“Bila lagi aku nak timang cucu ini. Entah-entah sampai matilah aku tak dapat tengok kau naik pelamin,” keluh seorang ibu kepada anak lelakinya yang sudah mencecah usia 30 tahun tapi masih membujang.
Senario itu acap kali menghantui kebanyakan lelaki terutamanya mereka yang dibesarkan di luar bandar. Mentaliti dan ideologi seorang ibu dan ayah sudah tentu ingin melihat anak teruna berkahwin seterusnya memiliki keluarga sendiri tanpa memikirkan kesan dan aspek lain. Bukan menuding permintaan orang tua itu salah kerana inginkan anaknya segera berkahwin apabila usia melewati 30-an, tapi hakikatnya mereka melihat hidup berkeluarga, memiliki isteri dan anak sebagai keperluan hidup yang sepatutnya diambil serius.
Realitinya, anak muda hari ini terutamanya lelaki tidak melihat berkahwin sebagai satu tuntutan kerana terlalu banyak perkara lain harus difikirkan terlebih dulu. Tapi dilema ini bagai sudah sinonim dengan mereka, menerima desakan keluarga untuk berkahwin.
Mengapa ramai lelaki belum bersedia untuk berkahwin? Persoalan itu sudah banyak kali dibincangkan baik menerusi media massa mahupun sembang kedai kopi. Mengikut statistik negara, memang terbukti masih ramai lelaki yang bekerja di bandar atau memiliki kerjaya yang baik, lewat membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Fakta diperkukuhkan lagi dengan data bancian oleh Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menyatakan perangkaan lelaki dan wanita bujang pada tahun 2002 adalah 3.1 juta dan 2.4 juta. Sementara pada 2004, peratusan lelaki bujang sebanyak 59.6, manakala wanita bujang sebanyak 40.4 peratus.
Jika dulu ramai mengatakan status ‘andartu’ atau anak dara tua lebih ramai berbanding ‘lelaki lanjut usia’, namun semuanya sudah berubah kerana lelaki pula yang sukar membuat keputusan berkahwin pada usia muda.
Senario membabitkan golongan wanita berkahwin lewat bersandar pada alasan dan punca mudah. Wanita sering kali mengatakan kesukaran mendapat pasangan sepadan atau masalah terlalu memilih sebagai alasan mereka lambat berkahwin. Malah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, mahu membantu keluarga, berjawatan profesional atau mementingkan kerjaya juga masalah peribadi adalah jawapan paling selamat bagi mengelakkan diri dikatakan ‘tidak laku’. Tapi itu wanita.
Ads
Lupakan seketika si andartu kerana fokus utama kita kini adalah golongan Adam dan sedar atau tidak, bilangan lelaki berkahwin lewat usia juga makin meningkat hari demi hari.
Puncanya mudah, berdasarkan tinjauan dilakukan, pelbagai sebab diberikan sekali gus mempengaruhi diri seseorang lelaki itu untuk terus membujang atau lewat berkahwin kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan, menganggap diri tidak bersedia dari segi mental atau fizikal, takut atau bimbang rumah tangga tidak bahagia dan meragui kemampuan seksual sendiri.
Selain itu, tiada nafsu terhadap wanita, melalui pengalaman pahit ketika bercinta, mahu bebas dan suka hidup sendiri, tidak mahu mengecewakan pasangan serta hantaran kahwin tinggi juga antara sebab mereka mengelak untuk menggenggam tanggungjawab itu.
Lelaki lebih beremosi berbanding perempuan apabila bercerita soal putus cinta. Kebanyakan lelaki yang mengamalkan hubungan sejenis adalah mereka yang kecewa kerana dipermainkan wanita sebelumnya dan itu antara sebab ramai lelaki tidak kisah soal kahwin.
Ads
Lihat secara rambang kehidupan di bandar, lelaki lebih terdedah dengan kehidupan bebas yang mana tiada komitmen atau ikatan. Kahwin bukan lagi lesen untuk seseorang lelaki melakukan seks kerana aspek itu sudah banyak ditawarkan tanpa perlu sijil nikah.
Seks bukan lagi faktor untuk seseorang itu mengambil keputusan berkahwin sebaliknya ramai anak muda hari ini sudah pun mengikut budaya Barat yang menolak konsep perkahwinan serta menghalalkan hubungan bebas, sekali gus menyebabkan akidah tergelincir sehingga meningkatkan kes masalah sosial masyarakat.
Bagaimanapun lelaki yang berkahwin lewat kebanyakannya lebih mementingkan kerjaya dan tidak langsung bimbang soal memiliki keluarga. Ada juga berpendapat berkahwin akan lebih menambahkan masalah saja.
