Sela Masa Dos Penggalak Vaksin Covid-19 Bagi Penerima AZ & Pfizer Kini Dipendekkan Kepada Tiga Bulan

Share

Kemunculan varian yang lebih merisaukan iaitu Omicron telah menyebabkan ramai penduduk dunia mula resah. Apatah lagi varian mutasi yang baharu ini dilaporkan lebih mudah merebak dan berjangkit. Menyedari akan kegusaran itu negara kita sepertimana negara-negara lain telah mula memperkenalkan pemberian vaksin dos booster atau dos penggalak.

Hari ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan bahawa sela masa bagi dos penggalak vaksin telah disingkatkan kepada tiga bulan sahaja.

Sebelum ini difahamkan penerima dua dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca harus menunggu sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos kedua, selain Sinovac yang memang sedia ditetapkan tiga bulan.

Dan kini sela masa ditetapkan hanya tiga bulan sahaja selepas lengkap dos primer.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

“Semua warga emas berumur 60 tahun ke atas dan semua individu dewasa yang menerima semua jenis vaksin (Pfizer, AZ dan CoronaVac) amat disyorkan untuk menerima vaksin penggalak mereka sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer.

“Individu yang mempunyai komorbiditi, penghuni serta petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang dan individu dewasa berumur 18 tahun ke atas yang telah menerima vaksin lengkap sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer dengan mengikut turutan umur bermula daripada 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas, dan seterusnya 18 tahun ke atas,” katanya semasa sidang media di Putrajaya hari ini.

Foto hiasan: Technology Networks

Dalam penerangannya beliau juga berkata hasil dapatan serta kajian klinikal Real World termasuk ‘The Real-World Evaluation of COVID-19 Vaccines Under the Malaysia National COVID-19 Immunisation Programme’ (RECoVaM) yang telah dijalankan di Malaysia telah menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan COVID-19 adalah berkurangan dengan masa.

Tambahnya lagi, hasil data terkini juga menunjukkan varian Omicron boleh menyebabkan peningkatan penularan jangkitan serta kebolehupayaan pengikatan virus lebih tinggi dan kelolosan antibodi lebih tinggi daripada imuniti yang disebabkan oleh vaksin atau jangkitan semula jadi.

People photo created by rawpixel.com – www.freepik.com

Berdasarkan bukti kukuh yang telah terkumpul sejak tiga minggu lalu menunjukkan vaksin penggalak berkemungkinan meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan varian Omicron.

Jelasnya lagi, kajian di United Kingdom melibatkan kira-kira 21 juta pemberian dos penggalak telah memberikan data keselamatan yang sangat meyakinkan. Malah keputusan memendekkan sela masa turut dilakukan oleh badan regulatori seperti di UK, Kanada dan juga Australia.

Buat anda yang telah layak untuk mendapatkan dos penggalak, dapatkanlah segera. Ikuti perkembangan dan makluman lebih terperinci dari Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa.

Kita belum menang namun kita harus menang!

IKLAN