
Di antara band legenda yang mempunyai jumlah peminat yang luar biasa ramai di Malaysia ialah Dewa 19. Jadi tidak hairanlah bila berita tentang konsert terbaru di sini bakal dilangsungkan ia segera menjadi buah mulut peminat muzik.
Konsert ‘Dewa 19 Cintaku Tertinggal di Malaysia’ akan menggegarkan Kuala Lumpur dengan sebuah konsert istimewa yang sarat emosi dan makna selepas tiga tahun kali terkahir melakukan konsert di sini.
Kali terakhir mereka menggegarkan Kuala Lumpur adalah pada 29 September 2023 menerusi A Night At The Orchestra Chapter 5.
Kini, 6 Jun 2026 bakal menjadi satu lagi tarikh penting dalam sejarah konsert di Malaysia apabila mereka hadir dengan judul yang cukup puitis, Dewa 19 Cintaku Tertinggal di Malaysia.
Konsert ini akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan dijangka menjadi pertemuan besar antara Baladewa dan kumpulan legenda Indonesia itu yang sudah sekian lama memendam rasa rindu.
Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, Dewa 19 sentiasa mahu kembali bertemu peminat di Malaysia kerana negara ini mempunyai tempat yang istimewa di hati mereka.
“Setelah kali terakhir melakukan konsert di Kuala Lumpur pada 2023, Dewa 19 selalu ingin kembali bertemu peminat di Malaysia.
Malaysia, menurut Dewa 19 punya tempat yang istimewa di hati mereka. Ada cinta yang selalu tertinggal di sini sejak mereka pertama kali dapat menembus pasaran dan memiliki Baladewa sendiri di Malaysia.
Jadi selepas perbincangan dan mencapai kata sepakat, kami menamakan konsert yang bakal berlangsung pada 6 Jun 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan nama Dewa 19 Cintaku Tertinggal di Malaysia,” ujar Iman Tang.
Barisan anggota teras seperti Ahmad Dhani, Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha akan tampil bersama tiga vokalis utama iaitu Ari Lasso, Virzha serta Marcello Tahitoe atau Ello, selain Tyo Nugros.
Lebih istimewa, buat pertama kali di Malaysia, Dewa 19 akan berkongsi pentas bersama Padi Reborn sebagai band jemputan khas. Ini bukan sekadar kolaborasi biasa, tetapi penyatuan dua nama besar yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam sejarah muzik Indonesia.
“Pertama kali di Malaysia, lewat Dewa 19 Cintaku Tertinggal di Malaysia, kami di Icon Entertainment berjaya menyatukan dua band gergasi Indonesia di atas satu panggung.
Dengan bangga kami umumkan Dewa 19 akan ditemani penampilan khas dari sahabat seperjuangan mereka, band Padi Reborn.
Dewa 19 Cintaku Tertinggal di Malaysia bakal menjadi lokasi pertemuan Baladewa dan Sobat Padi yang menjadi sangat signifikan bahawa dua band berbeza boleh menebarkan satu perasaan, satu rasa dan cinta yang sama,” ujar Iman Tang.
Dengan deretan lagu malar segar seperti Roman Picisan, Separuh Nafas, Sedang Ingin Bercinta, serta himpunan hit Padi Reborn seperti Kasih Tak Sampai, Begitu Indah dan Menanti Sebuah Jawaban, Axiata Arena dijangka dibanjiri aura romantis yang penuh emosi.
Menurut pihak penganjur, konsep konsert Dewa 19 Cintaku Tertinggal di Malaysia kali ini tidak bersifat keterlaluan atau penuh elemen sensasi visual.
Sebaliknya, fokus diberikan kepada kekuatan muzik dan lirik yang menyatukan ribuan peminat dalam satu rasa yang sama.
Menariknya, tema pakaian untuk konsert ini cukup mudah tetapi penuh makna. Peminat digalakkan memakai kemeja T rasmi band asli sebagai simbol sokongan tulen kepada Dewa 19 dan Padi Reborn. Ia bukan sekadar soal gaya, tetapi lambang solidariti dan penghargaan terhadap perjalanan seni mereka.
BACA: Senaman Ringan Bulan Puasa, 5 Cara Bijak & Berkesan Kekal Cergas Tanpa Letih
Acara ini akan berlangsung pada 6 Jun 2026, jam 8 malam di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan dianjurkan oleh Icon Entertainment.
Harga tiket ditawarkan dalam beberapa kategori iaitu RM236 Atas Nama Cinta, RM288 Bala Sobat, RM388 Pangeran Cinta, RM428 Laskar Cinta dan RM488 Sedang Ingin Bercinta.
Jualan tiket bermula pada Jumaat 27 Februari 2026, jam 11 pagi menerusi laman www.ticket2u.com.my/dewa19.
Jika benar cinta tidak pernah mati, maka 6 Jun 2026 bakal menjadi malam di mana Baladewa dan Sobat Padi membuktikan bahawa muzik mampu menyatukan segala rasa yang tertinggal.
Dewa 19 Cintaku Tertinggal di Malaysia dijangka menjadi antara konsert paling dinanti dan signifikan dalam kalendar hiburan tahun 2026.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.