
Foto hiasan janaan AI
Dalam lanskap moden yang semakin mencabar, belia masa kini terus mencari jalan untuk melepaskan tekanan hidup yang menyesakkan. Di China, satu trend baharu yang unik dan membingungkan telah muncul.
Terbaru, golongan muda yang muncul menggunakan baby pacifier atau puting bayi versi dewasa sebagai alat untuk mengurangkan stres, kebimbangan dan membantu tidur lebih nyenyak.
Fenomena ini telah mencetuskan perbincangan hangat di platform e-dagang dan media sosial apabila ribuan pengguna sanggup membelanjakan antara 10 hingga 500 yuan (sekitar RM6.00 hingga RM294) demi mendapatkan puting khas dewasa yang dijual sebagai peranti anti-tekanan dan alat bantu tidur.
Menurut pakar psikologi di China, trend ini berakar daripada konsep psikologi yang dikenali sebagai ‘fenomena regresi’.
Ia merupakan satu mekanisme pertahanan diri apabila individu dewasa cenderung kembali kepada tingkah laku zaman kanak-kanak sebagai respon terhadap tekanan yang melampau atau konflik emosi yang tidak dapat diselesaikan.
“Puting bayi melambangkan rasa selamat dan tenang pada fasa awal kehidupan,” jelas seorang pakar psikologi kepada portal Sohu. Ia menjelaskan kenapa hisapan atau gigitan pada puting tersebut boleh mencetuskan kesan menenangkan secara neurologi dan psikologi.
Lebih mengejutkan, ramai pengguna yang mendakwa bahawa mereka berasa lebih tenang, kurang cemas dan lebih mudah tidur apabila menggunakan puting tersebut ketika bekerja atau sebelum tidur.
Bagi sesetengah orang, ia menjadi rutin harian yang dianggap membantu mereka menyesuaikan diri dengan tekanan hidup moden.
Namun begitu, dalam keasyikan mengejar ketenangan, pakar perubatan memberi peringatan keras terhadap kesan buruk penggunaan jangka panjang puting bayi dewasa.
Dr Tang Caomin, pakar pergigian dari Universiti Sichuan memberi amaran bahawa struktur mulut orang dewasa tidak direka untuk menyokong bentuk dan bahan puting bayi.
“Penggunaan jangka panjang boleh mengakibatkan masalah sendi rahang (TMJ), sakit sendi, bunyi ‘klik’ ketika membuka mulut dan kesukaran mengunyah,” jelas Dr Tang.
Beliau juga menambah bahawa bahan yang tidak sesuai boleh merosakkan mukosa mulut dan meningkatkan risiko ulser. Malah, penggunaan ketika tidur turut dikaitkan dengan potensi gangguan pernafasan dan risiko lemas dalam kes tertentu.
Trend ini sebenarnya bukan pertama kali timbul dalam kalangan masyarakat moden. Sebelum ini, dunia pernah menyaksikan kaedah menenangkan diri yang pelik seperti memeluk lembu, menjerit dalam kotak atau menyewa jurulatih peribadi untuk dipukul sebagai pelepasan emosi.
BACA: Mahkamah Tolak Permohonan Jaminan Sean ‘Diddy’ Combs
Walaupun dari luar kelihatan ganjil, trend puting bayi dewasa ini mencerminkan satu realiti psikologi yang lebih kompelsk.
Bukti bahawa generasi muda hari ini semakin terdesak untuk mencari ruang selamat dan tenang dalam dunia yang terlalu bising, terlalu pantas dan terlalu menekan.
Soalnya, adakah ini hanya trend sementara atau petanda lebih besar tentang cara manusia moden berdepan tekanan hidup yang semakin kompleks?
Sumber: Agensi
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.