Gaya Hidup

Jojo Laung Amaran Di Tokyo, Yakin Shimon Yoshinari Bukan Lawan Seimbang

Share

Bintang muda Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau mesra disapa Jojo, sekali lagi mencuri tumpuan menjelang pertarungan penting di pentas ONE Championship apabila tampil dengan keyakinan tinggi menjelang aksi menentang wakil Jepun, Shimon Yoshinari.

Pertarungan yang bakal berlangsung di ONE Samurai 1 di Ariake Arena, Tokyo itu dilihat sebagai ujian besar buat Jojo, namun petarung berusia 19 tahun itu langsung tidak gentar malah tampil dengan mesej yang cukup berani.

“Kalau dia nak kalahkan saya, mungkin dia perlukan keajaiban,” tegasnya.

Keyakinan Tinggi, Mentaliti Juara

Walaupun beraksi di laman lawan dan berdepan petarung yang dianggap sebagai pilihan, Jojo kekal tenang dan yakin dengan kemampuan sendiri.

Menurutnya, status underdog langsung tidak memberi tekanan kerana apa yang penting hanyalah prestasi di dalam gelanggang.

“Kalau dia nak kalahkan saya, dia perlukan banyak perkara mungkin sesuatu yang hampir mustahil. Saya tak nampak ia akan berlaku,” katanya.

Kenyataan itu jelas menggambarkan tahap keyakinan tinggi Jojo yang kini dilihat sebagai antara prospek paling menyerlah dalam divisyen flyweight Muay Thai ONE Championship.

Rekod Dan Prestasi Jadi Sandaran

Sejak kemunculannya di pentas ONE Championship, Jojo telah membuktikan dirinya bukan sekadar hype, tetapi petarung yang benar benar berbahaya.

Daripada 11 pertarungan, beliau mencatat lapan kemenangan termasuk lima knockout dan satu technical knockout. Lebih menarik, beliau belum pernah tewas secara knockout satu statistik yang cukup penting dalam dunia Muay Thai.

Prestasi konsisten ini menjadi asas keyakinannya untuk berdepan Yoshinari, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk menjadi individu pertama menewaskannya secara knockout.

“Itu apa yang dia kata. Tapi kalau ada sesiapa nak knockout saya, bukan dia,” balas Jojo.

Lawan Bukan Calang Calang

Namun begitu, Yoshinari bukan lawan yang boleh dipandang ringan.

Petarung Jepun berusia 21 tahun itu memiliki rekod profesional yang cukup mengagumkan dengan 24 kemenangan dan hanya satu kekalahan sepanjang karier Muay Thai.

Dalam ONE Championship pula, beliau mencatat empat kemenangan daripada lima pertarungan termasuk dua kemenangan menerusi technical knockout.

Ini menjadikan pertarungan ini sebagai pertembungan dua gaya berbeza antara agresif dan keyakinan tinggi milik Jojo serta disiplin teknikal Yoshinari.

Ujian Terbesar Dalam Karier

Pertarungan di Tokyo ini dilihat sebagai antara cabaran paling sukar buat Jojo setakat ini.

Beraksi di gelanggang lawan, berdepan sokongan penyokong tuan rumah serta tekanan untuk membuktikan diri menjadikan pertarungan ini lebih daripada sekadar satu perlawanan biasa.

Namun dengan semangat agi idup agi ngelaban, Jojo percaya beliau memiliki segala ramuan untuk mencipta kemenangan besar.

Peluang Ke Pentas Lebih Tinggi

Kemenangan dalam pertarungan ini bukan sekadar soal maruah tetapi juga membuka pintu kepada peluang lebih besar.

Jika berjaya menewaskan Yoshinari, Jojo berpotensi melonjak ke kelompok lima terbaik divisyen flyweight Muay Thai satu langkah penting ke arah perebutan gelaran dunia ONE Championship.

Momentum juga jelas memihak kepadanya selepas kemenangan terakhir ke atas wakil Myanmar, Ye Yint Naung menerusi keputusan sebulat suara di Bangkok.

BACA: Sabastian Sawe, Lakukan Maraton Bawah 2 Jam Rekod Luar Biasa Menggemparkan Dunia

Jojo bukan lagi sekadar prospek muda. Dia kini adalah pesaing sebenar dalam divisyen flyweight Muay Thai.

Dengan keyakinan, rekod dan mentaliti yang dimilikinya, pertarungan di Tokyo ini mungkin menjadi titik perubahan penting dalam kariernya.

Dan jika kata katanya menjadi kenyataan, dunia bakal menyaksikan satu lagi langkah besar seorang petarung muda Malaysia menuju puncak dunia.

Sumber: Sinar Harian

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim