Kesihatan

Jangan Anggap Semua Sakit Perut Sekadar ‘Gastrik’, Endoskopi Mampu Kesan Punca Sebenar

Share

Ramai rakyat Malaysia mempunyai pelbagai istilah tersendiri apabila mengalami sakit perut. Ada yang menyalahkan makanan pedas, kopi, tekanan kerja atau waktu makan yang tidak menentu.

Tidak kurang juga yang terus membeli ubat antasid di farmasi dengan harapan masalah akan hilang seperti biasa.

Namun menurut pakar, jika simptom seperti pedih ulu hati, kembung perut atau sakit di bahagian atas abdomen kerap berulang, ia mungkin bukan lagi sekadar “gastrik biasa”, sebaliknya petanda kepada masalah kesihatan yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

Pakar Bedah Am & Gastrousus Atas (Perunding), Dr. Tee Sze Chee, bersama Pakar Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalaman (Perunding), Dr. Muhammad Ilham Abdul Hafidz dari Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD) berkata, endoskopi saluran gastrousus (GI) atas merupakan antara prosedur terbaik untuk mengenal pasti punca sebenar simptom yang dialami pesakit.

Simptom Yang Jangan Dipandang Ringan

Menurut Dr. Tee, ramai pesakit menangguhkan pemeriksaan kerana simptom tersebut datang dan pergi, sekali gus menyebabkan mereka beranggapan masalah itu tidak serius.

Hakikatnya, simptom seperti pedih ulu hati yang berpanjangan, refluks asid, kembung perut, loya, sakit di bahagian ulu hati serta kesukaran menelan boleh berpunca daripada pelbagai penyakit termasuk gastritis, ulser peptik, jangkitan bakteria Helicobacter pylori

mahupun keadaan yang lebih serius seperti kanser gastrik.
Pakar Bedah Am & Gastrousus Atas (Perunding) SMCD, Dr. Tee Sze Chee

Tambah beliau, pengambilan ubat tanpa preskripsi hanya mampu melegakan simptom buat sementara waktu tetapi tidak dapat mengenal pasti punca sebenar masalah.

“Sakit perut seperti pedih ulu hati yang kerap, kesukaran atau kesakitan ketika menelan, loya yang berpanjangan, penurunan berat badan tanpa sebab yang jelas, hilang selera makan, muntah darah atau najis berwarna hitam adalah antara simptom yang perlu diteliti oleh doktor.

“Walaupun ubat yang dibeli tanpa preskripsi boleh memberikan kelegaan sementara, adakalanya pengambilan ubatan tersebut boleh menyembunyikan masalah kesihatan sebenar yang memerlukan rawatan perubatan,” jelasnya lagi.

Apa Itu Endoskopi?

Endoskopi GI atas ialah prosedur yang menggunakan tiub nipis dan fleksibel yang dilengkapi kamera definisi tinggi untuk memeriksa bahagian dalam esofagus, perut dan duodenum secara langsung.

Melalui prosedur ini, doktor boleh melihat keadaan saluran penghadaman dengan lebih jelas berbanding hanya bergantung kepada simptom yang diceritakan pesakit.

Ia juga membolehkan doktor mengenal pasti ulser, keradangan, polip, ketumbuhan atau mengambil sampel tisu (biopsi) jika diperlukan.

Ramai Takut, Tetapi Hakikatnya Sangat Ringkas

Menurut Dr. Muhammad Ilham, kebanyakan pesakit sebenarnya lebih takut kepada bayangan prosedur berbanding prosedur itu sendiri.

Antara kebimbangan paling lazim ialah takut berasa sakit atau bimbang tersedar ketika pemeriksaan dijalankan.

Pakar Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalaman (Perunding) SMCD, Dr. Muhammad Ilham Abdul Hafidz

Namun menurut beliau, kedua-dua kebimbangan tersebut sebenarnya tidak berasas.

Sebelum prosedur, pesakit hanya perlu berpuasa selama enam hingga lapan jam bagi memastikan perut kosong. Mereka juga perlu memaklumkan doktor mengenai ubat-ubatan yang sedang diambil atau sejarah alahan yang pernah dialami.

Semasa prosedur pula, pesakit akan diberikan ubat pelali secara intravena sebelum endoskop dimasukkan melalui mulut.

“Pesakit tidak akan merasa atau mengingati apa-apa sepanjang prosedur.”

Keseluruhan proses biasanya mengambil masa kurang daripada 10 minit.

Selepas selesai, pesakit hanya perlu berehat seketika di ruang pemulihan sementara kesan ubat pelali hilang sebelum dibenarkan pulang.

Biopsi Bukan Bermaksud Anda Menghidap Kanser

Ramai pesakit turut berasa cemas apabila doktor memaklumkan biopsi perlu dilakukan.

Sebenarnya, menurut Dr. Ilham, biopsi merupakan prosedur standard dalam banyak kes endoskopi.

Ia bukan semestinya kerana doktor mengesyaki kanser, tetapi turut dilakukan bagi mengesan jangkitan Helicobacter pylori atau menilai perubahan tisu sekiranya terdapat ulser, polip atau ketumbuhan yang dikesan ketika pemeriksaan.

Menurut Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, lebih 60 peratus kes kanser di negara ini hanya dikesan ketika sudah berada pada tahap tiga atau empat.

Bagi kanser gastrik pula, data GLOBOCAN 2022 merekodkan sebanyak 1,528 kes baharu dan 1,223 kematian dalam tempoh setahun di Malaysia. Statistik ini menunjukkan ramai pesakit mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah berada pada tahap lewat.

Dr. Tee menegaskan bahawa kelegaan selepas mengambil ubat tidak bermaksud masalah tersebut sudah selesai.

“Ubat yang melegakan tidak bermaksud masalah sudah selesai.

“Banyak keadaan yang menyebabkan simptom GI atas yang berpanjangan adalah biasa dan mudah dirawat, tetapi ada juga simptom yang sebenarnya adalah tanda awal penyakit yang lebih serius, termasuk kanser gastrik. Simptom sahaja tidak cukup untuk menentukan apa sebenarnya yang berlaku.”

BACA: 5 Kesan Jangka Panjang Bila Tidur Tak Cukup Sebab Tengok Bola

Pengesanan Awal Beri Lebih Banyak Pilihan Rawatan

Dr. Muhammad Ilham turut menegaskan bahawa kelewatan mendapatkan diagnosis boleh memberi kesan besar terhadap peluang rawatan.

“Dalam amalan klinikal, pengesanan lewat bukan sekadar menyebabkan rawatan menjadi lebih sukar. Ia juga bermaksud pesakit sedang berdepan dengan hasil rawatan yang sangat berbeza.

Pengesanan lebih awal memberi lebih banyak pilihan rawatan. Apabila kanser gastrik dikesan terlalu lewat, selalunya peluang untuk sembuh sangat terhad. Itulah realiti yang kami cuba ubah.”

Beliau turut memberi jaminan kepada mereka yang masih takut menjalani endoskopi.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan. Prosedurnya sangat mudah dan ringkas. Tidak sakit, cepat, dan sangat selamat.”

Akhirnya, endoskopi bukanlah prosedur untuk mencari penyakit semata-mata, tetapi satu langkah mendapatkan jawapan yang tepat terhadap simptom yang dialami.

Daripada terus membuat andaian bahawa semua sakit perut berpunca daripada “gastrik”, mendapatkan diagnosis awal bukan sahaja mampu memberi ketenangan, malah berpotensi menyelamatkan nyawa melalui rawatan yang lebih cepat dan berkesan.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim