Kesihatan

Kesihatan Metabolik – Kenapa Gula Darah, Lemak, Tidur & Usus Saling Berkait

Share

Bila bercakap tentang metabolisme, ramai terus terbayangkan berat badan atau kemampuan tubuh “membakar kalori”. Hakikatnya, kesihatan metabolik jauh lebih luas. Ia melibatkan bagaimana tubuh menukarkan makanan kepada tenaga, mengawal gula dalam darah, lipid dan tekanan darah, serta mengekalkan keseimbangan pelbagai sistem tubuh.

Menurut Ketua Pendidikan dan Latihan Pemakanan Asia Pasifik, Herbalife, Dr. Vipada Sae-Lao, metabolisme tidak boleh dilihat melalui satu aspek sahaja.

“Metabolisme yang sihat bukan dicapai melalui satu amalan sahaja, sebaliknya melibatkan rangkaian saling berkaitan yang merangkumi komposisi tubuh, kesihatan usus, sistem imun, integriti kulit, tidur, pergerakan, hormon dan sistem saraf,” tambahnya lagi.

Ketua Pendidikan dan Latihan Pemakanan Asia Pasifik, Herbalife, Dr. Vipada Sae-Lao

Perkara ini semakin relevan apabila masalah kardiometabolik terus menjadi perhatian di Asia. Bahan yang dikongsikan Herbalife memetik laporan Institut Kesihatan Awam bahawa 35.9 peratus atau dianggarkan 8.5 juta orang dewasa Malaysia mengalami sindrom metabolik.

Keadaan ini merujuk kepada gabungan sekurang-kurangnya tiga faktor risiko termasuk tekanan darah tinggi, gula darah tinggi, lebihan lemak di bahagian abdomen serta paras kolesterol atau trigliserida yang tidak normal.

Berat Badan Bukan Satu-satunya Ukuran

Nombor pada penimbang tidak semestinya menggambarkan keseluruhan keadaan metabolik seseorang.

Komposisi tubuh, khususnya nisbah antara otot dan lemak, memberikan gambaran yang lebih luas. Tisu otot aktif secara metabolik dan menggunakan tenaga walaupun ketika seseorang sedang berehat.

Pada masa sama, lemak tetap diperlukan tubuh sebagai sumber tenaga dan sebahagian daripada struktur sel. Masalah mula timbul apabila berlaku pengumpulan lemak berlebihan, terutama di sekitar organ dalaman, yang boleh mengganggu keseimbangan metabolik dan dikaitkan dengan peningkatan keradangan.

Pemakanan juga memainkan peranan. Sumber lemak seperti ikan berlemak, kekacang, bijian dan minyak zaitun membekalkan asid lemak omega-3 yang, menurut bahan berkenaan, mempunyai peranan dalam fungsi metabolik, pemulihan otot serta pengurusan komposisi tubuh apabila diambil sebagai sebahagian daripada diet seimbang.

Kawalan Gula Darah Penting Sejak Awal

Kesihatan metabolik juga berkait rapat dengan kemampuan tubuh menguruskan glukosa.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang dirujuk dalam bahan tersebut, sekitar satu daripada enam orang dewasa Malaysia menghidap diabetes.

Setiap kali karbohidrat dimakan, glukosa memasuki aliran darah dan insulin membantu membawanya ke dalam sel untuk digunakan sebagai tenaga.

Namun pengambilan karbohidrat ringkas secara kerap tanpa serat, protein atau aktiviti fizikal yang mencukupi boleh menyebabkan lonjakan gula darah berulang.

Antara pendekatan yang disarankan ialah membina hidangan dengan karbohidrat berindeks glisemik lebih rendah, protein tanpa lemak, lemak sihat dan serat.

Waktu makan yang lebih konsisten serta mengelakkan makan terlalu lewat malam turut dikaitkan dengan penyelarasan metabolisme mengikut jam biologi tubuh.

Jangan Abaikan Kesihatan Usus

Hubungan antara usus dan metabolisme turut menjadi semakin penting dalam perbincangan kesihatan moden.

Trilion mikroorganisma yang membentuk mikrobiom usus berinteraksi dengan pelbagai sistem tubuh dan mempengaruhi bagaimana nutrien diproses.

Mikrobiom yang pelbagai dan mendapat nutrien mencukupi boleh menyokong fungsi metabolik, manakala ketidakseimbangan boleh mempengaruhi cara tubuh mengawal tenaga serta menyimpan lemak.

Pengambilan makanan tinggi serat dan prebiotik, sumber probiotik serta diet yang pelbagai menjadi antara cara menyokong mikrobiom dalam jangka panjang.

Tidur & Tekanan Turut Masuk Dalam Persamaan

Seseorang boleh menjaga pemakanan dan aktif bersenam, tetapi tidur dan tekanan masih mempunyai pengaruh besar.

Tidur berkualiti dan pengurusan tekanan membantu menyokong sistem hormon serta saraf. Ia turut berkait dengan pengawalan kortisol, sensitiviti insulin, hormon selera makan, tahap tenaga dan paras gula dalam darah.

Ini menjelaskan mengapa kesihatan metabolik tidak boleh diselesaikan melalui satu “diet ajaib” atau satu rutin senaman semata-mata.

Kulit Juga Boleh Memberi Petunjuk

Menariknya, kesan ketidakseimbangan dalaman kadangkala turut terlihat pada kulit.

Bahan Herbalife menjelaskan bahawa keadaan kulit tidak boleh digunakan untuk menentukan kesihatan metabolik secara langsung, tetapi ia boleh mencerminkan beberapa faktor dalaman termasuk kesihatan usus, kawalan gula darah, komposisi tubuh, tidur dan tekanan.

Pengambilan protein yang mencukupi, buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna-warni serta hidrasi yang baik membantu menyediakan nutrien yang diperlukan untuk pembaharuan dan struktur kulit, sambil menyokong fungsi tubuh secara keseluruhan.

Bagi Dr. Vipada, perkara paling penting akhirnya kembali kepada konsistensi. “Kesimpulannya, kesihatan metabolik yang baik adalah mengenai keseimbangan, apabila tubuh secara beransur-ansur menyesuaikan diri merentasi pelbagai sistem.

BACA: ASICS Raikan Semangat Larian Malaysia, Perkenal Koleksi KLSCM 2026 & 42 ‘Pacer’ Rasmi

“Jika diamalkan secara konsisten, pilihan kecil yang dibuat setiap hari dapat menjadi asas kepada fungsi metabolik yang lebih baik, peningkatan kesejahteraan secara keseluruhan serta kesihatan jangka panjang yang mampan.”

Kesihatan metabolik akhirnya bukan mengenai satu angka pada penimbang. Ia adalah hasil bagaimana pemakanan, otot, usus, tidur, hormon, pergerakan dan tabiat harian bekerja bersama dalam satu sistem yang saling berkaitan.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Published by
Farizul Izwany Ibrahim