Fesyen

JD Sports Sambut Ulang Tahun Ke-10 Bersama Komuniti Sneaker Malaysia

Share

JD Sports Malaysia meraikan ulang tahunnya yang ke-10 dengan pelbagai aktiviti istimewa sepanjang tahun, sekali gus menandakan sedekad jenama peruncitan fesyen sukan itu membentuk budaya sneaker dan athleisure di negara ini.

Sejak membuka kedai utama pertamanya di Sunway Pyramid pada 2016, JD Sports berkembang daripada jenama antarabangsa yang baharu memasuki pasaran kepada antara destinasi utama buat peminat kasut sukan, pakaian streetwear dan gaya hidup aktif di Malaysia.

Hari ini, jenama itu terkenal dengan penawaran produk eksklusif, koleksi edisi terhad serta pengalaman membeli-belah yang menggabungkan elemen fesyen, muzik dan budaya belia.

Bersempena ulang tahun ke-10 ini, JD Sports Malaysia merancang sambutan sepanjang tahun menerusi pelancaran produk eksklusif Only at JD, ganjaran kepada pelanggan serta pelbagai aktiviti omnichannel yang menghubungkan pengalaman membeli-belah di butik dan platform dalam talian.

Kemuncak sambutan bermula dengan JD Frequency, sebuah acara pop-up selama lima hari yang berlangsung di Sunway Pyramid dari 22 hingga 26 Julai 2026, menampilkan pameran produk eksklusif, aktiviti jenama, pengalaman interaktif serta persembahan artis tempatan dan serantau.

Kini Miliki 23 Cawangan Di Seluruh Negara

Dalam tempoh sedekad, JD Sports Malaysia terus memperkukuhkan kedudukannya dalam industri peruncitan fesyen sukan tempatan.

Ketika ini, syarikat itu memiliki 23 cawangan fizikal di seluruh negara serta sebuah platform e-dagang yang terus berkembang, dengan tiga lagi cawangan baharu dijangka dibuka sebelum penghujung tahun.

Malaysia juga memainkan peranan penting sebagai hab operasi JD Sports di Asia Tenggara yang merangkumi Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Melalui kerjasama dengan jenama global seperti Nike, adidas, New Balance, ON Running, Puma dan ASICS, JD Sports terus menawarkan koleksi eksklusif yang memenuhi cita rasa generasi muda.

Selain memperluaskan rangkaian butik, JD Sports turut memberi tumpuan kepada pengalaman membeli-belah secara omnichannel menerusi platform digital yang dinaik taraf pada 2025.

Antara kemudahan yang diperkenalkan ialah Ship From Store dan Click & Collect, sekali gus memudahkan pelanggan membeli produk secara dalam talian sebelum mengambilnya di butik pilihan mereka.

Terus Dekati Komuniti Sneaker Tempatan

Ketua Pegawai Eksekutif JD Sports Asia Tenggara, Andre Loong, berkata perjalanan selama 10 tahun itu tidak mungkin berlaku tanpa sokongan pengguna Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan budaya sneaker dan streetwear.

“Apabila kami memulakan operasi JD Sports di Malaysia 10 tahun lalu, kami melihat permintaan yang semakin meningkat terhadap budaya streetwear. Kami mahu menawarkan pelbagai jenama antarabangsa supaya pengguna tempatan mempunyai lebih banyak pilihan.

“JD Sport sentiasa mendengar apa yang dimahukan pelanggan dan berusaha merealisasikannya melalui pelbagai pilihan pakaian streetwear lengkap dari hujung kepala hingga ke kaki. Produk yang suatu ketika dahulu sukar diperoleh kini menjadi lebih mudah diakses di Malaysia.

“Sambutan ulang tahun ke-10 ini bukan sekadar meraikan JD Sports, tetapi juga sebagai tanda penghargaan kepada pengguna Malaysia, komuniti fesyen dan para pencipta kandungan yang telah menjadikan kami sebahagian daripada perjalanan mereka.

“Kami berkembang bersama-sama mereka dan untuk sedekad akan datang, kami akan terus membawa pengalaman membeli-belah bertaraf dunia, menawarkan pilihan kasut sukan, pakaian dan aksesori terbaik, selain memperkenalkan lebih banyak koleksi eksklusif ‘ONLY AT JD’ kepada pengguna tempatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif JD Sports Asia Tenggara, Andre Loong

Menurutnya lagi, JD Sports akan terus membawa lebih banyak produk eksklusif serta pengalaman membeli-belah bertaraf dunia kepada pengguna tempatan sepanjang dekad akan datang.

Acara Lima Hari Dengan Pelbagai Aktiviti

Sepanjang JD Frequency, pengunjung berpeluang melihat koleksi Only at JD yang menampilkan produk eksklusif dari masa lalu, masa kini dan akan datang, termasuk kasut, pakaian serta aksesori edisi terhad.

Acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis seperti SonaOne, Killa Driz, SVRN Porsche dari Thailand dan Zamaera, sekali gus menggabungkan dunia fesyen, muzik dan budaya belia di bawah satu bumbung.

Selain persembahan pentas, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai ganjaran eksklusif termasuk JD Utility Strap Personalisation, cabaran JD Hit the Beat Challenge serta peluang memenangi hadiah eksklusif.

Jenama-jenama utama seperti adidas, Nike, New Balance dan Puma turut menyediakan pelbagai aktiviti khas termasuk penyesuaian produk, hadiah eksklusif serta permainan interaktif sepanjang acara berlangsung.

BACA: CULTRA 2026 Himpunkan Ribuan Pelari, ASICS Terus Perkukuh Komitmen Terhadap Larian Denai

Dengan sambutan ulang tahun ke-10 ini, JD Sports Malaysia bukan sahaja meraikan pencapaian sebagai antara peruncit fesyen sukan terbesar di negara ini, malah mengukuhkan lagi komitmennya untuk terus menjadi destinasi utama buat komuniti sneaker dan athleisure.

Melalui gabungan produk eksklusif, pengalaman omnichannel serta kerjasama bersama jenama global, JD Sports berhasrat meneruskan pengaruhnya dalam membentuk budaya streetwear Malaysia untuk tahun-tahun akan datang.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim