
Leukemia mieloid kronik atau CML kini tidak lagi dilihat sebagai hukuman mati, tetapi sebagai satu keadaan kronik yang boleh diuruskan dengan baik.
Dalam dunia perubatan hari ini, definisi kanser semakin berubah. Ia bukan lagi sekadar tentang bertahan hidup, tetapi bagaimana seseorang boleh terus menjalani kehidupan yang bermakna walaupun berdepan penyakit kronik.
Perubahan ini jelas dilihat dalam pengurusan leukemia mieloid kronik atau CML, sejenis kanser darah yang kini semakin dianggap sebagai penyakit kronik yang boleh dikawal, bukannya hukuman mati seperti dahulu.
Menurut Pakar Perunding Hematologi dan Transplan, Dr. Andy Tang Sing Ong, kemajuan rawatan telah membuka peluang baharu kepada pesakit Leukemia Mieloid Kronik untuk hidup seperti biasa.
“CML berkembang secara beransur ansur dan ramai pesakit berasa sihat pada peringkat awal. Oleh kerana gejala awalnya samar atau tiada langsung, ia sering ditemui secara kebetulan melalui ujian darah rutin yang menunjukkan bilangan sel darah putih yang tidak normal,” jelasnya.
Inilah yang dialami oleh Azizul Adzhar, 34 tahun, yang menerima diagnosis Leukemia Mieloid Kronik atau CML secara tidak dijangka pada penghujung 2018.
“Saya menjalani ujian darah rutin, dan tiba tiba seluruh hidup saya berubah. Apabila diagnosis disahkan, saya berasa terkejut, takut dan keliru. Saya sihat, aktif, dan tiada sejarah keluarga menghidap leukemia. Saya asyik bertanya kepada diri sendiri, ‘Bagaimana perkara ini boleh berlaku?’”
Fasa awal selepas diagnosis bukan sesuatu yang mudah. Azizul mengalami kemerosotan kesihatan sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital dan pergerakannya terjejas buat sementara waktu.
“Pada satu ketika, saya perlu menggunakan kerusi roda dan terpaksa mengambil cuti kerja. Ia benar benar tempoh yang menguji fizikal dan emosi saya,” katanya.
Namun, perspektif terhadap penyakit ini mula berubah apabila beliau memahami keadaan sebenar Leukemia Mieloid Kronik atau CML.
“Pada awalnya, saya tidak benar benar memahami apa itu CML, dan itu membuatkan saya lebih takut. Apabila saya mula belajar dengan lebih mendalam, saya menjadi kurang cemas. Saya sedar keadaan ini sesuatu yang boleh saya kawal dan teruskan kehidupan dengannya.”
Menurut Dr. Tang, dengan rawatan dan pemantauan yang betul, kebanyakan pesakit leukemia mieloid kronik kini boleh menikmati jangka hayat yang hampir normal.
“Dengan intervensi dan pemantauan penyakit yang sesuai, kebanyakan individu dengan CML boleh mempunyai jangka hayat yang hampir sama seperti mereka yang tidak menghidap CML. Sebab itu kita semakin melihat CML sebagai penyakit kronik yang boleh diuruskan dalam jangka panjang,” jelasnya.
Rawatan utama bagi CML adalah terapi bersasaran dikenali sebagai perencat tirosin kinase atau TKI, yang berfungsi menyekat protein abnormal yang menyebabkan penyakit ini.
Namun, akses kepada rawatan sahaja tidak mencukupi. Pemantauan berkala, ujian darah khusus serta penjagaan oleh pakar berpengalaman memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan rawatan.
Bagi Azizul, disiplin menjadi kunci utama dalam perjalanan pemulihannya. Rutin harian perlu diubah, termasuk jadual makan, tidur dan pengambilan ubat yang ketat.
“Ini bermakna saya perlu menyusun semula waktu tidur, makan dan rutin harian. Ketika Ramadan, cabarannya lebih besar,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Azizul tidak membiarkan penyakitnya menghalang kehidupan.
Pada tahun 2020, beliau mengambil keputusan untuk berkahwin selepas berbincang secara terbuka dengan doktor dan pasangannya mengenai keadaan kesihatan dan masa depan.
“Doktor menerangkan apa yang perlu saya tahu, dan saya jujur dengan isteri saya sejak awal lagi. Dia memahami rutin rawatan saya dan memberi sokongan tanpa syarat,” katanya.
Selepas empat tahun menjalani rawatan secara konsisten, Azizul mencapai tahap remisi tanpa rawatan atau treatment free remission pada 2022, satu pencapaian penting dalam pengurusan CML.
“Apabila dimaklumkan saya tidak perlu lagi mengambil ubat setiap hari, rasanya luar biasa. Saya terus menghubungi ibu bapa dan isteri untuk berkongsi berita itu,” katanya.
Kini, beliau bukan sahaja menjalani kehidupan normal, malah aktif dalam sukan termasuk menamatkan larian separuh maraton 21 kilometer dan sedang bersedia untuk maraton penuh.
“Bagi saya, menamatkan perlumbaan itu sangat simbolik. Sama seperti rawatan, anda tidak akan sampai ke garisan penamat tanpa disiplin dan komitmen,” katanya.
Selain itu, Azizul kini aktif membantu pesakit lain melalui Max Family Society Malaysia, berkongsi pengalaman dan memberi sokongan kepada mereka yang baru didiagnosis.
BACA: Benarkah Larian Menyebabkan Kecederaan Serius Pada Lutut?
“Saya tidak boleh terus hidup dalam ketakutan. Saya mahu meminjamkan kekuatan saya kepada pesakit baharu. Tidak mengapa untuk berasa takut, tetapi dengan komitmen, sokongan dan penjagaan yang betul, anda boleh menjalani kehidupan yang baik.”
Kisah Azizul membuktikan bahawa kanser bukan lagi penghujung kehidupan, tetapi satu perjalanan yang boleh dilalui dengan kekuatan, ilmu dan sokongan yang betul.
Dan dalam dunia hari ini, mesejnya jelas, hidup bukan sekadar bertahan. Tetapi bagaimana untuk terus hidup dengan lebih bermakna.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.