Dalam perspektif Islam, perkahwinan adalah perjanjian antara lelaki dengan wanita sebagai satu ikatan sah dan bersih dengan tujuan mengembang dan memanjangkan zuriat. Walau apapun pandangan mengenai isu kahwin lewat, ia perlu bersandarkan nilai agama dan budaya masyarakat negara ini.
Alasan tiada jodoh tidak boleh dijadikan sebab utama lewat berkahwin kerana sebagai umat Islam, perlu ada usaha untuk mencari pasangan. Setiap manusia sudah ditetapkan jodoh dan kita perlu berusaha mencarinya. Faktor kesibukan bekerja, sukar mencari pasangan atau berpendidikan tinggi juga tidak boleh dijadikan alasan. Dalam satu hadis ada menyebut, ibu bapa hendaklah mengahwinkan anak mereka apabila sudah layak mendirikan rumah tangga. Jadi dalam hal ini setiap orang perlu berusaha mencari jodoh malah orang yang berkahwin awal boleh diibaratkan seperti menunaikan separuh daripada iman.
Ads
Jika tidak menemui jodoh, pergi berjumpa orang alim seperti tok guru, imam atau ulama untuk meminta panduan dan nasihat. Seseorang itu tidak boleh menunggu atau mencari pasangan mereka di sekeliling saja kerana soal mencari jodoh tidak terhad kepada orang Melayu sebaliknya boleh mencari warga asing asalkan Islam.
Malah dalam satu laporan akhbar ada menyebut yang mengutamakan hal lain sehingga mengetepikan perkahwinan sangat tidak digalakkan dalam Islam.
Katanya, Nabi Muhammad pernah bersabda: “Wahai pemuda, siapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan, hendaklah berkahwin”. Itu menunjukkan perkahwinan amat ditekankan Islam malah ada ayat al-Quran meminta wali atau sesiapa yang bertanggungjawab terhadap seseorang wanita mengahwinkan jagaannya.
Islam melihat perkahwinan sebagai keperluan dan ibadat. Ia penting untuk melahirkan generasi baru.
10 sebab mengapa lelaki membujang
1. Tidak ada nafsu terhadap perempuan.
2. Ada pengalaman pahit dalam bercinta.
3. Dilahirkan dalam keluarga yang porak-peranda.
4. Terlalu mencintai seseorang dan apabila cinta itu tidak
kesampaian, terus hilang selera untuk berumahtangga.
5. Takut tidak bahagia bila berumah tangga nanti.
6. Meragui kemampuan seksualiti sendiri.
7. Merasakan lebih bebas dan senang hidup sendiri.
8. Terlalu sibuk dengan pelajaran atau pekerjaan.
9. Bimbang tidak dapat membahagiakan isteri dan takut
mendapat anak cacat atau tidak cemerlang sebagaimana dirinya.
10. Sentiasa merasa tidak bersedia dari segi kemampuan material
dan takut pasangan kecewa tidak dapat apa yang mereka
inginkan.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Tidak dinafikan dalam kebanyakan budaya dan tradisi di seluruh dunia kaum lelaki sering dilihat sebagai ketua keluarga. Tanggungjawab ini bukan sahaja melibatkan aspek kepemimpinan dan membuat keputusan semata tetapi juga dalam mencari rezeki.
Selain harus memastikan tanggungjawab menyara keluarga seorang lelaki juga perlu peka akan tanggungjawab dan peranannya dalam komuniti seperti membayar zakat apabila syarat-syarat tertentu dipenuhi.
Pertama kita semua perlu faham ialah konsep lelaki sebagai pencari rezeki berkait rapat dengan norma sosial dan tradisi yang telah berakar lama.
Dalam konteks ini, lelaki sering dianggap sebagai tulang belakang keluarga, membawa pulang pendapatan untuk menyokong keperluan harian. Ini termasuklah makanan, pakaian, pendidikan, dan kesihatan. Peranan ini bukan hanya sebagai pemenuhan keperluan material tetapi juga sebagai simbol kestabilan dan keselamatan bagi keluarga.
Selain itu, anda sebagai lelaki pastinya mahu menjadi seseorang yang cukup diharapkan menjadi contoh dan penyokong bagi anggota keluarga yang lain. Sebagai ‘pembeli beras’ juga lelaki harus dilihat menjadi sumber kekuatan, bimbingan dan juga nasihat.
Dengan menyediakan keperluan asas keluarga, lelaki membina persekitaran yang stabil dan kondusif untuk pertumbuhan dan pembangunan ahli keluarga yang lain.
Namun ramai yang terlepas pandang atau mengambil ringan akan kewajipan berzakat ini. Hanya yang menunaikan kewajipan ini saja yang akan merasai kemanisan dan hikmah berzakat itu.
