
Musim hujan kembali, dan bersamanya datang semula ancaman yang sering dipandang ringan oleh ramai lelaki virus influenza. Jangan silap, ini bukan sekadar selesema biasa. Menurut pakar perubatan, cuaca lembap dan suhu rendah menjadikan virus influenza lebih stabil serta mampu bertahan lama di udara dan permukaan. Akibatnya, semakin ramai mula bergejala dan diuji positif di klinik, malah ada yang terpaksa dirawat di hospital kerana komplikasi serius.
Menurut Dr. Muhd Nur Azri Muhd Hisam, jangkitan influenza cenderung meningkat ketika perubahan monsun di Malaysia. Negara ini mengalami dua musim influenza utama — Mac hingga April dan Oktober hingga Disember iaitu ketika peralihan cuaca menyebabkan tahap kelembapan meningkat dan suhu menurun.
View on Threads
“Keadaan ini sesuai untuk virus influenza kekal aktif di udara lebih lama,” jelas beliau. Itulah sebabnya ramai kanak-kanak tidak hadir ke sekolah selepas cuti panjang, manakala orang dewasa pula mudah dijangkiti di tempat kerja atau kawasan sesak.
Jika di negara empat musim vaksin influenza hanya diambil sekali setahun, Dr. Azri menjelaskan bahawa di Malaysia, vaksin disarankan dua kali setahun sebelum Mac dan sebelum Oktober. Ini kerana dua musim monsun utama menjadikan risiko jangkitan lebih tinggi pada waktu tersebut.
“Vaksin influenza memerlukan kira-kira dua minggu untuk tubuh membentuk antibodi perlindungan yang berkesan. Jadi, ambillah vaksin lebih awal sebelum musim puncak,” tambahnya.
Menariknya, Dr. Azri turut menerangkan bahawa vaksin influenza mengandungi tiga hingga empat strain virus, yang membantu tubuh menghasilkan pelbagai jenis antibodi. Bila seseorang yang pernah dijangkiti influenza menerima vaksin, mereka akan memiliki imuniti hibrid — gabungan perlindungan semula jadi dan vaksin yang menjadikan tubuh lebih kuat menentang pelbagai jenis virus influenza.
“Sebab itulah doktor masih sarankan ambil vaksin walaupun selepas pernah kena influenza,” jelas beliau lagi.
Menurut Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ramai tidak menyedari dijangkiti influenza kerana gejalanya seakan-akan Covid-19. Antara simptom termasuk demam, selesema, batuk, sakit tekak, muntah dan cirit-birit.
Dalam kes lebih serius, jangkitan boleh menyebabkan radang paru-paru, jangkitan kuman atau kematian, terutama bagi golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu dengan penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes atau obesiti.
Untuk lelaki moden yang aktif bekerja dan bersukan, kesihatan bukan sekadar tanggungjawab — ia lambang disiplin diri. Berikut beberapa langkah penting untuk kekal sihat sepanjang musim influenza:
Ambil vaksin influenza dua kali setahun – sebelum Mac dan Oktober.
Kekal aktif tetapi jangan berlebihan; overtraining boleh melemahkan sistem imun.
Rehat dan tidur cukup, sekurang-kurangnya 7 jam setiap malam.
Amalkan pemakanan tinggi vitamin C dan zink seperti oren, brokoli dan tiram.
Elak tempat sesak ketika musim jangkitan puncak.
Influenza bukan sekadar selesema yang datang dan pergi. Ia penyakit yang boleh mengganggu prestasi kerja, kecergasan dan keseluruhan gaya hidup lelaki. Jadi, jadilah lelaki bijak lindungi diri dan keluarga dengan vaksin influenza tepat pada waktunya. Dua suntikan setahun mungkin kecil, tetapi impaknya besar untuk kesihatan jangka panjang.