
Berpantang ajal sebelum maut. Itulah peribahasa yang paling tepat untuk menggambarkan keberanian luar biasa seorang lelaki dari pedalaman Sarawak yang berdepan detik ngeri bertarung nyawa diserang seekor buaya ganas.
Kejadian yang berlaku di Kuala Tutoh, Baram, Sarawak itu menyaksikan Dennis Karon, 39 tahun, hampir maut apabila disambar dan diseret buaya.
Kejadian berlaku ketika dia sedang menjala ikan bersama abang dan rakannya di luagan berdekatan rumah panjang mereka.
Sebelum tragedi, mereka sempat makan bersama di tebing sungai sebelum turun ke perahu untuk menjala. Ketika ternampak buih ikan yang banyak, Dennis menyuruh rakannya menebar jala ke arah kawasan itu.
Namun, jala tersebut tersangkut di dasar luagan. Dennis dan abangnya mengambil keputusan untuk terjun ke dalam air bagi melepaskan jala yang tersekat.
Apa yang berlaku selepas itu benar-benar mengubah segalanya. Abangnya naik semula ke perahu, tetapi Dennis tidak timbul-timbul. Hampir sepuluh minit mereka menunggu, sambil memanggil dan mengetuk perahu dengan pengayuh, namun Dennis tidak muncul.
Ketika semua hampir putus harapan, tiba-tiba Dennis timbul di tengah loagan. Dalam keadaan cemas dan cedera, dia menjerit meminta diselamatkan buaya itu masih mengejarnya dan mahu menyerang lagi.
Tanpa berlengah, abang dan rakannya mengayuh sekuat hati ke arah Dennis dan menariknya ke dalam perahu. Dalam keadaan panik, mereka terus menghubungi penduduk kampung untuk bantuan segera.
Dennis mengalami kecederaan di bahagian tangan dan punggung akibat gigitan reptilia ganas itu.
Dia dibawa menaiki perahu dari Kampung Kuala Tutoh ke Kampung Benawa, iaitu satu-satunya laluan darat yang boleh dilalui kenderaan ke Hospital Marudi.
Laluan itu bukan jalan berturap, sebaliknya masih jalan tanah yang tidak rata namun tetap penting dalam situasi kecemasan seperti ini.
Selepas rawatan awal di Marudi, Dennis dipindahkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut. Kampung Kuala Tutoh sendiri masih belum mempunyai sambungan jalan raya. Ia bergantung sepenuhnya kepada laluan air melalui Sungai Baram untuk sebarang bentuk perhubungan.
Sumber: Sarawak Edition
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.