
Kanser kolon atau kanser usus besar kini menjadi antara penyakit yang paling banyak menyerang lelaki di Malaysia. Statistik kesihatan menunjukkan kira-kira 15 daripada 100,000 lelaki menghidap kanser kolorektal, menjadikannya penyebab kematian ketiga utama akibat kanser di negara ini.
Lebih membimbangkan, faktor risiko utama datang daripada gaya hidup lelaki moden sendiri — diet tinggi daging merah, kurang serat, kurang bersenam, merokok serta tekanan hidup. Namun, berita baiknya ialah anda masih boleh mengurangkan risiko dengan pemakanan yang betul. Menurut doktor perubatan terkenal, Dr Karan Raj, ada empat makanan mudah yang diamalkannya setiap hari untuk menjaga kesihatan usus sekaligus menurunkan risiko kanser kolon.
@dr.karanr
4 foods to reduce your risk of colon cancer
♬ original sound – Dr Karan Rajan
Yogurt bukan sekadar baik untuk pencernaan, tetapi juga kaya dengan kalsium. Kajian dalam International Journal of Cancer mendapati pengambilan tambahan 300mg kalsium sehari boleh menurunkan risiko kanser kolon sebanyak 8%. Sama ada yogurt tenusu atau berasaskan tumbuhan, kedua-duanya memberi kesan positif. Malah, lelaki yang mengambil dua hidangan yogurt seminggu terbukti mempunyai risiko polip (tumbuhan pra-kanser) yang lebih rendah.
Prebiotik adalah makanan kepada bakteria baik usus. Buah-buahan beri seperti strawberi, raspberi dan blackberi antara sumber terbaik. Jika digabungkan bersama yogurt, ia menghasilkan kesan sinbiotik yang lebih berkuasa. Dr Karan menjelaskan, prebiotik membantu menghasilkan metabolit pelindung di kolon yang seterusnya mengurangkan risiko pertumbuhan sel kanser.
Ramai lelaki tidak mencapai jumlah serat harian yang disarankan, sedangkan ia sangat penting untuk kesihatan usus. Kajian dalam BMJ Journal mendapati setiap tambahan 10g serat sehari — bersamaan separuh biji avokado atau secawan buah beri — mampu menurunkan risiko kanser kolon sebanyak 10%. Serat juga sangat berkesan bagi mereka yang kerap mengambil daging merah atau makanan diproses.
Secawan kopi O setiap hari bukan hanya untuk tenaga, tetapi juga sebagai pelindung usus. Kopi mengandungi polifenol dan serat prebiotik yang bertindak sebagai antioksidan. Kajian pada 2019 menunjukkan pengambilan kopi secara konsisten boleh mengurangkan risiko kanser kolon sehingga 21%. Jika anda sensitif terhadap kafein, pilih kopi decaf kerana manfaatnya tetap sama.
Selain empat makanan utama ini, Dr Karan turut menyarankan stew epal kerana ia kaya dengan serat larut pektin dan polifenol. Apabila dimasak, kandungan ini lebih mudah diuraikan oleh bakteria baik usus untuk menghasilkan asid lemak rantai pendek yang melindungi kolon daripada keradangan.
Fakta kesihatan menunjukkan lelaki lebih berisiko berbanding wanita untuk mendapat kanser kolon, terutama selepas usia 50 tahun. Risiko bertambah jika anda obes, kurang aktif, merokok, atau mempunyai sejarah keluarga. Gejala awal mungkin tidak jelas, tetapi tanda-tanda seperti najis berdarah, sakit perut berulang, penurunan berat badan tanpa sebab, dan perubahan corak buang air besar wajar diberi perhatian serius.
Kesihatan usus adalah kunci kepada tubuh yang cergas dan minda yang fokus. Amalkan empat makanan ini — yogurt, prebiotik, serat, dan kopi O — setiap hari sebagai benteng pertahanan. Sebagai lelaki maskulin, melindungi diri daripada kanser kolon bukan sekadar soal kesihatan, tetapi juga bukti anda menghargai hidup dan keluarga.