Gout Bukan Sebab Seafood Semata, Dr Malar Dedah Punca Sebenar

Share

Gout sering dianggap penyakit orang berusia, tetapi hakikatnya ia juga boleh menyerang lelaki muda. Serangan gout bukan sekadar sakit biasa, malah boleh membuatkan pesakit hilang upaya untuk bergerak, sendi membengkak dan berjalan pun terasa bagai diseksa. Bagi lelaki aktif, gout ibarat ‘musuh dalam diam’ yang boleh menjejaskan prestasi kerja, rutin bersenam dan kualiti hidup.

Di Malaysia, dengan kepelbagaian budaya dan makanan, tidak hairan gout semakin menjadi isu kesihatan. Makanan laut segar, daging merah dan sajian kaya rasa sering dikaitkan sebagai punca utama. Namun, menurut pengamal perubatan terkenal, Dr Malar Santhi Santherasegapan, anggapan ini tidak sepenuhnya tepat. Seafood bukanlah penyebab tunggal gout.

Apa Itu Gout Sebenarnya?

Gout berlaku apabila kadar asid urik dalam badan terlalu tinggi. Asid urik ini datang daripada pemecahan purin, sejenis komponen semula jadi yang wujud dalam makanan dan tubuh. Apabila asid urik berlebihan dan tidak disingkirkan dengan baik, ia akan terkumpul lalu membentuk kristal di bahagian sendi. Hasilnya, sendi menjadi bengkak, panas dan amat menyakitkan.

Faktor Punca Gout Menurut Dr Malar

1. Tubuh Menghasilkan Purin Berlebihan

  • Sesetengah lelaki mempunyai faktor genetik yang membuatkan badan menghasilkan purin lebih banyak daripada biasa.

  • Obesiti juga meningkatkan penghasilan purin, selain menyukarkan tubuh untuk menyingkirkannya.

  • Penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, buah pinggang lemah dan psoriasis boleh mengganggu proses pembuangan purin.

2. Dehidrasi (Kurang Air Dalam Badan)

  • Air adalah agen utama untuk menyingkirkan asid urik melalui buah pinggang.

  • Apabila badan kurang air, buah pinggang gagal berfungsi dengan optimum, lalu asid urik terkumpul dan mencetuskan gout.

3. Kesan Ubat-Ubatan

  • Beberapa jenis ubat boleh meningkatkan risiko gout, antaranya:

    • NSAIDs (ubat tahan sakit tertentu)

    • Diuretik (ubat air kencing)

    • Immunosuppressant

Adakah Seafood Punca Utama Gout?

Seafood memang mengandungi purin yang tinggi, tetapi ia bukanlah musuh utama. Gout biasanya menyerang lelaki yang ambil makanan tinggi purin secara berlebihan, ditambah pula dengan minuman manis, alkohol, berat badan berlebihan dan kurang bersenam.

Dengan kata lain, bukan salah seafood semata-mata, tetapi gabungan gaya hidup tidak sihat yang menjadikan risiko gout lebih tinggi.

Cara Lelaki Maskulin Elak Serangan Gout

Dr Malar menegaskan, gout boleh dikawal dengan gaya hidup seimbang. Antara langkah yang boleh diamalkan:

  • Kurangkan makanan tinggi purin seperti organ dalaman, daging merah, seafood dan minuman manis.

  • Minum air kosong secukupnya untuk bantu buah pinggang singkirkan asid urik.

  • Kekalkan berat badan ideal dan rajin bersenam.

  • Pantau tahap asid urik terutama jika ada sejarah gout dalam keluarga.

  • Berunding dengan doktor jika mengambil ubat-ubatan yang berpotensi mencetuskan gout.

Selain itu, jika diserang gout, pesakit disarankan menggunakan pek ais pada sendi bengkak, berehat secukupnya, dan mendapatkan ubat yang sesuai daripada doktor untuk mengurangkan keradangan.

Lelaki perlu faham bahawa gout bukanlah sekadar isu makanan laut, sebaliknya ia berpunca daripada gabungan faktor genetik, gaya hidup dan kesihatan tubuh secara menyeluruh. Nikmati makanan kegemaran anda dengan sederhana, pastikan cukup minum air, kawal berat badan dan amalkan hidup sihat.

Ingat, gout boleh dikawal. Jangan tunggu sampai tak boleh berjalan baru mahu bertindak.

Published by
Nana