
Persoalan tentang siapa lebih banyak curang, lelaki atau wanita? Ia ibarat perdebatan lama yang tak pernah padam.
Bahkan topik ini sering jadi bahan gosip utama melibatkan artis atau selebriti. Ia juga masih menjadi topik utama drama televisyen, malah kadangkala alasan untuk bertekak dalam perbualan santai.
Tetapi, bila kita lihat pada data sebenar, jawapannya tidak semudah menuding jari kepada satu pihak sahaja. Statistik global dan tempatan mendedahkan bahawa isu kecurangan bukan hanya berpunca daripada jantina.
Ia adalah kombinasi faktor. Di antaranya kepuasan dalam hubungan, personaliti, peluang sosial, serta pengaruh budaya.
Di Malaysia khususnya, beberapa kajian terkini membongkar sisi yang lebih dalam – bahawa kecurangan itu lebih kompleks daripada sekadar “lelaki miang” atau “wanita tak setia”.
Menariknya, ada perbezaan jelas antara angka global dengan apa yang berlaku di Malaysia dan rantau Asia. Mari kita selami apa sebenarnya yang dikatakan oleh penyelidikan terkini.
Di peringkat global, kajian General Social Survey di Amerika Syarikat merekodkan bahawa 20% lelaki dan 13% wanita pernah berlaku curang dalam perkahwinan. Namun, data dari Malaysia memberi nuansa berbeza.
Satu kajian tahun 2025 yang melibatkan 292 individu berkahwin mendapati kepuasan seksual dan kepuasan hubungan memainkan peranan besar terhadap niat untuk curang. Lagi rendah kepuasan, lagi tinggi risiko.
Kajian itu juga mencatatkan bahawa lelaki lebih cenderung melaporkan niat untuk curang berbanding wanita. Menariknya, kepuasan hubungan bertindak sebagai mediator – kalau hubungan secara keseluruhan bahagia, walaupun seks kurang memuaskan, niat curang masih boleh terkawal.
“Kepuasan hubungan memediasi hubungan antara kepuasan seks dan niat curang.” – Kajian Sex life dissatisfaction contribute to intention toward infidelity among Malaysians (2025).
Faktor personaliti juga tidak boleh diketepikan. Dalam kajian tempatan mengenai ciri “Dark Triad” (Machiavellianism, narcissism, psychopathy), hanya psychopathy menunjukkan kaitan signifikan dengan niat curang di kalangan pasangan berkahwin.
Ini bermaksud, sifat manipulatif atau terlalu cintakan diri tidak semestinya menjurus kepada kecurangan. Tetapi sifat impulsif, kurang empati, dan berani melanggar norma moral – ciri yang berkait dengan psychopathy – jelas lebih relevan dalam konteks ini.
Di sisi lain, laporan perceraian di Malaysia juga menambah lapisan fakta. Dalam kalangan pasangan berumur 35–39 tahun, 11.8% lelaki
dan 20.5% wanita menyebut infidelity atau kecurangan sebagai punca perceraian.Angka ini menunjukkan bahawa wanita juga sama terkesan, malah dalam kes tertentu lebih banyak menyalahkan kecurangan sebagai penyebab utama.
Kehidupan di era media sosial dan aplikasi dating membuka ruang baharu untuk hubungan luar nikah. Kajian di Asia menunjukkan faktor seperti ketidakpuasan emosi, perhatian yang kurang, serta peluang interaksi digital memainkan peranan besar.
Dalam konteks Malaysia, kajian kualitatif terhadap lelaki yang berhubungan dengan wanita berkahwin mendedahkan motivasi seperti masalah rumah tangga, rasa ingin tahu dan tarikan karakter wanita itu sendiri.
Semua ini membuktikan bahawa kecurangan bukanlah soal siapa lebih “nakal”, tetapi lebih kepada gabungan faktor dalaman dan luaran. Statistik boleh beri bayangan, namun realiti setiap pasangan lebih kompleks daripada angka di atas kertas.
BACA: 10 Punca Lelaki Curang & Apa Yang Wanita Perlu Tahu
Kesimpulannya, perbuatan curang ini tidak mengenal jantina. Lelaki dan wanita, kedua-duanya terdedah dengan risiko ini.
Faktor kepuasan hubungan, personaliti, budaya, dan peluang adalah pendorong utama yang merentas sempadan jantina.
Buat lelaki, pengajaran paling besar adalah jangan jadikan statistik sebagai alasan, tetapi gunakan data sebagai refleksi. Perhatikan kepuasan dalam hubungan, kenali diri sendiri, dan fahami bahawa di era digital ini, sempadan kesetiaan lebih mudah diuji daripada dulu.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.