
GERD: Penyakit senyap lelaki moden akibat gaya hidup tak sihat kini semakin kerap berlaku, terutama dalam kalangan lelaki yang sibuk dengan kerjaya, kurang tidur, dan sering mengabaikan pemakanan. Ramai yang menyangka pedih ulu hati hanyalah tanda gastrik biasa, tetapi hakikatnya ia boleh menjadi gejala Refluks Gastroesofagus (GERD) – satu penyakit pencernaan kronik yang boleh menjejaskan kualiti hidup.
Menurut Pakar Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalaman, Dr Prabhjot Singh Sindhu, GERD berlaku apabila cecair atau angin dalam perut naik ke esofagus (saluran makanan). Keadaan ini menyebabkan rasa pedih di dada, pahit atau masam di mulut, dan ketidakselesaan berpanjangan.
Berbeza dengan gastrik yang sakit bila perut kosong, GERD pula menimbulkan sensasi terbakar dari perut ke dada terutama selepas makan atau ketika berbaring.
Gaya hidup moden terbukti menjadi antara penyumbang utama penyakit GERD. Antara tabiat berisiko ialah:
Makan lewat malam & terus baring – menyebabkan asid mudah naik ke esofagus.
Pengambilan makanan pedas, berminyak & masam – mencetuskan refluks asid.
Merokok & pengambilan kafein berlebihan – melemahkan injap esofagus.
Stres & kurang tidur – meningkatkan penghasilan asid dalam perut.
Obesiti – lemak berlebihan menekan perut hingga asid naik ke atas.
“Lifestyle memang contribute. Apa yang kita makan zaman sekarang dibandingkan 20 tahun lalu walaupun sama, tetap boleh sebabkan GERD,” jelas Dr Prabhjot.
Kajian menunjukkan hubungan rapat antara GERD dan masalah anxiety. Statistiknya jelas:
1 daripada 3 individu dengan anxiety turut mengalami GERD.
1 daripada 3 pesakit GERD juga menghidap anxiety.
Jika anxiety tidak dikawal, ia meningkatkan pengeluaran asid perut. Sebaliknya, GERD yang berlarutan boleh menambah keresahan, mewujudkan kitaran yang membebankan lelaki.
Selain pedih ulu hati, simptom lain GERD termasuklah:
Rasa masam atau pahit di tekak/mulut.
Sendawa berlebihan atau rasa makanan naik semula ke kerongkong.
Batuk kronik, suara serak terutama waktu pagi.
Migrain, sakit telinga, atau sinus akibat asid naik terlalu tinggi.
Jika anda alami gejala ini secara berulang, segeralah berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.
Gastrik: sakit perut bila kosong, mual, muntah, hilang selera makan.
GERD: pedih naik dari perut ke dada, rasa pahit di tekak, batuk kronik, simptom bertambah bila baring selepas makan.
GERD boleh sembuh sepenuhnya dengan rawatan yang tepat. Kata Dr Prabhjot, punca perlu dikenal pasti – sama ada masalah injap esofagus atau perut. Dengan rawatan perubatan dan perubahan gaya hidup, anda tidak perlu hidup dengan GERD selamanya.
Elakkan makan berat 2-3 jam sebelum tidur.
Tidur dengan kepala lebih tinggi daripada badan.
Kurangkan kopi, minuman berkarbonat dan makanan pedas.
Hentikan rokok, kawal berat badan dan bersenam secara konsisten.
Urus stres dengan aktiviti fizikal atau meditasi.
GERD: Penyakit senyap lelaki moden akibat gaya hidup tak sihat adalah amaran bahawa tubuh anda perlukan perhatian. Jangan abaikan gejala kecil kerana ia boleh menjejaskan prestasi kerja, stamina, dan kesihatan mental.
Lelaki maskulin sejati bukan sahaja menjaga otot di gim, tetapi juga bijak mengawal gaya hidup untuk kesihatan dalaman.