Pembayaran zakat oleh lelaki sebagai ketua keluarga juga mengajarkan nilai-nilai penting seperti tanggungjawab, kepedulian, kemurahan hati dan kesedaran sosial kepada ahli keluarga lain.
Ibadah zakat ini juga memastikan keberkatan dalam rezeki kita. Bagi yang sudah berkeluarga, pastinya menjadi idaman setiap lelaki untuk memiliki keluarga yang harmoni dan bahagia di samping isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang lainnya. Malah inilah kaya yang sebenar.
Sebagai ketua keluarga yang mencari rezeki untuk keluarga, rezeki yang berkat itu dapat mengalirkan manfaatnya seperti melembutkan hati isteri dan anak-anak, melahirkan zuriat yang cergas dan cerdas seterusnya memberi ketenangan dan kelapangan jiwa setiap ahli keluarga. Begitu juga bagi yang bujang, rezeki kita juga digunakan untuk berbakti pada ibu bapa dan keluarga.
Selain menggalakkan persekitaran keluarga yang berorientasikan kepada kebajikan bersama dan kepekaan terhadap keperluan masyarakat yang lebih luas, zakat merupakan cara yang dapat membersihkan hati dan diri sendiri daripada sifat-sifat keji, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki.
Impak dari diri yang positif ini sangat besar bukan saja buat keluarga tetapi masyarakat secara amnya. Menunaikan zakat merupakan manifestasi sifat bertanggungjawab dalam diri, jika dia bertanggungjawab dalam menunaikan suruhan Allah, apatah lagi tanggungjawab dalam menjaga keluarga dan sebagainya.
Sebagai contoh di Pusat Pungutan Zakat – MAIWP, para pembayar zakat dilindungi Skim Kafalah Muzakki iaitu Khairat Kematian sehingga RM3,000. Sedikit sebanyak, sumbangan khairat kematian ini dapat membantu keluarga tercinta apabila kita telah tiada.
Kesimpulannya, peranan lelaki sebagai ketua keluarga dalam mencari rezeki dan membayar zakat bila cukup syarat adalah sangat penting kerana ia merangkumi aspek diri, ekonomi, sosial dan agama. Ini bukan hanya tentang memenuhi keperluan asas, tetapi juga tentang membangun dan memelihara sebuah keluarga yang kuat, bertanggungjawab dan bermoral. Ayuh para lelaki, tunaikan zakat segera di zakat.com.my.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Dianggarkan lebih 80 peratus orang pernah mengalami sakit belakang yang menyebabkan kerja dan aktiviti harian terganggu. Manakala di Amerika Syarikat, 25 peratus orang dewasa dilaporkan mengalami sakit pinggang yang berlaku selama sehari dalam tempoh tiga bulan terakhir manakala lapan peratus melaporkan mengalami sakit yang teruk tahun lalu.
Insiden sakit belakang boleh berlaku pada usia 20-an dan meningkat pada usia 60 hingga 65 tahun. Kajian di Malaysia melaporkan 12 peratus insiden sakit pinggang berlaku di luar bandar manakala 60 peratus dialami pemandu kenderaan komersial.
Antara simptom umum sakit belakang ialah sakit, kejang otot, kebas kaki, sakit yang menjalar dari belakang turun ke kaki kiri atau kanan.
“Sakit belakang juga boleh menjadi lebih ketara apabila pesakit batuk, bersin, menggeliat atau duduk untuk jangka masa yang panjang.
“Bagi mengelakkan gejala sakit belakang, orang ramai perlu melakukan banyak aktiviti fizikal seperti bersenam serta mengamalkan pola pemakanan yang sihat bagi mengelak obesiti.
“Mereka yang mengalami obesiti lebih berisiko mendapat sakit belakang. Kurangkan aktiviti ‘menghadap’ gajet kerana ia hanya lebih memudaratkan.”
Beberapa kaedah digunakan bagi merawat sakit belakang mengikut tahap keterukan. Antaranya ubat-ubatan, suntikan, fisioterapi serta pembedahan.
“Kebanyakan sakit belakang berlaku secara tiba-tiba dan membimbangkan tetapi tidak berbahaya. Kesakitan akan berkurang dengan mengambil ubat antiradang atau analgesik seperti parasetamol.
“Sakit belakang berlaku apabila anda cuba mendapatkan badan untuk melakukan sesuatu di luar kemampuannya. Ia tidak selalunya menunjukkan masalah yang lebih serius, malah kira-kira 80 hingga 90 peratus sembuh dalam tempoh singkat.”
Ramai yang salah anggap antara sakit belakang dan ̒slipped disc̓.
