
Dalam perjalanan hidup, lelaki tidak dapat lari daripada bertembung dengan individu toksik — sama ada rakan sekerja yang suka menjatuhkan, bos yang gemar ‘power trip’, atau pasangan yang hanya mementingkan diri. Individu sebegini sering dikaitkan dengan sifat narsistik, iaitu mereka yang obses dengan diri sendiri, sentiasa mahu mengawal keadaan dan suka memanipulasi emosi orang lain.
Kalau terlalu lama melayan mereka, jiwa boleh penat, keyakinan diri merosot dan kesihatan mental terganggu. Sebagai lelaki, kita perlu ada strategi. Di sinilah munculnya Grey Rock Technique atau teknik batu kelabu, satu senjata senyap untuk menundukkan individu narsistik tanpa perlu bertikam lidah atau berperang emosi.
Grey Rock Technique ialah strategi komunikasi yang menggalakkan kita untuk menjadi seperti “batu kelabu” — neutral, membosankan, dan tidak memberi apa-apa tindak balas emosi. Individu narsistik hidup dengan perhatian dan drama. Bila kita tidak beri mereka apa yang mereka mahu, lama-kelamaan mereka akan bosan dan berundur.
Cara aplikasinya mudah:
Jawab ringkas. Contoh: “ok”, “oh”, “baik”.
Tiada emosi. Jangan naikkan nada suara atau tunjukkan riak marah.
Elak cerita peribadi. Jangan beri ‘peluru’ untuk mereka serang balik.
Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan, teknik ini berkesan kerana individu narsistik akhirnya akan hilang minat bila gagal mendapatkan reaksi yang mereka idamkan.
Sebagai lelaki, kita selalu dianggap benteng kekuatan. Namun, realitinya tidak semua orang berniat baik terhadap kita. Ada yang cuba menjatuhkan, menguji atau mempergunakan kelemahan kita.
Dengan menguasai Grey Rock Technique, anda akan:
Kekal kawalan diri – Tidak mudah diprovokasi atau dikuasai emosi.
Lindungi kesihatan mental – Kurang stres kerana tidak melayan drama.
Tunjukkan maskuliniti sejati – Lelaki yang tenang dan strategik jauh lebih dihormati daripada yang cepat melatah.
PHM turut berkongsi panduan praktikal untuk berdepan dengan individu toksik ini:
Kawal emosi diri – Jangan biarkan mereka mengawal reaksi anda.
Fokus pada fakta, bukan ego – Elak terjebak dalam perdebatan sia-sia.
Tetapkan sempadan – Nyatakan dengan jelas apa yang anda boleh toleransi.
Jangan terlalu berharap pada empati – Individu narsistik jarang memahami perspektif orang lain.
Gunakan Grey Rock Technique – Respon neutral, ringkas, tanpa emosi.
Akhiri perbualan dengan kawalan – Anda tentukan bila perlu berhenti.
Tip ini bukan sahaja melindungi diri, malah membina disiplin mental yang tinggi.
Ingat, anda tidak boleh mengubah sikap orang narsistik, tetapi anda boleh mengawal cara anda bertindak. Jadi lelaki yang bijak berstrategi — tenang, tidak mudah goyah, dan tahu bila perlu mengundur.
Akhirnya, Grey Rock Technique bukan tanda kelemahan, tetapi bukti kematangan. Kadang-kadang, kekuatan lelaki sejati bukan diukur pada lantangnya suara, tetapi pada ketenangan yang tidak tergugat.