Fesyen

Christian Kukuk Sertai Longines Secara Rasmi, Legenda Emas Olimpik Cetus Era Baharu Ekuestrian

Share

Christian Kukuk kini secara rasmi menyertai keluarga Longines sebagai atlet terbaharu jenama jam mewah dari Switzerland.

Ia sekali gus merapatkan hubungan antara dunia ekuestrian dan ketepatan masa yang menjadi identiti jenama tersebut.

Jenama jam mewah dari Switzerland, Longines, terus mengukuhkan hubungannya dengan dunia ekuestrian apabila secara rasmi mengumumkan penyertaan juara lompat halangan antarabangsa, Christian Kukuk, sebagai atlet terbaharu pasukan mereka.

Pengumuman ini bukan sekadar kolaborasi biasa antara jenama dan atlet. Ia adalah pertemuan dua dunia yang berkongsi nilai sama iaitu ketepatan, prestasi dan keanggunan.

Perjalanan Awal Christian Kukuk Dari Keluarga Berkuda

Perjalanan Christian Kukuk dalam sukan berkuda bermula seawal usia 13 tahun. Dilahirkan dalam keluarga yang kuat berakar dalam dunia ekuestrian, beliau dibesarkan dalam persekitaran yang penuh disiplin dan tradisi.

Datuknya terkenal dalam dunia dressage, bapanya seorang penunggang berjaya, manakala ibunya bekerja dengan Jawatankuasa Olimpik Jerman untuk Sukan Ekuestrian.

Christian Kukuk memulakan latihan di bawah bimbingan ibunya sebelum menyertai kandang ternama Ludger Beerbaum di Riesenbeck, Jerman. Di situlah bakatnya diasah dan beliau mula mencipta nama di pentas lompat halangan antarabangsa.

Foto: Stefano Grasso/LGCT-GCL

Titik perubahan kerjayanya hadir pada tahun 2018 menerusi persembahan cemerlang dalam Longines Global Champions Tour dan Global Champions League. Dikenali dengan pemikiran analitikal serta ketenangan di bawah tekanan, Christian Kukuk pantas membina reputasi sebagai atlet yang konsisten dan berkelas dunia.

Emas Olimpik Christian Kukuk Yang Mengubah Segalanya

Detik paling bersejarah dalam karier Christian Kukuk berlaku di Sukan Olimpik Paris 2024. Bersama kudanya, Checker, beliau mempamerkan larian tanpa kesalahan yang menyaksikan dirinya meraih pingat emas individu.

Momentum itu diteruskan pada 2025 apabila beliau memenangi beberapa acara bertaraf lima bintang dan membantu Jerman menaiki podium dalam Longines League of Nations serta Kejohanan Eropah FEI Lompat Halangan.

Foto: Stefano Grasso

Kini pada usia 35 tahun, Christian Kukuk telah membuka kandang sendiri selepas lebih sedekad berkhidmat di bawah Ludger Beerbaum, menandakan fasa baharu dalam perjalanan profesionalnya.

Christian Kukuk Luah Penghormatan Sertai Longines

Mengulas mengenai pelantikannya sebagai atlet Longines, Christian Kukuk berkata, “Saya berbesar hati dinamakan sebagai Atlet Longines.

“Jenama ini mempunyai sejarah panjang dalam sukan ekuestrian dan komitmennya terhadap ketepatan, keanggunan dan prestasi amat selari dengan diri saya. Ia satu penghormatan untuk mewakili nilai nilai tersebut.”

Manakala jelas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Longines, Patrick Aoun pula, “Kerjaya Christian Kukuk mencerminkan intipati sebenar jenama kami, iaitu usaha berterusan mengejar ketepatan, prestasi dan keanggunan.

“Di Longines, kami percaya keanggunan sebenar melangkaui penampilan luaran. Ia adalah satu cara hidup dan satu pemikiran. Christian menzahirkan semangat ini dalam setiap perkara yang dilakukannya dan kami berbangga menyambut beliau ke dalam pasukan atlet ekuestrian kami,” tambahnya lagi.

Pelantikan ini mengukuhkan lagi komitmen lebih 150 tahun Longines terhadap dunia ekuestrian. Hubungan jenama ini dengan sukan berkuda bermula sejak 1869 apabila mereka menghasilkan jam poket pertama dengan motif ekuestrian. Pada 1878 pula, Longines membangunkan pergerakan kronograf pertamanya yang diukir dengan imej jokey dan kudanya.

Sejak 1912, Longines menjadi rakan kepada pertandingan lompat halangan bertaraf dunia dan hari ini penglibatannya merangkumi lompat halangan, dressage, acara lasak dan lumba kuda rata.

BACA: Cristiano Ronaldo Labur Hampir RM30 Juta Dalam Teknologi Pro2col Herbalife

Ketepatan Dan Elagan

Christian Kukuk kini menyertai barisan atlet ekuestrian terkemuka Longines termasuk Édouard Schmitz, Bryan Balsiger, Jane Richard serta juara dressage seperti Sönke Rothenberger dan Patrik Kittel.

Bagi Longines, ketepatan bukan sekadar fungsi jam tangan. Ia adalah falsafah yang diterjemahkan melalui sukan, disiplin dan pencapaian.

Dengan penyertaan Christian Kukuk, jenama ini sekali lagi membuktikan bahawa keanggunan dan prestasi sentiasa bergerak seiring.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim