misi yang lebih besar daripada sekadar melahirkan pemain berbakat.

Sepanjang kem berlangsung, peserta perlu melalui pelbagai stesen latihan yang menguji kemahiran asas badminton seperti dropshot, smash, lob dan teknik-teknik penting lain sebelum diuji menerusi perlawanan persahabatan bersama peserta lain.

Namun di sebalik latihan teknikal tersebut, nilai seperti disiplin, keyakinan diri, daya tahan mental dan semangat kesukanan turut menjadi elemen penting yang diterapkan sepanjang program.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata pembangunan sukan di peringkat akar umbi memainkan peranan besar dalam membentuk masa depan generasi muda.

“Pembangunan akar umbi adalah tempat bermulanya masa depan. Sebagai ‘Home of Sports’, kami percaya inspirasi harus bermula sejak awal — apabila kanak-kanak diberi peluang, latihan dan keyakinan bahawa mereka boleh pergi lebih jauh.

Ads

Di peringkat akar umbi, kami bukan sekadar membangunkan atlet malah kami membentuk keyakinan diri, disiplin dan daya tahan yang boleh dibawa oleh golongan muda ini sepanjang hayat mereka.

Walaupun pencarian bakat itu penting, pendidikan kanak-kanak adalah teras kepada Astro Kem Badminton. Matlamat kami adalah untuk memastikan walaupun mereka tidak meneruskan badminton secara profesional, mereka tetap memperoleh pengalaman yang membentuk mereka menjadi individu yang lebih seimbang.”

Sokongan Ibu Bapa Jadi Nadi Kejayaan

Salah satu perkara yang paling mencuri perhatian sepanjang jelajah AKB 2026 ialah komitmen yang ditunjukkan oleh ibu bapa dan guru-guru.

Di setiap lokasi penganjuran, ramai ibu bapa dilihat sanggup merentas negeri demi memastikan anak-anak mereka dapat menyertai program tersebut.

Malah sepanjang sesi latihan dan perlawanan berlangsung, ramai yang tidak melepaskan peluang merakam detik-detik penting anak masing-masing sebagai kenangan.

Suasana penuh emosi itu jelas menggambarkan betapa besar harapan dan sokongan yang diberikan oleh keluarga dalam membantu membina keyakinan atlet muda sejak usia awal.

Tidak kurang juga peserta yang dilihat berlari mendapatkan ibu bapa mereka ketika waktu rehat untuk mendapatkan kata-kata semangat sebelum kembali ke gelanggang.

Ads

Lebih 1,800 Bakat Muda Sertai Astro Kem Badminton 2026, Terus Perkasa Pembangunan Akar Umbi

Kemunculan Bintang Astro Ceria Tambah Kemeriahan

Hentian terakhir di Kuala Lumpur turut diserikan dengan kehadiran pelakon muda daripada filem Tangkis terbitan Astro Ceria iaitu Imran Aqil dan Wani Kayrie.

Mereka bersama Euan Smith turut meluangkan masa berinteraksi dengan peserta menerusi pelbagai aktiviti dan perlawanan santai yang dijalankan sepanjang program.

Kehadiran mereka berjaya menambah keterujaan peserta yang berpeluang bertemu secara dekat dengan selebriti yang mereka kenali menerusi kaca televisyen.

Perjalanan Masih Belum Berakhir

Walaupun siri jelajah AKB 2026 telah melabuhkan tirainya, perjalanan para peserta terbaik masih belum selesai.

Peserta yang berjaya menyerlah sepanjang program akan dipilih untuk menyertai Kem Pemilihan Kuala Lumpur AKB pada Julai 2026. Di peringkat ini, mereka akan menjalani penilaian yang lebih mendalam serta latihan tambahan sebagai sebahagian daripada proses pembangunan atlet muda.

Ads

Daripada kumpulan tersebut, peserta terbaik akan dipilih untuk menyertai Kem Latihan Serantau AKB di Thailand pada Disember 2026.

Program itu bakal memberikan pendedahan kepada latihan bertaraf antarabangsa selain membuka peluang kepada peserta untuk merasai suasana pembangunan badminton di luar negara.

BACA: Kemenangan GWM Di Rali Taklimakan Bukti Keupayaan Sebenar Siri TANK Dalam Dunia Off-Road

Komitmen Berterusan Astro Terhadap Sukan Negara

Memasuki tahun ke-13 penganjurannya, Astro Kem Badminton terus membuktikan komitmen Astro dalam memperkasakan pembangunan sukan negara dari peringkat akar umbi.

Program Astro Kem Badminton 2026 bukan sahaja menjadi platform untuk meningkatkan kemahiran badminton dalam kalangan pemain muda, malah membantu membentuk generasi yang lebih berdisiplin, yakin dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Dalam landskap sukan yang semakin kompetitif, inisiatif seperti Astro Kem Badminton memainkan peranan penting dalam memastikan bakat-bakat muda Malaysia terus diberikan peluang untuk berkembang dan merealisasikan potensi mereka.

Dan jika sambutan tahun ini menjadi petunjuk, Astro Kem Badminton akan terus kekal sebagai antara platform pembangunan sukan paling signifikan buat generasi muda negara pada tahun-tahun akan datang.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
Ads
GWM

Kemenangan GWM Di Rali Taklimakan Bukti Keupayaan Sebenar Siri TANK Dalam...

Menakluk 7,500km padang pasir dan menjuarai semua kategori utama T2, kejayaan GWM di Rali Taklimakan membuktikan DNA lasak siri TANK bukan sekadar gimik pemasaran.