
Pertembungan Malaysia dan Indonesia sentiasa membawa aura berbeza. Bukan sekadar soal tiga mata, tetapi turut hadir bersama sejarah perseteruan, atmosfera penyokong dan tekanan yang jarang ditemui dalam perlawanan biasa.
Bagi pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim, peluang beraksi di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026 menjadi sesuatu yang cukup dinantikan.
Malaysia dijadualkan bertemu Indonesia dalam aksi kedua Kumpulan A, dan Faisal mengakui keterujaannya semakin terasa memandangkan dia sendiri membesar dengan menyaksikan pertembungan kedua-dua negara yang sering menjadi perhatian peminat bola sepak rantau ini.
“Sudah tentu (teruja). Lagi-lagi waktu saya kecil, kita melihat pasukan kebangsaan kita bertemu dengan pasukan Indonesia bukan mudah. Itu adalah satu perlawanan yang menjadi tumpuan, yang semua rakyat Malaysia nanti-nantikan.
“Apa-apa sekalipun, pemain dan rakan-rakan semua kena bersedia. Siapa yang jurulatih Tan (Cheng Hoe) memberi peluang ataupun diturunkan, tanggungjawab untuk pasukan kebangsaan ini begitu besar,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Jakarta.
Gelora Bung Karno sememangnya terkenal dengan suasana yang cukup kuat apabila Indonesia beraksi di laman sendiri.
Sorakan puluhan ribu penyokong, tekanan dari tempat duduk penonton serta intensiti perlawanan antara dua musuh tradisi menjadikan kunjungan ke Jakarta satu ujian tersendiri kepada mana-mana pasukan.
Namun bagi Faisal, kemungkinan berdepan provokasi penyokong tuan rumah bukan sesuatu yang meresahkan.
Sebaliknya, dia melihat situasi itu sebagai sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi seorang pemain profesional.
“Pada saya kita dah matang, kita dah profesional. Apa-apa provokasi ataupun lontaran-lontaran oleh pihak penyokong di sana kepada kita, kita sebagai pemain kena hadaplah.
“Kita kena hadap, kuatkan mental dan fizikal, bersedia untuk perlawanan menentang Indonesia,” katanya.
Bagi pemain Selangor FC itu, kemampuan mengawal emosi mungkin sama penting dengan aspek taktikal apabila turun dalam suasana yang sarat tekanan.
Faisal juga tidak mahu meletakkan sasaran individu sebagai keutamaan sepanjang kejohanan.
Walaupun reputasinya sebagai antara pemain serangan utama negara menjadikan jaringan dan bantuan gol sentiasa menjadi perhatian, fokusnya tetap kepada keputusan pasukan.
Matlamat utamanya ialah membantu Harimau Malaya mendapatkan keputusan positif dan memastikan perjalanan pasukan tidak terhenti di peringkat kumpulan.
Bagi Faisal, siapa yang menjaringkan gol bukan persoalan utama selagi Malaysia mampu memperoleh keputusan yang diperlukan.
Malaysia, yang kini berada di ranking ke-136 dunia, akan membuka kempen Kumpulan A menentang Bangladesh, di ranking ke-181, di Gelora Bung Karno pada Jumaat ini.
Harimau Malaya kemudian berdepan Indonesia pada Isnin sebelum menamatkan aksi kumpulan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Oktober.
Format kejohanan menyaksikan juara Kumpulan A dan Kumpulan B mara ke final di Gelora Bung Karno pada 5 Oktober, manakala pasukan yang menduduki tempat kedua setiap kumpulan akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari dan venue sama.
Untuk Malaysia, cabaran awal bukan sekadar mendapatkan mata, tetapi memastikan momentum dapat dibina sebaik mungkin sebelum pertembungan yang paling dinanti-nantikan menentang Indonesia.
BACA: Jungkook BTS Dilapor Derma RM3.03 Juta, Bantu Rawatan Kanak-Kanak Kurang Berkemampuan
Dan bagi Faisal, suasana panas di Gelora Bung Karno bukan sesuatu yang perlu dielakkan.
Sebaliknya, itulah jenis pentas yang mahu dirasainya sejak kecil dan kini, sebagai pemain kebangsaan, dia berpeluang menghadapinya sendiri.
Sumber: BERNAMA
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.