
Tiga dekad dalam industri hiburan bukan satu perjalanan yang pendek. Ada lagu yang membesar bersama satu generasi, drama yang masih disebut bertahun-tahun kemudian dan nama-nama baharu yang kini mula mencorakkan wajah hiburan tempatan.
Semua itu bakal diraikan menerusi Astro Showcase 30, sebuah acara khas sempena ulang tahun ke-30 Astro yang akan berlangsung pada 23 Ogos 2026 di Pintu Masuk Utama, Pavilion Kuala Lumpur, dari jam 4 petang hingga 10 malam.
Lebih daripada sekadar sambutan ulang tahun, acara ini tampil sebagai satu refleksi terhadap karya, bakat dan momen yang sudah menjadi sebahagian daripada budaya pop Malaysia.
Antara nama yang bakal mengambil pentas ialah Faizal Tahir, Noryn Aziz, Stacy Anam, ALPHA, Ruhan, Vanessa Reynauld, Auddra, Cik B, Azeva dan Zeppo Youngsterz.
Kehadiran barisan artis daripada latar dan generasi berbeza memberikan gambaran tentang bagaimana landskap hiburan tempatan terus berkembang.
Tidak kiralah sama ada penyanyi berpengalaman luas yang sudah mempunyai identiti tersendiri, hinggalah bakat baharu yang sedang membina serta menghimpunkan kelompok peminat masing-masing.
Turut memeriahkan acara ialah Daniel Cheang, Munabella, Sherry Al Hadad, Fasha Sandha, Badron Munirah, Hakimi Nordin, Ezzanie Jasny, Azhan Rani dan Johan As’ari.
Personaliti daripada program Talk To My Manager seperti Mazleen K.E. serta Dato’ Yusry Abdul Halim juga turut dijangka hadir.
Justeru, Astro Showcase 30 bukan hanya bergerak dalam satu genre. Muzik, personaliti televisyen, lakonan serta dunia kandungan hiburan dibawa bersama dalam satu pentas.
Bagi peminat drama dan filem tempatan, bahagian ini pastinya antara yang paling dinantikan.
Barisan pelakon Kudrat 1968: High Council, termasuk nama seperti Sharul Kamal, Zarif Ghazzi dan Evertts Gomes, turut bakal mewarnai acara tersebut.
Kudrat 1968: High Council merupakan antara judul yang diketengahkan bersama produksi lain seperti WOLONG: The Mastermind, siri Tamil Visham serta filem Terbang.
Kehadiran barisan pelakon ini memberi ruang kepada peminat untuk melihat sendiri wajah di sebalik karya-karya yang bakal atau sedang mendapat perhatian, sekali gus menjadikan acara tersebut lebih dekat dengan penonton.
Selain itu, finalis Big Stage Rocketfuel juga bakal membuat kemunculan bersama beberapa nama lain yang sedang mencipta impak tersendiri dalam industri hiburan tempatan.
Gabungan ini menjadikan Astro Showcase 30 bukan semata-mata ruang untuk meraikan mereka yang sudah lama berada dalam industri, tetapi turut membuka pentas kepada generasi baharu yang mungkin bakal menjadi wajah penting dalam hiburan Malaysia untuk tahun-tahun mendatang.
Menariknya, Astro Showcase 30 turut membawa pendekatan yang cukup dekat dengan identiti serta budaya tempatan.
Pengunjung digalakkan hadir dengan busana berinspirasikan Malaysia seperti batik dan sarung, kemudian dipadankan dengan sentuhan warna magenta yang menjadi identiti sambutan Astro 30.
Elemen tersebut menjadikan acara berkenaan bukan sahaja satu pertunjukan hiburan, tetapi juga sebuah perayaan budaya yang menggabungkan muzik, fesyen, drama, filem dan komuniti peminat.
Selepas 30 tahun, perubahan dunia hiburan jelas sangat ketara. Cara kita menonton sudah berubah, platform semakin banyak dan generasi artis juga silih berganti.
Namun satu perkara tetap sama, penonton masih dahagakan cerita, muzik dan figura yang boleh membuatkan mereka rasa dekat dengan kehidupan sendiri.
Dan di sinilah Astro Showcase 30 cuba menyatukan semuanya. Nama lama bertemu wajah baharu, karya terdahulu bersilang dengan judul masa depan, sementara penonton diberi peluang meraikan perjalanan industri hiburan tempatan dalam satu ruang.
Jangan lepaskan peluang untuk bertemu para bintang secara lebih dekat dan menikmati pelbagai aktiviti menarik sepanjang malam. Para tetamu juga digalakkan untuk menggayakan tema pakaian: Warisan Malaysia dengan Sentuhan Magenta.
Sebagai sebahagian dari sambutan ulang tahun ke 30 Astro dan Hari Kebangsaan, pelanggan akan menikmati pelbagai ganjaran istimewa, penambahan tawaran kandungan, dan pengalaman eksklusif bermula dari Ogos sehingga Disember 2026.
Bermula dari 15 Ogos sehingga 16 September, semua pelanggan Astro bakal menikmati akses kepada semua saluran Astro. Pelanggan juga boleh menikmati dua saluran tambahan istimewa iaitu Astro 30 (Saluran 100) dan Aniplus (Saluran 120).
Bukan itu sahaja, pelanggan Astro juga bakal menerima akses kepada Astro X3 yang baharu dilancarkan di semua peranti TV pintar, membolehkan mereka untuk strim terus menerusi aplikasi Astro tanpa perlu menggunakan dekoder.