Inspirasi

Azeem Fahmi Pilih Pulang Ke Malaysia, Mahu Terus Buru Kejayaan & Berbakti Kepada Olahraga Negara

Share

Selepas lima tahun menimba ilmu dan mengasah bakat di Amerika Syarikat (AS), jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi membuat keputusan untuk pulang ke tanah air. Namun bagi pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) itu, kepulangannya bukan bermaksud beliau mahu memperlahankan langkah di pentas antarabangsa.

Sebaliknya, atlet berusia 22 tahun itu percaya peluang untuk terus bersaing di kejohanan bertaraf dunia tidak bergantung kepada lokasi latihan semata-mata, tetapi ditentukan oleh prestasi yang dipamerkan di atas trek.

Bagi Azeem, selagi dia mampu menghasilkan keputusan yang baik, peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa akan sentiasa terbuka.

Prestasi Jadi Penentu

Azeem menegaskan fokus utamanya ketika ini adalah terus meningkatkan prestasi dan membuktikan kemampuan menerusi keputusan yang dicatatkan dalam setiap pertandingan.

Menurutnya, kejayaan di atas trek akan membuka lebih banyak peluang untuk menyertai kejohanan luar negara serta memperoleh pendedahan di peringkat antarabangsa.

Foto: Instagram Azeem Fahmi (@_azeemf)

“Saya tahu pendedahan itu akan tetap datang andai kata saya terus memberikan yang terbaik. Sebab itu saya sentiasa berusaha mendapatkan hasil daripada hanya bercakap tanpa hasil.

“Oleh sebab saya tahu selepas mendapat hasil, saya boleh dapat banyak perkara. Saya boleh dihantar ke pertandingan luar dan menyertai kejohanan yang baik.”

Keluarga Jadi Sebab Utama Pulang

Selain mahu terus berkembang sebagai atlet, keputusan Azeem meninggalkan Amerika Syarikat selepas menamatkan pengajian di Universiti Auburn turut didorong oleh faktor keluarga.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan itu, sepanjang lima tahun berada di luar negara dia terlepas banyak detik penting bersama insan tersayang.

Justeru, kepulangan ke Malaysia bukan sahaja membolehkannya kembali bersama keluarga, malah memberi peluang untuk menyumbang semula kepada pembangunan olahraga negara.

“Sebab terbesar kenapa saya balik adalah untuk memberi kembali kepada komuniti. Saya juga mahu mendapatkan semula masa bersama keluarga.

“Lima tahun bukan tempoh singkat. Saya terlepas banyak acara keluarga dan mereka adalah motivasi terbesar saya.”

Sambung Pengajian Di Universiti Malaya

Walaupun kembali ke tanah air, Azeem tidak bercadang menghentikan perjalanan akademiknya.

Dia mengesahkan akan menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya (UM) pada tahun hadapan, namun memilih untuk berehat seketika selepas menamatkan pengajian di Amerika Syarikat.

Keputusan itu dilihat sebagai usaha untuk mengimbangi pembangunan akademik dan kerjaya sukan yang sedang memasuki fasa penting.

Mahu Bantu Bangkitkan Skuad Pecut Negara

Azeem turut berharap kepulangannya mampu memberi impak positif kepada skuad pecut kebangsaan yang kini giat memperkukuhkan prestasi menjelang beberapa kejohanan utama.

Menurutnya, dia teruja dapat kembali berlatih bersama rakan sepasukan di Malaysia dan percaya pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di Amerika Syarikat mampu dimanfaatkan untuk membantu pasukan negara.

Foto: Instagram Azeem Fahmi (@_azeemf)

“Dengan kehadiran saya balik ke Malaysia bagi membantu memberi semangat kepada pasukan kebangsaan kerana saya tahu saya berada dalam keadaan baik untuk melakukan sesuatu yang luar biasa di peringkat antarabangsa.

“Saya juga teruja berlari bersama ramai atlet di Malaysia dan bersama pasukan ini.”

BACA: 5 Indikasi Menunjukkan Anda Bersedia Sertai HYROX

Fokus Sukan Asia 2026

Kini, Azeem kembali menyertai program latihan kebangsaan dengan sasaran utama mengharungi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun yang dijadual berlangsung September depan.

Sebagai pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter, harapan peminat pastinya tinggi untuk melihat pelari kelahiran Perak itu terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

Dengan gabungan pengalaman berlatih di Amerika Syarikat, semangat baharu selepas kembali ke tanah air serta sokongan keluarga yang sentiasa menjadi sumber motivasinya, Azeem kini bersedia memulakan lembaran baharu dalam kariernya.

Bagi dirinya, kejayaan bukan ditentukan oleh lokasi seseorang atlet berlatih, tetapi oleh kesungguhan, disiplin dan kemampuan menghasilkan prestasi terbaik apabila peluang diberikan.

Sumber: BERNAMA, Berita Harian

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim