
Terkenal sebagai selebriti serba boleh, gaya hidup lasak dan kecergasan menjadi sebahagian daripada rutin harian figura Alif Satar. Namun, segala-galanya berubah dalam sekelip mata apabila kaki kanannya mengalami kecederaan serius ketika menyertai perlawanan bola sepak tujuh sebelah (7’s) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, baru-baru ini.
Alif, 34, berkongsi pengalaman ngeri itu melalui hantaran di Instagram miliknya. Menurutnya, insiden berlaku sejurus selepas dia diterjah oleh pemain lawan satu tackle yang akhirnya membawa padah.
“Ketika diterjah, saya dapat dengar bunyi ‘crack!’. Memang benar ligamen ATFL koyak,” jelasnya.
ATFL atau Anterior Talofibular Ligament merupakan salah satu ligamen utama pada pergelangan kaki. Koyaknya ligamen ini bukan saja menimbulkan kesakitan yang mencengkam, malah memerlukan rawatan serta fisioterapi yang intensif. Tambahan pula, kakinya membengkak dan memaksa Alif menjalani pemeriksaan MRI keesokan harinya untuk penilaian lanjut.
Insiden yang menyakitkan itu bagaimanapun hadir dengan momen luar biasa ketika Alif sedang terduduk menahan kesakitan, datang legenda bola sepak dunia, Ryan Giggs menemuinya dan bertanya khabar. Ya, Ryan Giggs lagenda Manchester United, sepasukan dalam perlawanan tersebut.
Malah, bintang bola sepak tempatan, Safiq Rahim, yang juga jiran Alif, turut hadir membantu dan memantau keadaannya secara peribadi.
“Safiq Rahim sangat baik, dia jaga saya dan nasihat supaya tak main bola lagi,” kata Alif berseloroh, namun dalam nada penuh keinsafan.
Apa yang lebih merisaukan, Alif kini berada dalam fasa persiapan ke acara Berlin World Majors Marathon, sebuah perlumbaan maraton bertaraf dunia yang bakal berlangsung pada 21 September ini. Sebagai seorang pelari aktif yang pernah menyertai pelbagai acara sukan lasak dan ultra marathon, kecederaan ini datang pada waktu yang sangat genting.
“Saya risau kalau kecederaan ni lambat sembuh,” luah Alif, membayangkan kebimbangannya terhadap impian menyertai acara larian impian ramai itu.
Pengalaman ini juga wajar dijadikan peringatan buat semua lelaki yang aktif bersukan. Sukan bukan hanya tentang kekuatan, tetapi juga strategi, teknik, dan penjagaan tubuh. Jangan abaikan pemanasan badan, pemulihan otot, serta kecergasan asas yang stabil sebelum masuk padang.
5 PELAJARAN MASKULIN DARI KISAH ALIF SATAR:
Jangan abaikan warm-up dan stretching. Ia bukan sekadar formaliti — ia perlindungan utama dari kecederaan.
Tahu bila perlu ‘slow down’. Badan kita ada had — dengar isyaratnya.
Jaga pemulihan pasca sukan. Tidur, urutan, ais dan rehat cukup penting untuk performa jangka panjang.
Support system itu penting. Rakan sepasukan yang cakna seperti Safiq Rahim dan Ryan Giggs boleh beri impak besar.
Terus positif. Cedera bukan penamat — ia cuma cabaran untuk kembali lebih kuat.
Alif Satar bukan sekadar selebriti, tapi ikon maskulin yang tunjukkan bahawa kekuatan bukan terletak pada otot semata tapi pada keberanian mengakui kelemahan, dan kemahuan untuk bangkit semula.
Moga cepat sembuh Alif!
Baca Lagi : “Subuh Di Masjid Ubah Hidup Saya” – Alif Satar Dedah Rahsia Tenang & Fokus