
Kekayaan seni dan budaya Sabah serta Sarawak bukan sesuatu yang asing dalam landskap muzik Malaysia. Daripada keunikan bahasa, dialek hingga kepelbagaian genre muzik, Borneo mempunyai identiti tersendiri yang terus melahirkan bakat baharu. Kini, Astro mahu memberikan ruang lebih besar kepada suara dari Malaysia Timur menerusi program realiti nyanyian baharu, Borneo Rising.
Program yang dianjurkan sepenuhnya dari Sabah itu akan mula bersiaran pada 6 September 2026, setiap Ahad jam 9 malam menerusi Astro Ria dan TV Okey. Ia turut boleh distrim secara atas permintaan melalui Astro GO, Sooka dan RTMKlik.
Lebih daripada sekadar mencari penyanyi baharu, Borneo Rising diwujudkan dengan misi mengetengahkan identiti muzik, budaya serta semangat masyarakat Sabah dan Sarawak kepada penonton yang lebih luas.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, program tersebut mahu membuka ruang kepada penonton untuk memahami dengan lebih dekat kekayaan budaya dan muzik dari kedua dua negeri itu.
“Borneo Rising lebih dari sekadar pertandingan, ia berfungsi sebagai satu penghargaan terhadap kesenian warisan budaya, genre muzik dan semangat kreatif yang telah sekian lama menjadi identi di Sabah dan Sarawak.
“Menerusi program ini, kita akan dapat lebih mendalami, memahami dan juga mempelajari mengenai keunikan alunan irama muzik yang akan dibawakan oleh para peserta, sekaligus mengangkat budaya mereka ke satu pentas yang lebih tinggi ” katanya.
Borneo Rising turut memberi penekanan kepada pembangunan peserta sepanjang pertandingan, bukan hanya menilai siapa yang mempunyai suara terbaik.
“Melalui gabungan latihan, persembahan langsung dan juga interaksi bersama penonton, setiap peserta Borneo Rising ini akan mendapat pengalaman untuk membentuk perjalanan sebagai seorang bakat daripada hanya sekadar suara tempatan kepada nama yang akan dikenali di peringkat nasional, seterusnya antarabangsa.”
Mengendalikan pentas Borneo Rising ialah dua pengacara popular, Zizan Razak dan Sherry Alhadad.
Barisan juri pula menghimpunkan tiga nama dengan latar muzik berbeza iaitu vokalis Hujan, Noh Salleh, penyanyi kelahiran Sabah, Marsha Milan, serta penyanyi yang mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa, Shila Amzah.
Format penjurian menyaksikan 80 peratus markah diberikan oleh juri profesional manakala baki 20 peratus datang daripada undian penonton.
Juri juga diberikan kuasa menyelamatkan seorang peserta serta menentukan peserta yang perlu berentap dalam pusingan battle. Dalam pusingan tersebut, nasib peserta untuk kekal atau meninggalkan pertandingan akan ditentukan oleh barisan juri.
Seramai 12 peserta dipilih untuk membawa suara dan identiti kawasan masing masing.
Mereka ialah Dabra dari Likas, Jecinta dari Miri, Petrova dari Papar, Harris dari Kuching, Syukri dari Kinabatangan, Aadel dari Kuching, Afiq dari Sandakan, Michelle dari Landu, Joy dari Sandakan, Faris dari Kuching, Harvard dari Penampang dan Rizzani dari Tawau.
Pertandingan ini akan berlangsung selama lapan minggu sehingga 25 Oktober 2026, dengan siaran langsung dibuat dari ITCC Mall, Penampang, Sabah.
BACA: Ford Nation Himpunkan Komuniti Pemilik Ford, Raikan Lebih 24,000 Ranger Generasi Baharu Di Malaysia
Pemenang utama bukan sahaja membawa pulang wang tunai dan trofi, malah berpeluang memperoleh single serta video muzik baharu, pembangunan kandungan digital, sokongan pemasaran dan promosi serta pendedahan merentas platform televisyen, radio dan digital Astro.
Dengan pentas yang berpangkalan terus di Sabah, Borneo Rising hadir bukan sekadar untuk mencari seorang juara. Ia membawa peluang kepada bakat dari Malaysia Timur untuk tampil dengan identiti sendiri, tanpa perlu meninggalkan akar budaya yang membentuk muzik mereka.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.