
Gaya prep selama ini cukup sinonim dengan imej kemas, tersusun dan sedikit konservatif. Kemeja berkolar, seluar berpotongan rapi serta padanan warna yang terkawal sering menjadi formula utama untuk mendapatkan penampilan tersebut. Namun untuk musim baharu, Levi’s memilih untuk melonggarkan segala aturan itu menerusi kempen global Keep It Loose.
Kempen berkenaan menyatukan dua ikon daripada latar dunia yang berbeza, iaitu bintang pop antarabangsa ROSÉ dan pemain bola keranjang Shai Gilgeous-Alexander, yang juga merupakan penyandang gelaran Pemain Paling Bernilai NBA.
Mereka berdua tampil sebagai wajah utama koleksi Loose Prep yang cukup signifikan dalam himpunan FW2026 Levi’s.
Pemilihan ROSÉ dan Shai bukan sekadar bergantung kepada populariti. Kedua-duanya dikenali dengan identiti fesyen yang kuat serta keberanian menggayakan pakaian mengikut karakter sendiri. Dalam kempen ini, mereka diberikan ruang untuk mentafsir koleksi Loose Prep tanpa terikat kepada satu formula tetap.
Konsep di sebalik Keep It Loose
bermula daripada satu idea mudah. Gaya prep tradisional mempunyai kod pemakaian yang agak tegas, manakala Loose Prep cuba melonggarkan kod tersebut.Koleksi ini masih mengambil inspirasi daripada elemen klasik, tetapi diterjemahkan semula menerusi siluet lebih longgar, perkadaran yang tidak dijangka dan pendekatan penggayaan lebih bebas.
Ia bukan usaha untuk membuang terus identiti asal gaya prep, sebaliknya memberikan ruang kepada pemakai untuk mengubah dan menyesuaikannya mengikut personaliti sendiri.
Pendekatan ini terasa relevan dalam era apabila trend pakaian sering ditentukan oleh algoritma, media sosial dan kecenderungan untuk kelihatan seragam. Levi’s sebaliknya mahu meraikan keaslian serta kebebasan individu.
Mesejnya cukup jelas. Seseorang yang benar-benar memahami gaya tidak semestinya perlu mengikut semua peraturan. Ada kalanya, keyakinan untuk mengetepikan sesuatu aturan hadir kerana individu itu cukup memahami bagaimana pakaian boleh diolah dengan baik.
Bagi ROSÉ, Loose Prep menjadi ruang untuk menampilkan gaya yang ringkas namun masih kelihatan malar segar. Penampilannya banyak bergantung kepada pemilihan perincian, permainan lapisan dan cara setiap helaian disusun.
Beliau menggayakan padanan Loose Taper, Loose Boot serta beberapa helaian baju daripada rangkaian Loose Prep. Pakaian tersebut dilapisi, disimpul dan digabungkan mengikut pendekatannya sendiri.
Hasilnya tidak kelihatan terlalu dirancang, tetapi masih mempunyai struktur. Siluet longgar memberikan keselesaan dan pergerakan, manakala teknik layering memastikan keseluruhan penampilan tidak kelihatan mendatar.
Gaya ROSÉ juga menunjukkan bahawa pakaian longgar tidak semestinya menghilangkan bentuk atau identiti pemakai. Pemilihan lapisan yang betul, keseimbangan antara bahagian atas dan bawah serta penggunaan tekstur boleh menjadikan penampilan lebih menarik tanpa perlu bergantung kepada aksesori berlebihan.
Shai Gilgeous-Alexander pula membawa karakter berbeza. Gaya beliau lebih santai, bersahaja dan mempunyai pengaruh jelas daripada budaya bola keranjang serta fesyen jalanan.
Antara helaian utama yang digayakannya ialah 501 Loose dan Baggy Barrel. Kedua-duanya menampilkan potongan lebih lebar yang memberikan karakter kuat, tetapi masih mudah dipadankan dengan pakaian harian.
Kekuatan penampilan Shai terletak pada keyakinannya. Beliau menjadikan pakaian longgar kelihatan semula jadi, bukannya seperti sengaja dibesarkan untuk mengejar trend.
Untuk lelaki yang mahu mencuba siluet sebegini, kuncinya ialah mengawal perkadaran. Seluar baggy boleh dipadankan dengan baju yang mempunyai struktur pada bahu, jaket berpotongan kemas atau kasut dengan bentuk lebih kukuh. Tujuannya bukan mengecilkan keseluruhan penampilan, tetapi memastikan setiap bahagian kelihatan seimbang.
Walaupun ROSÉ dan Shai membawa dua pendekatan berbeza, kedua-duanya berkongsi satu perkara yang sama, iaitu kebebasan untuk menjadikan pakaian sebagai sebahagian daripada identiti.
ROSÉ menonjolkan gaya lebih terperinci melalui lapisan dan susunana helaian, manakala Shai membawa kesan santai melalui potongan longgar dan pembawaan bersahaja. Gabungan kedua-dua dunia ini menjadi gambaran utama kempen Keep It Loose.
BACA: Dua Badang Negara Gegarkan Glasgow, Sukan Angkat Berat Malaysia Raih Dua Emas Penuh Bergaya
Kempen global tersebut merangkumi filem utama, visual fotografi dan pengaktifan khas di butik terpilih Levi’s. ROSÉ dan Shai masing-masing muncul dalam filem berdurasi 30 saat serta 15 saat yang diiringi lagu klasik EPMD, You Gots to Chill
. Pemilihan lagu hip-hop daripada era lewat 1980-an hingga awal 1990-an itu memperkukuh karakter santai serta semangat keaslian budaya yang dibawa kempen berkenaan.Kempen Levi’s ini dirakam menggunakan filem oleh jurugambar dan pengarah Britain, Mel Bles. Sinematografinya dikendalikan João de Botelho, manakala rekaan set dihasilkan oleh Spencer Vrooman. Beberapa butik utama Levi’s di seluruh dunia turut menampilkan suntingan khas penampilan ROSÉ dan Shai bagi memberikan gambaran lebih dekat tentang cara mereka menggayakan koleksi tersebut.
Kempen Keep It Loose dilancarkan pada 4 Ogos 2026. Koleksi Loose Prep pula boleh didapati di semua butik Levi’s seluruh Malaysia serta menerusi laman rasmi Levi’s Malaysia.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.