
Haier Malaysia terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan badminton tempatan apabila memperluaskan penganjuran Haier Cup 2026 ke Sabah buat pertama kali.
Langkah tersebut sekali gus menjadikan Sabah sebagai lokasi terbaharu kejohanan bersama Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Selangor dalam siri jelajah badminton popular itu.
Bagi Haier Malaysia, perkembangan ini bukan sekadar tentang pertandingan badminton semata mata, tetapi usaha berterusan untuk membina komuniti aktif serta mencungkil lebih ramai bakat muda di seluruh negara.
Menurut Pengarah Urusan Haier Malaysia, Fan Jing, Haier Cup kini berkembang menjadi platform komuniti yang semakin mendapat sambutan memberangsangkan setiap tahun.
“Melangkah ke tahun keempat penganjurannya, Haier Cup terus menerima maklum balas yang memberangsangkan daripada para peserta mahupun rakan kerjasama.
“Apa yang bermula sebagai sebuah inisiatif kompetitif kini telah berkembang menjadi platform penglibatan yang kukuh, dengan peningkatan penyertaan dan minat yang semakin mendalam pada setiap tahun,” katanya.
Tambah beliau, kejohanan itu juga menjadi ruang penting buat komuniti badminton tempatan untuk terus aktif, meningkatkan kemahiran dan berinteraksi menerusi sukan yang cukup dekat dengan rakyat Malaysia.
Haier Cup 2026 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM90,000 yang merangkumi wang tunai, produk Haier dan barangan eksklusif Maxx.
Kejohanan ini mempertandingkan tiga kategori utama iaitu Perseorangan Lelaki, Beregu Lelaki dan Beregu Campuran bagi peserta berumur 16 tahun ke atas.
Menariknya, Selangor turut memperkenalkan kategori terbuka buat julung kali bagi membuka peluang kepada lebih ramai pemain dari pelbagai tahap kemahiran menyertai kejohanan tersebut.
Bagi Fan Jing, Haier melihat kejohanan ini sebagai usaha jangka panjang untuk mendekati komuniti dan golongan muda secara lebih dekat.
“Kami melihat Haier Cup bukan sekadar acara tahunan, tetapi sebagai usaha berterusan untuk kekal relevan dengan audiens kami secara lebih langsung melalui pengalaman yang memberikan impak.
“Haier Cup juga mencerminkan komitmen berterusan jenama kami dalam membina hubungan jangka panjang dengan mendekati golongan muda serta komuniti di seluruh Malaysia menerusi aktiviti aktif berteraskan komuniti,” jelasnya lagi.
Selain kejohanan utama, Haier turut meneruskan Haier Cup Junior yang kembali untuk tahun kedua selepas menerima sambutan memberangsangkan tahun lalu.
Program ini memberi fokus kepada pembangunan pemain muda berusia antara tujuh hingga 21 tahun dengan sasaran menyediakan laluan ke arena badminton profesional.
Kejohanan junior yang berlangsung pada 18 hingga 19 Julai 2026 itu dijangka menarik sekitar 1,000 peserta dan penonton.
Haier juga meneruskan program Haier Junior Development 2.0 yang sebelum ini berjaya menjangkau sekitar 10,000 pelajar di seluruh negara sepanjang 2025.
Menurut Haier, program tersebut akan diperluaskan lagi pada tahun ini menerusi kerjasama bersama 20 sekolah di seluruh Malaysia selain memberi peluang kepada atlet muda menyertai pertandingan tempatan dan antarabangsa secara konsisten.
Malah, Haier turut memberi perhatian kepada pemain muda meningkat naik, Lim Ming Hong yang kini menyertai program Haier Elite Player Sponsorship.
BACA: ‘Ini Padang Kita’, Dari Padang Kampung Ke Impian Profesional Bola Sepak Malaysia
Dengan penglibatan semakin meluas serta fokus terhadap pembangunan akar umbi, Haier Cup kini dilihat bukan lagi sekadar kejohanan badminton biasa.
Sebaliknya, ia berkembang menjadi platform yang menghubungkan komuniti, mencungkil bakat muda dan memperkukuhkan budaya gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.