
Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, menutup kempen Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 Tahun 2026 di Oregon, Amerika Syarikat dengan satu pencapaian yang cukup membanggakan apabila muncul pelari Malaysia pertama mara ke final acara 100 meter lelaki di pentas dunia.
Dalam perlumbaan penentuan pingat, Danish menamatkan saingan di kedudukan kelapan selepas mencatat masa 10.44 saat.
Walaupun tidak berjaya menaiki podium, pencapaian pelari berusia 19 tahun itu tetap mencatat sejarah tersendiri buat olahraga negara apabila berjaya menembusi kelompok lapan pelari terpantas dunia dalam kategori Bawah 20 Tahun.
Lebih membanggakan, Danish juga merupakan satu-satunya wakil dari Asia yang beraksi dalam final 100m kejohanan berkenaan.
Final yang berlangsung di Oregon menyaksikan persaingan sengit daripada barisan pelari muda terbaik dunia.
Wakil Amerika Syarikat, Tate Taylor, mengungguli perlumbaan dengan catatan masa 9.94 saat yang juga merupakan rekod peribadinya.
Pelari Jamaica, Gary Card, membawa pulang pingat perak selepas mencatat 10.05 saat, manakala wakil Afrika Selatan, Marko Ferreira, melengkapkan kedudukan podium dengan masa 10.16 saat.
Danish pula melintasi garisan penamat dengan catatan 10.44 saat untuk menduduki tempat kelapan.
Namun, keputusan tersebut tidak menjejaskan hakikat bahawa beliau sudah melakar satu pencapaian baharu untuk olahraga Malaysia.
Bukan mudah untuk berada di pentas final acara 100m di kejohanan peringkat dunia, apatah lagi dalam disiplin yang sentiasa didominasi negara-negara dengan tradisi pecut yang kuat seperti Amerika Syarikat dan Jamaica.
Perjalanan Danish ke final juga memperlihatkan tahap konsistensi yang baik sepanjang kejohanan.
Pada pusingan saringan, beliau mencatat masa terbaik musim atau season best 10.30 saat untuk meneruskan kemaraan.
Momentum itu diteruskan pada peringkat separuh akhir apabila Danish beraksi dalam separuh akhir kedua dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 10.36 saat.
Keputusan tersebut secara rasmi mengesahkan tiketnya ke final dan mencipta sejarah apabila beliau menjadi pelari Malaysia pertama berjaya melakukannya dalam acara 100m lelaki di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia B-20.
Daripada catatan 10.30 saat di saringan, 10.36 saat pada separuh akhir dan akhirnya 10.44 saat dalam final, Danish membuktikan dirinya mampu bersaing melalui beberapa pusingan dalam kejohanan bertaraf dunia.
BACA: Ramadan Ondash Tolak Pertarungan Semula Dengan Johan Ghazali
Pencapaian di Oregon tentunya menjadi pengalaman penting dalam perkembangan karier Danish.
Berusia hanya 19 tahun, peluang berlari bersama kelompok atlet muda terbaik dunia memberikan pendedahan besar sebelum beliau melangkah ke tahap senior.
Lebih penting, kejayaan menembusi final membuktikan bahawa pelari muda Malaysia juga mempunyai kemampuan untuk bersaing di peringkat tertinggi jika diberikan pembangunan serta pendedahan yang berterusan.
Dalam acara pecut, perbezaan beberapa perseratus saat sahaja boleh menentukan kedudukan. Justeru, pengalaman berdepan atlet yang mampu mencatat masa di bawah 10 saat boleh menjadi penanda aras penting untuk Danish meningkatkan prestasinya pada masa hadapan.
Walaupun kempen di Oregon berakhir tanpa pingat, kepulangan Danish tetap hadir dengan satu pencapaian yang tidak pernah dilakukan pelari Malaysia sebelumnya.
Daripada seorang wakil negara kepada satu-satunya pelari Asia dalam final 100m dunia B-20, Danish kini membawa bersama harapan baharu buat arena pecut Malaysia.
Dengan usia yang masih muda dan prestasi yang semakin menunjukkan perkembangan, namanya dijangka terus menjadi antara sandaran utama olahraga negara untuk kejohanan serta temasya besar pada tahun-tahun mendatang.
Sumber: Stadium Astro
