Inspirasi

Gobind Singh Deo Diiktiraf Dalam ‘Government AI 100’ Apolitical, Bukti Kepimpinan Malaysia Dalam Revolusi AI

Share

Nama Menteri Digital, Gobind Singh Deo, kini tersenarai dalam “Government AI 100” oleh Apolitical, sebuah platform global yang menghimpunkan pemimpin kerajaan dan pakar dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dari seluruh dunia.

Pengiktirafan ini menjadi satu pencapaian besar buat Malaysia, menandakan kemajuan negara dalam mempercepatkan agenda AI, 5G, dan transformasi digital sektor awam.

Kepimpinan Gobind Dalam Agenda AI Malaysia

Gobind Singh Deo merupakan antara individu yang dipilih dalam senarai terkini Apolitical yang mengetengahkan pemimpin kerajaan berimpak tinggi dalam pembentukan kerangka tadbir urus AI serta penerapan AI secara praktikal dalam sektor awam.

Beliau memainkan peranan penting meletakkan AI sebagai tonggak utama pemodenan sektor awam negara, termasuk melalui penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO).

Selain itu, beliau turut menyelia pelbagai dasar dan inisiatif kawal selia bagi memastikan penggunaan AI lebih selamat dan dipercayai.

Antara langkah utama ialah memperkukuh undang-undang keselamatan siber, memodenkan perlindungan data peribadi, serta mencadangkan Rang Undang-Undang Perkongsian Data untuk menyokong penggunaan data bertanggungjawab merentasi agensi kerajaan.

Komitmen Menjelang 2030

Dalam catatan Facebook rasminya, Gobind Singh Deo menzahirkan penghargaan kepada pasukan di Kementerian Digital atas dedikasi mereka mempercepatkan transformasi digital Malaysia. Beliau menegaskan komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara AI menjelang tahun 2030.

“Tersenarai dalam senarai ‘The Government AI 100’ Apolitical adalah satu penghormatan besar dan pengiktirafan terhadap kerja keras semua orang di kementerian dan agensi yang telah bersama-sama mempercepatkan transformasi digital Malaysia demi manfaat rakyat,” katanya.

Foto: Gobind Singh Deo, via X

Gobind turut menambah bahawa tumpuan kini beralih kepada memperkukuh transformasi digital agar kecerdasan buatan memberi impak ketara kepada rakyat, perniagaan, dan kerajaan. Beliau percaya Malaysia kini berada di landasan tepat dalam mencapai cita-cita digital negara.

Tokoh-Tokoh Antarabangsa Dalam Senarai Government AI 100

Senarai “Government AI 100” turut menampilkan tokoh antarabangsa seperti Michael Kratsios (penasihat sains dan teknologi kepada Presiden AS), Dr Fei-Fei Li (pengarah bersama Institut AI Berpusatkan Manusia di Stanford University), Doreen Bogdan-Martin (setiausaha agung ITU), Evelyn Grass (ketua AI Kementerian Ekonomi dan Tenaga Jerman), dan Zhuang Rongwen (pengarah Pentadbiran Ruang Siber China).

Menurut Apolitical, calon-calon disenarai pendek berdasarkan sumbangan terhadap tadbir urus AI, pelaksanaan strategik, dan pengaruh mereka dalam sektor awam. Penilaian dilakukan oleh tiga pakar AI bebas bagi menjamin ketelusan dan kredibiliti senarai tersebut.

Apolitical Sebagai Platform Global

Apolitical ditubuhkan pada 2015 untuk membantu kerajaan berfungsi lebih baik melalui pembelajaran dan perkongsian amalan terbaik. Platform ini kini digunakan lebih 250,000 penjawat awam di 170 negara dengan jaringan global yang melibatkan jutaan individu di seluruh dunia.

BACA: Pempengaruh Media Sosial Kini Wajib Lapor Pendapatan Termasuk Hadiah & Barangan Percuma

Reaksi Dari MDEC

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil, menyifatkan Gobind Singh Deo sebagai pemimpin berwawasan jelas dalam memacu agenda digital negara. Menurutnya, pengiktirafan oleh Apolitical mencerminkan kekuatan dan kesungguhan Malaysia dalam agenda transformasi digital di bawah kepimpinan Gobind.

“Dengan asas kukuh untuk penerimaan AI dipercayai dan pemodenan sektor awam yang disokong oleh kerjasama awam-swasta, Gobind telah mencipta ekosistem digital yang progresif dan yakin,” ujar beliau. “Kemajuan ini adalah hasil usaha kolektif, tadbir urus kukuh, dan visi nasional yang jelas untuk menjadikan Malaysia ekonomi digital dipacu AI.”

Pengiktirafan ini sekali lagi membuktikan bahawa Gobind Singh Deo memainkan peranan penting sebagai peneraju utama dalam agenda AI Malaysia dan pemodenan sektor awam berteraskan teknologi digital.

Sumber: BERNAMA

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany