Gaya Hidup

KLSCM Jadi Platform Pemilihan Awal Atlet Marathon Ke Sukan SEA 2027

Share

Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) mencipta satu lagi pencapaian penting dalam sejarah sukan negara apabila diumumkan sebagai acara pemilihan awal rasmi bagi kategori maraton ke Sukan SEA 2027.

Pengumuman itu dibuat menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia Athletics dan Dirigo Events, selaku pemilik hak serta penganjur KLSCM, yang berlangsung di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM).

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha baharu Malaysia Athletics untuk menyediakan laluan pembangunan atlet yang lebih sistematik dan memberi persediaan lebih awal kepada pelari negara menjelang temasya Sukan SEA 2027.

Pendekatan Baharu Untuk Atlet Maraton

Menurut Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Wan Hisham Wan Salleh, badan induk olahraga negara kini mengambil pendekatan yang lebih proaktif dengan memberi fokus kepada pembangunan atlet sejak awal.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai ramai bakat dalam acara maraton yang boleh diketengahkan sekiranya diberikan perancangan dan pendedahan yang lebih tersusun.

Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Wan Hisham Wan Salleh

“Malaysia mempunyai bakat dalam acara maraton yang boleh terus dipupuk dan kami sedang meneroka laluan pembangunan yang lebih terancang bagi membawa mereka ke tahap lebih tinggi.

“Pada masa sama, kami berharap dapat mengenal pasti lebih ramai bakat baharu yang berpotensi,” tambah beliau lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia Athletics mahu melihat lebih ramai pelari negara bersaing di pentas antarabangsa melalui sasaran latihan yang lebih jelas sepanjang tahun.

KLSCM Terus Kukuhkan Status

Pemilihan KLSCM bukan sesuatu yang mengejutkan. KLSCM merupakan satu-satunya acara larian jalan raya di Malaysia yang memiliki pengiktirafan World Athletics Elite Label, sekali gus meletakkannya dalam kelompok acara larian bertaraf dunia.

Edisi KLSCM 2026 dijadualkan berlangsung pada 3 dan 4 Oktober dengan penyertaan lebih 40,000 pelari dari seluruh Malaysia serta lebih 70 negara.

Penyertaan atlet antarabangsa termasuk dari negara-negara Asia Tenggara turut memberikan platform kompetitif yang sangat sesuai untuk menilai prestasi pelari tempatan.

Kerjasama Jangka Panjang

Pengarah Dirigo Events merangkap Pengarah Projek KLSCM, Rainer Biemans, menyifatkan pemilihan tersebut sebagai satu penghormatan besar buat penganjur.

“Kami amat berbesar hati apabila KLSCM dipilih sebagai acara pemilihan awal rasmi. Ini merupakan satu pencapaian penting buat olahraga Malaysia dan selari dengan misi kami untuk terus meningkatkan standard larian jarak jauh di negara ini.”

Pengarah Dirigo Events merangkap Pengarah Projek KLSCM, Rainer Biemans

Menurut beliau, kerjasama tersebut menjadi langkah pertama kepada hubungan jangka panjang antara Dirigo Events dan Malaysia Athletics dalam membangunkan sukan larian negara.

“Kami teruja dapat bekerjasama rapat dengan Malaysia Athletics bagi membantu Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027. Ini merupakan permulaan kepada kerjasama jangka panjang dalam membangunkan atlet serta kelestarian industri sukan.”

BACA: Ronaldo Tutup Mulut Pengkritik, Kini Jadi Pemain Pertama Jaringkan Gol Di Enam Edisi Piala Dunia

Atlet Bakal Terima Lebih Banyak Sokongan

Menerusi memorandum persefahaman itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama menyediakan program pembangunan yang lebih menyeluruh kepada atlet maraton negara.

Antara inisiatif yang dirancang termasuk meningkatkan pendedahan pertandingan di peringkat serantau dan antarabangsa, akses kepada kemudahan latihan serta perkhidmatan sains sukan di bawah Institut Sukan Negara (ISN), selain memperkukuhkan program kejurulatihan secara bersama.

Malaysia Athletics dan Dirigo Events dijangka mengadakan perbincangan lanjut bagi memperincikan pelaksanaan program tersebut dalam masa terdekat.

Suntikan Besar Kepada Larian Malaysia

Pengumuman ini dilihat sebagai satu perkembangan positif kepada komuniti larian tempatan.

Selama ini, KLSCM bukan sahaja menjadi acara tahunan terbesar negara, malah turut melahirkan ramai pelari yang berjaya memperbaiki catatan peribadi serta bersaing di peringkat antarabangsa.

Dengan status baharu sebagai platform pemilihan awal Sukan SEA 2027, KLSCM kini membawa tanggungjawab yang lebih besar dalam mencungkil bakat baharu serta membantu melahirkan atlet maraton yang mampu bersaing untuk membawa pulang pingat buat Malaysia.

Langkah ini juga mengukuhkan lagi kedudukan KLSCM sebagai acara larian paling berprestij di negara ini, bukan sekadar untuk pelari rekreasi, malah sebagai pentas penting dalam pembangunan atlet elit Malaysia.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim