
Selepas lebih tujuh dekad menggegarkan layar perak dan menjadi ikon budaya pop global, Godzilla Store Malaysia kini mengukuhkan kehadirannya di Asia Tenggara dengan pembukaan kedai rasmi pertama di rantau ini.
Kedai ini bakal dibuka secara rasmi pada 9 Januari 2026 di LaLaport Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam pengembangan jenama legenda ini di peringkat antarabangsa.
Pembukaan Rasmi Godzilla Store Malaysia
Pembukaan Godzilla Store Malaysia merupakan fasa kedua peluasan luar negara oleh TOHO Co., Ltd. selepas kejayaan GODZILLA STORE Taipei yang dilancarkan pada September 2025.
Kerjasama antara TOHO, Toho Entertainment Asia dan rakan strategik tempatan M&M Creations Holdings membawa pengalaman Godzilla yang autentik terus kepada peminat di Malaysia dan Asia Tenggara.
Pengalaman Imersif dan Eksklusif
Seperti cawangan di Jepun dan Taiwan, Godzilla Store Malaysia direka bukan sekadar sebagai kedai runcit, tetapi sebagai ruang pengalaman imersif.
Pintu masuk kedai ini menampilkan patung Godzilla setinggi dua meter yang diinspirasikan daripada video khas ulang tahun ke-70 bertajuk 70 Years of Godzilla: A New Roar in Southeast Asia.
Patung ini dipamerkan buat kali pertama di dunia, menjadikannya tarikan eksklusif yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat setia.

Pelbagai Produk dan Koleksi Eksklusif
Di dalam kedai, pengunjung akan dibawa ke dunia Godzilla menerusi dinding bertema, hiasan neon, sudut bergambar serta susun atur ruang yang direka khas untuk mencetuskan rasa kagum dan nostalgia.
Barisan produk yang ditawarkan merangkumi barangan koleksi rasmi, figura, patung lembut, pakaian, aksesori dan produk gaya hidup — sesuai untuk peminat tegar mahupun pengunjung kasual.
Lebih menarik, Godzilla Store Malaysia turut memperkenalkan barangan eksklusif edisi tempatan yang akan dilancarkan secara berperingkat selepas pembukaan.
Inisiatif ini menjadikan cawangan Malaysia unik dan berbeza daripada kedai Godzilla lain di dunia, sekali gus meningkatkan nilai koleksi buat peminat.
Hab Komuniti Peminat Godzilla
Selain aspek komersial, kedai ini turut berfungsi sebagai hab komuniti untuk peminat Godzilla dan keluarga.
Pihak pengurusan merancang penganjuran acara dalam kedai, pameran khas serta aktiviti berkala yang bertujuan mengeratkan hubungan antara peminat dan jenama ikonik ini.
Pembukaan Godzilla Store Malaysia juga selari dengan strategi jangka panjang TOHO untuk memperkukuh jenama Godzilla di Asia.
Dengan ibu pejabat Toho Entertainment Asia beroperasi di Singapura, Malaysia dilihat sebagai lokasi strategik untuk memperluaskan pengaruh Godzilla di rantau ini, khususnya dalam kalangan generasi baharu peminat.
BACA: sooka Gilerrr Streaming Challenge Cipta Rekod Malaysia & Lonjak Budaya Hiburan Digital
Dalam masa yang sama, Godzilal Asia turut bakal mengadakan Godzilla Run yang akan berlangsung pada 11 Januari 2026 bertempat di Dataran Putrajaya. Ia terbuka kepada beberapa kategori seperti lelaki dan wanita terbuka, lelaki dan wanita veteran pada jarak 10km dan 21 km.

Destinasi Wajib di Kuala Lumpur
Bagi pelawat tempatan dan antarabangsa yang berkunjung ke Kuala Lumpur, Godzilla Store Malaysia bakal menjadi destinasi wajib singgah — sama ada untuk membeli koleksi eksklusif, merakam gambar ikonik bersama patung Godzilla atau sekadar merasai aura legenda kaiju paling terkenal di dunia.
Dengan gabungan warisan sinematik, elemen gaya hidup dan pengalaman runcit moden, Godzilla Store Malaysia bukan sekadar sebuah kedai, tetapi simbol kebangkitan Godzilla di Asia Tenggara.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




