
Foto: Kosmo
Sabah hari ini diselubungi kedukaan dengan pemergian salah seorang pemimpin yang paling lantang dan berani memperjuangkan hak serta kesejahteraan rakyatnya. Datuk Seri Bung Moktar Radin disahkan meninggal dunia pada jam 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Pemergian Allahyarham yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, meninggalkan ruang besar dalam landskap politik negeri itu. Nama Bung Moktar Radin sinonim dengan perjuangan rakyat Sabah dan keberanian beliau menegakkan keadilan tanpa gentar.
Allahyarham Bung Moktar Radin, yang sinonim dengan laungan keramat “Radu Tatap Radu” atau “Lawan Tetap Lawan”, dikenali sebagai figura politik yang tidak pernah gentar menyuarakan isu-isu kritikal yang dihadapi rakyat Sabah.
Kelantangan beliau merentasi isu asas kehidupan rakyat, daripada masalah infrastruktur, bekalan air bersih, jalan raya, sehinggalah kepada peluang ekonomi di luar bandar.
Dilahirkan pada 15 September 1959 di Sukau, Kinabatangan, Allahyarham menunjukkan komitmen yang tinggi dalam pendidikan, memiliki Ijazah Sarjana Falsafah (Analisis Polisi dan Keselamatan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Perjalanan kerjaya dan pentadbiran Bung Moktar Radin adalah luas dan strategik. Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam (Jabatan Hal Ehwal Khas Sandakan, MARA Sandakan) sebelum beralih ke arena politik.
Beliau merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan selama enam penggal berturut-turut, bermula pada PRU-10, November 1999. Sepanjang khidmatnya, Bung Moktar Radin terkenal sebagai wakil rakyat yang tegas dan vokal membangkitkan isu-isu Sabah di Parlimen.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 (2020), beliau memenangi kerusi DUN Lamag dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah serta Menteri Kerja Raya Sabah. Beliau baru sahaja mempertahankan kerusi DUN Lamag dalam PRN Sabah Ke-17 baru-baru ini, membuktikan kepercayaan rakyat terhadap Bung Moktar Radin tidak pernah luntur.
Selain mengetuai UMNO dan BN Sabah, beliau turut pernah memegang jawatan penting seperti Pengerusi FELCRA dan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA). Dalam setiap peranan, Bung Moktar Radin menekankan tanggungjawab terhadap pembangunan rakyat dan negeri Sabah.
BACA: Arjen Robben, Kini Bergelar Pemain Padel Profesional
Pemergian beliau telah meninggalkan kesan yang amat mendalam, terutamanya buat rakan seperjuangannya di gelanggang politik. Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan Allahyarham sebagai pahlawan politik sebenar. Dalam catatan media sosialnya, beliau menulis:
“Tiada apa yang mampu diluahkan. Dalam hati kami, kamu masih hero kami… Alfatihah kepada seorang pejuang.”
(In our hearts, you are still a hero to us… Alfatihah to a fighter).
Barisan kepimpinan negara turut merakamkan ucapan takziah. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Datuk Seri Mohamad Sabu pula menghargai khidmat bakti Allahyarham selama puluhan tahun, manakala Datuk Seri Mohamad Hasan berharap roh beliau ditempatkan bersama para siddiqin.
Allahyarham meninggalkan dua isteri, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh orang anak.
Pemergian Bung Moktar Radin adalah kehilangan yang amat besar buat rakyat Sabah dan dunia politik Malaysia. Namun, legasi keberanian, kelantangan, dan komitmen beliau terhadap rakyat Sabah akan terus kekal sebagai inspirasi buat generasi baharu.
“Radu Tatap Radu” bukan sekadar slogan, ia adalah semangat perjuangan yang akan terus hidup dalam hati rakyat yang pernah merasai jasa dan suara lantang Bung Moktar Radin.
Al-Fatihah.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.