Bukan Sekadar Minum Kopi Kafe Ini Ajak Pelanggan ‘Reset’ Minda Dengan Brisk Walk

Share

Setiap malam Rabu, tepat jam 9 malam, suasana di hadapan Bijou Café, Ara Damansara berubah menjadi titik pertemuan komuniti kecil yang berkumpul untuk satu aktiviti unik brisk walk santai.

Tiada kain rentang, tiada pengumuman kuat, dan tiada siapa yang datang untuk berlari atau berpeluh sakan.

Semua hadir dengan satu tujuan yang sama iaitu berjalan bersama, menikmati udara malam, dan seketika melupakan tekanan kerja atau rutin harian.

Kumpulan ini dikenali sebagai Bijou Slow Lane Society, satu nama yang cukup menggambarkan falsafah mereka perlahan-lahan menikmati perjalanan, bukan mengejar masa.

Aktiviti ini langsung tidak menuntut persiapan berat atau stamina tinggi.

Sebaliknya, ia menjadi platform untuk menghirup udara segar, bersembang santai, dan mencipta ruang “me time” yang ramai orang jarang dapat.

Laluan Damai, Tanpa Tekanan Pace

Setiap minggu, laluan brisk walk membawa peserta menyusuri jalan-jalan tenang di sekitar Ara Damansara.

Lampu jalan yang redup, deretan pokok-pokok rendang, dan udara malam yang nyaman menjadikan aktiviti ini terasa seperti mini getaway di tengah kota.

Ada yang memilih untuk berjalan sedikit laju demi membakar kalori, manakala yang lain mengambil langkah perlahan sambil menikmati pemandangan.

Kelebihan utama Bijou Slow Lane Society adalah keterbukaannya. Tiada peraturan ketat, tiada had umur, dan tiada pace tertentu.

Foto : SAYS

Sama ada anda mahu berjalan seorang diri, berbual dengan rakan baru, atau sekadar diam mendengar bunyi malam, semuanya diterima.

Lebih menarik, aktiviti ini tetap berlangsung walau hujan renyai sekalipun menunjukkan semangat konsisten yang mengingatkan kita bahawa menjaga kesihatan tidak perlu bergantung pada mood atau cuaca.

Lebih Daripada Sekadar Senaman

Walaupun namanya brisk walk, ramai peserta menganggap ia lebih kepada terapi sosial dan mental.

Sambil bergerak, mereka berbual, berkongsi pengalaman, dan saling memberi semangat.

Hubungan yang terjalin bukan hanya dalam jarak laluan malam itu, tetapi juga membawa kepada pertemuan lain di luar aktiviti ini.

Bagi yang jarang bersenam, brisk walk ini adalah langkah awal yang mudah dan tidak menakutkan.

Bagi yang aktif pula, ia menjadi sesi cool down yang memberi keseimbangan dalam rutin kecergasan mereka.

Jika anda berada di sekitar Ara Damansara pada malam Rabu, cubalah sertai.

Tiada bayaran, tiada tekanan, dan tiada persaingan. Anda hanya perlu hadir di hadapan Bijou Café, dan biarkan langkah kaki membawa anda ke arah kesihatan fizikal dan mental yang lebih baik.

BACA LAGI : Kenapa Ramai Tergoda Dengan Lelaki Kidal? Ini Jawapannya

Sumber : SAYS

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Darwisy Farain