
Kontroversi melanda pasukan Harimau Malaya melibatkan pemain warisan nampaknya sekali lagi ‘meletus’ dengan pengumuman terbaharu daripada FIFA.
Mengimbau Kembali pada 26 September lalu, bola sepak negara dikejutkan dengan berita penggantungan tujuh orang pemain serta denda terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan masalah dokumentasi.
Dan awal pagi hari ini, FIFA telah mendedahkan dokumen asal yang menurut mereka tidak selari dengan apa yang diberikan oleh FAM dalam proses pendaftaran tujuh pemain warisan.
Memetik laporan bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision”, FIFA menjelaskan hukuman yang dikenakan kepada FAM dan pemain adalah mengikut Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan pengubahsuaian dokumen.
Dalam laporan sebanyak 19 muka surat tersebut, FIFA berkata beberapa dokumen yang dihantar oleh FAM, termasuk Salinan sijil beranak datu atau nenek mengandungi informasi yang tidak selari dengan rekod sivil yang terdapat pada negara kelahiran sebenar.
Semakan dengan pendaftar negara di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda mendedahkan bahawa tiada ahli keluarga yang dinamakan dilahirkan di Malaysia, bercanggah dengan tuntutan yang dibuat dalam dokumen yang diberikan kepada FIFA.
Mengikut laporan ini lagi, FIFA membandingkan tempat kelahiran yang disenaraikan dalam dokumen yang dikemukakan FAM dengan rekod asal yang diperoleh sekretariatnya seperti berikut
FIFA menyatakan bahawa kesahihan rekod-rekod ini telah disahkan melalui semakan silang dengan pihak berkuasa rasmi di negara-negara berkaitan dan bahawa ‘tiada bukti yang disahkan ditemui mengaitkan keturunan pemain-pemain tersebut dengan Malaysia.’
Jawatankuasa itu juga menyatakan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia telah mengeluarkan beberapa dokumen yang dipertikaikan berdasarkan maklumat sekunder yang diserahkan kepada mereka, dan bukannya rekod kelahiran asal, yang menyumbang kepada percanggahan tersebut.
Walaupun FAM dan pemain-pemain tersebut menegaskan bahawa semua dokumen diperoleh melalui saluran yang sah dan betul, FIFA menekankan bahawa, di bawah prinsip liabiliti ketat (strict liability), persatuan itu tetap bertanggungjawab ke atas sebarang ketidaktepatan atau pemalsuan yang diserahkan di bawah namanya, tanpa mengira niat.
BACA: “Daddy Will Defend You Gus Till I Die”, Aaron Aziz Tampil Pertahankan Keluarga
Dalam laporan yang sama, FIFA menjelaskan bahawa FAM mempunyai tiga hari dari tarikh penerimaan keputusan untuk memfailkan notis rayuan dengan Jawatankuasa Rayuan FIFA, dan lima hari selepas itu untuk mengemukakan taklimat rayuan penuh. Persatuan itu juga mesti menjelaskan denda dalam tempoh 30 hari.
Sumber: FIFA
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.