“Disc ialah tulang rawan di antara segmen-segmen tulang belakang dan berfungsi sebagai penyerap hentakan dan membolehkan pergerakan (mobiliti) tulang belakang.
“Ia merosot dengan umur iaitu disc kehilangan kelembapannya. Perlu diingat bahawa tidak semua disc merosot menyebabkan sakit belakang.
“Ini kerana slipped disc berlaku apabila disc yang merosot, menonjol dan menekan atas saraf tunjang. Tanda-tandanya ialah sakit belakang yang diiringi oleh sakit menuju ke kaki dan bawah paras lutut. Rasa sakit itu seperti pisau yang menghiris, mencucuk dan kebas.
“Slipped disc sebenarnya mudah dirawat. 70 peratus boleh sembuh dengan mengambil ubat yang betul. 20 peratus pula melalui suntikan epidural iaitu menyuntik ubat dengan tepat pada kawasan yang sakit. Selebihnya boleh dirawat dengan pembedahan sebagai pilihan akhir selain fisioterapi.”
Bagaimana sakit pinggang didiagnosis
Sejarah keluarga dan pemeriksaan fizikal
Ujian sinar X dan MRI
Panduan hindar sakit belakang
Mengangkat barang
Bengkokkan kaki, bukan tulang belakang. Bawa beban rapat pada tubuh. Keraskan otot perut sewaktu mengangkat.
Dapatkan bantuan orang lain sekiranya sukar untuk mengangkat berseorangan.
Duduk
Rapatkan punggung dan sandarkan belakang pada penyandar tempat duduk sepenuhnya untuk mengurangkan tekanan pada cakera tulang belakang.
Pastikan ketinggian tempat duduk sesuai dan kedudukan paha selari dengan lantai.
Gabungankan aktiviti dengan senaman/regangan/berjalan.
Memandu
Duduk tegak dan gerakkan tempat duduk ke hadapan supaya lutut selaras dengan pinggang.
Sokong bahagian bawah belakang menggunakan tuala yang digulung atau penyokong jika perlu.
Tidur
Tidur di atas katil yang tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras.
Apabila tidur mengiring, bengkokkan sedikit lutut supaya bersentuhan atau apabila tidur menelentang, letakkan bantal di bawah lutut.
Berdiri dan berjalan
Tukar posisi berdiri dengan kerap jika perlu berdiri lama.
Berdiri tegak dengan kepala lurus memandang ke hadapan dan luruskan belakang badan.
Berjalan dengan cara yang betul, dagu ke luar, kepala tegak memandang ke hadapan dan jari-jari kaki mengarah ke hadapan. Pakailah kasut yang mempunyai tumit rendah dan selesa.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) kembali lagi untuk tahun ke 11 penganjurannya, dengan 50 pereka fesyen dan jenama bakal tampil mempersembahkan koleksi mereka di pentas peragaan ternama itu.
Berbeza dengan tahun sebelumnya, KLFW 2023 kali ini akan diadakan di tujuh lokasi berbeza bagi setiap tujuh hari penganjurannya, bermula 21 hingga 22 Ogos 2023.
Lokasi pentas peragaan KLFW 2023 adalah di Sofitel Damansara, Parkroyal Collection Kuala Lumpur (KL), Shangri-La KL, Platinum Park KL, ALoft KL Sentral, Boathouse KL, dan Intercontinental KL.
Selain itu, tujuh pereka fesyen akan membuat kemunculan pertama di pentas KLFW 2023 ini.
Selepas sedekad mengetengahkan pereka dan fesyen Malaysia, acara fesyen tahunan itu tampil dengan format baharu untuk menawarkan kepelbagaian kepada pereka dan tetamu yang hadir.
“Sejak penubuhan kami pada 2013, kami bernasib baik untuk mencapai jisim kritikal dan keterlihatan yang meluas, tidak sedikit kerana sokongan tidak berbelah bahagi daripada pereka, penaja, rakan kongsi dan sudah tentu komuniti celik fesyen Malaysia,” kata Pengasas KLFW, Andrew Tan.
Foto: Pengasas Kuala Lumpur Fashion Week, Andrew Tan.
“Untuk KLFW 2023, visi kami adalah untuk mengurangkan statik dan gangguan demi memastikan tumpuan kekal kembali kepada reka bentuk, kreativiti dan keinginan untuk memajukan fesyen,” tambahnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara fesyen tahunan kali ini, layari laman web rasmi KL Fashion Week atau ikuti akaun rasmi mereka di Facebook dan Instagram.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Kemsite memperkenalkan konsep “Outdoor Inside” di The Gardens Mall, membawa gaya hidup outdoor ke ruang urban dengan jenama premium dan pengalaman eksklusif yang menggabungkan alam, rekaan dan keselesaan moden.