Fesyen

Hyunjin Stray Kids Jadi Wajah Baharu GUESS, Buka Era Baharu Fesyen Denim Ikonik

Share

Jenama fesyen global, GUESS kini memasuki fasa baharu apabila mengumumkan Hyunjin daripada kumpulan K-pop terkenal Stray Kids sebagai Duta Global terbaharu mereka.

Kolaborasi tersebut bukan sekadar kempen biasa, tetapi dilihat sebagai langkah strategik GUESS untuk mendekati generasi baharu menerusi gabungan budaya pop, muzik, fesyen dan ekspresi diri moden.

Hyunjin yang terkenal dengan aura pentas kuat serta identiti fesyen tersendiri kini menjadi wajah utama kempen global GUESS JEANS bagi musim Spring Summer 2026.

Hyunjin Dianggap Lambang Generasi Baharu

Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kreatif GUESS, Paul Marciano, pemilihan Hyunjin dibuat kerana personaliti dan pengaruh global yang dimiliki artis tersebut sangat selari dengan DNA jenama itu sendiri.

“Hyunjin membawa tenaga dan semangat bebas generasi hari ini.

“Kempen ini memberikan perspektif baharu terhadap warisan denim GUESS dan menjadi permulaan kepada momentum baharu jenama ini memasuki era seterusnya,” katanya.

Tambah Paul lagi, Hyunjin bukan sekadar penyanyi atau performer biasa, sebaliknya seorang figura kreatif yang mempunyai pengaruh besar dalam muzik, seni visual dan budaya fesyen moden.

“Selain persembahan pentas, Hyunjin ialah kuasa kreatif yang merangkumi muzik, tarian dan seni visual.

“Gaya, keyakinan serta pengaruh global dimilikinya menjadikan dia tambahan sempurna kepada keluarga GUESS,” jelasnya lagi.

GUESS Mahu Dekati Budaya Pop Global

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, GUESS dilihat semakin agresif memperkukuhkan pengaruh global menerusi kolaborasi bersama selebriti antarabangsa dan aktivasi budaya pop moden.

Kemunculan Hyunjin dianggap sebahagian daripada evolusi tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Baharu GUESS, Nicolai Marciano, muzik dan budaya sememangnya memainkan peranan besar dalam cara jenama itu melihat dunia fesyen hari ini.

“Kami sangat teruja menyambut Hyunjin ke dalam keluarga GUESS.

“Muzik dan budaya sentiasa mempengaruhi perspektif saya terhadap fesyen, dan Hyunjin merupakan seorang artis yang sangat berbakat.

“Kami percaya dia benar-benar mewakili era baharu ekspresi untuk jenama ini,” tambahnya lagi.

Kempen Berinspirasikan Identiti Hyunjin

Apa yang menarik, kempen terbaru GUESS kali ini turut menggunakan pendekatan kreatif yang diinspirasikan sepenuhnya daripada karakter serta gaya Hyunjin sendiri.

Menurut GUESS, keseluruhan arah visual, penggayaan dan rekaan kempen dibangunkan dengan mengambil kira identiti pentas dan personalitinya yang cukup kuat.

Elemen denim kekal menjadi tunjang utama visual kempen dengan gabungan wide-leg denim, bootcut jeans, hoodie, ringer tee serta kemeja denim klasik yang menampilkan imej lebih bebas dan moden.

Dalam beberapa visual kempen, dia turut tampil minimal dengan gabungan white T-shirt dan denim klasik, namun tetap menyerlah menerusi aura serta gaya effortless yang menjadi identiti dirinya.

Warisan Denim Bertemu Generasi Baharu

GUESS turut menyifatkan kolaborasi ini sebagai gabungan antara ‘warisan moden’ dan ekspresi kontemporari.

Walaupun GUESS cukup sinonim dengan warisan denim Amerika sejak beberapa dekad lalu, jenama tersebut kini mahu membawa interpretasi lebih progresif dan relevan dengan citarasa generasi muda global.

Kempen ini juga memperlihatkan bagaimana fesyen hari ini semakin dipengaruhi budaya muzik, identiti peribadi dan kebebasan berekspresi berbanding trend semata-mata.

Terus Kukuh Sebagai Ikon Global

Sebagai anggota Stray Kids, Hyunjin sememangnya dikenali bukan sahaja kerana persembahan pentasnya, tetapi juga pengaruh besar dalam dunia fesyen antarabangsa.

Dengan identiti visual yang kuat serta fanbase global yang besar, dia kini dilihat antara ikon budaya pop generasi baharu paling berpengaruh di Asia.

BACA: Persediaan Sebelum Mula Ceburkan Diri Dalam Aktiviti Trail Running

Kolaborasi bersama GUESS ini sekali lagi membuktikan bagaimana dunia K-pop kini memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju industri fesyen global moden.

Dan buat GUESS, era baharu jenama itu kini jelas bergerak ke arah identiti yang lebih berani, ekspresif dan dekat dengan generasi muda hari ini.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim