
Perjalanan kemanusiaan seorang aktivis Itali bertukar menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya apabila beliau menemui hidayah di tempat yang tidak disangka apabila memeluk Islam di dalam tahanan pihak Zionis.
Berita ini menggembirakan seluruh umat Islam di seluruh dunia yang percaya bahawa inilah permulaan yang indah dalam setiap misi bantuan kemanusiaan.
Ketua kapal Maria Cristin dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF), Tommaso Bortolazzi, mendedahkan bahawa beliau memeluk Islam ketika ditahan pihak berkuasa Israel. Kisah menyentuh hati itu dikongsikan dalam temu bual eksklusif bersama Agensi Anadolu sebaik sahaja beliau selamat tiba di Istanbul, Turki.
Menurut Bortolazzi, penyertaannya dalam flotila bukan semata-mata sebagai aktivis, tetapi atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab moral untuk membantu rakyat Palestin yang dizalimi.
“Saya menyertai flotila kerana ia bukan hanya tentang Palestin, tetapi tentang keadilan dan kemanusiaan sejagat. Saya mahu lakukan sesuatu yang bermakna untuk mereka dan juga untuk negara saya,” ujarnya.
Namun, perjalanan yang bermula dengan niat suci itu bertukar menjadi ujian paling besar dalam hidupnya apabila beliau dan rakan-rakan ditahan tentera Israel.
Bortolazzi menggambarkan pengalaman ditahan sebagai saat paling mencabar. Beliau menyaksikan sendiri bagaimana tentera Israel menghalang rakan-rakan Muslimnya dari Turki untuk menunaikan solat.
“Saya melihat mereka sedang solat, lalu tentera Israel datang dan menghentikan mereka dengan kasar. Hati saya terasa amat tersentuh. Ketika itu, saya tahu saya perlu menentang ketidakadilan itu,” ceritanya.
Daripada rasa simpati dan marah terhadap kezaliman itu, lahir satu keputusan yang mengubah hidupnya buat selamanya.
“Selepas kejadian itu, saya bersama seorang rakan telah mengucap dua kalimah syahadah. Saat itu saya rasa seperti dilahirkan semula, satu perasaan damai dan gembira yang tidak pernah saya rasakan sebelum ini,” katanya penuh emosi.
Walaupun berdepan tekanan dan ketakutan sepanjang ditahan, Bortolazzi berkata semangat kebersamaan sesama aktivis tetap menjadi sumber kekuatan.
“Kami sedar nyawa kami dalam bahaya, tetapi kami tetap bersatu. Ketakutan itu tidak mematahkan semangat kami untuk terus berdiri bersama rakyat Palestin,” katanya.
Kini setelah dibebaskan, beliau menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak menutup mata terhadap penderitaan rakyat Palestin, sebaliknya terus menyokong usaha kemanusiaan yang sedang digerakkan.
“Apa yang saya lalui hanyalah sedikit berbanding apa yang mereka hadapi setiap hari. Dunia perlu terus bersuara,” tegasnya.
Sumber: anadoluagency, Kosmo