
Langit Kuala Lumpur ‘menyala’ dengan warna, muzik dan semangat cintakan Malaysia apabila ‘Light Up Astro’ mengambil alih kawasan Dataran Merdeka, berlatarbelakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad pada Ahad lalu.
Di tengah-tengah kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, acara itu membawa satu lagi makna istimewa apabila Astro meraikan perjalanan tiga dekadnya bersama rakyat Malaysia.
Seramai lebih 40,000 pengunjung hadir memeriahkan acara tersebut, menyaksikan sebuah sambutan yang bukan sekadar meraikan ulang tahun korporat.
Sebaliknya, malam tersebut menjadi pentas untuk mengangkat cerita, bakat dan pencapaian rakyat Malaysia yang telah menjadi sebahagian daripada landskap hiburan serta budaya negara.
Semangat Malaysia pada malam itu tidak terhad kepada dunia hiburan sahaja. ‘Light Up Astro’ turut memberikan penghormatan kepada atlet dan legenda sukan yang pernah membawa Jalur Gemilang ke pentas antarabangsa.
Antara yang diraikan ialah legenda skuasy Datuk Nicol Ann David, jaguh rali Karamjit Singh, bekas gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi dan atlet angkat berat Aniq Kasdan.
Turut diberikan penghargaan ialah trio sepak takraw negara, Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias, yang menjadi sebahagian daripada generasi atlet membawa nama Malaysia melalui pencapaian mereka di pentas antarabangsa.
Kehadiran barisan figura sukan ini menjadikan sambutan tersebut lebih bermakna, mengingatkan kita bahawa kisah Malaysia bukan sahaja lahir melalui skrin televisyen atau pawagam, tetapi juga di gelanggang, trek dan arena sukan.
Kemuncak malam hadir menerusi pertunjukan dron yang menerangi ruang udara Dataran Merdeka dengan formasi visual berskala besar.
Formasi khas sempena ulang tahun ke-30 Astro dipersembahkan bersama paparan karya tempatan termasuk Terbang dan Kudrat 1968, menggabungkan teknologi moden dengan semangat penceritaan Malaysia di sebuah lokasi yang begitu dekat dengan sejarah negara.
Kedua-dua judul itu merupakan sebahagian daripada barisan filem baharu Astro yang diketengahkan untuk tahun ini.
Lebih menarik, Kudrat 1968 membawa penonton kembali ke asal-usul dunia Projek: High Council. Naskhah prekuel itu dibangunkan menggunakan pendekatan “satu cerita, dua format”, dengan empat episod siri premium diperkenalkan sebelum kisahnya diperluaskan melalui filem.
Bagi Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, ‘Light Up Astro’ menjadi simbol penghargaan kepada masyarakat yang telah menemani perjalanan Astro sepanjang tiga dekad.
“Apa yang kami harapkan hari ini adalah untuk meraikan seluruh rakyat Malaysia yang sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan kami.
“Kisah-kisah Malaysia yang kami paparkan ini adalah nadi dalam perjalanan Astro sepanjang 30 tahun.
“Kami akan teruskan komitmen untuk membawakan karya-karya yang baharu seperti Kudrat 1968 dan Terbang untuk lebih dekat dengan rakyat Malaysia,” katanya.
Selepas 30 tahun, pendekatan tersebut mencerminkan bagaimana kandungan tempatan kekal menjadi salah satu tunjang Astro, walaupun cara masyarakat menikmati hiburan terus berubah daripada televisyen tradisional kepada penstriman dan kandungan digital.
Jika pertunjukan dron menerangi langit Kuala Lumpur, pentas utama pula dihangatkan dengan persembahan barisan penyanyi tempatan.
Amir Masdi tampil membawakan Menyala, lagu runut bunyi filem Terbang, manakala juara Gegar Vaganza musim kelima, Noryn Aziz, membawa penonton mengimbau beberapa karya Astro Shaw menerusi medley lagu daripada Ombak Rindu, Keluang Man, Cinta Kristal dan Evo.
Barisan pelakon Terbang seperti Zizan Razak, Irfan Zaini, Jack Tan dan Qarina Qarim turut membuat kemunculan, memberikan penonton peluang melihat sendiri wajah di sebalik antara karya yang bakal diketengahkan Astro.
Malam tersebut menjadi lebih meriah apabila pelakon Kudrat 1968 iaitu Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Dai Fuad, Akmal Asyraf, Chech Harith dan Evertt Gomez turut muncul di hadapan khalayak.
Bagi peminat Projek: High Council
, acara tersebut turut mempunyai tarikannya tersendiri. Kehadiran barisan pelakon Kudrat 1968 memberikan keterujaan kepada penonton yang setia menantikan kemunculan mereka.Dianggap sebagai antara siri dan filem yang cukup dinantikan tahun ini, Kudrat 1968 dilihat bakal meneruskan legasi naskhah dalam universe yang sama.
Sharul Kamal membawa penonton menyelami semula dunia tersebut menerusi persembahan lagu Kudrat, Test Drive dan Manifestasi, sekali gus menjadi antara penutup paling bertenaga pada malam berkenaan.
Daripada legenda sukan, pertunjukan dron, filem tempatan hinggalah persembahan muzik, ‘Light Up Astro’ akhirnya membawa satu mesej yang cukup jelas.
Selepas tiga dekad, kisah Malaysia masih menjadi nadi kepada perjalanan Astro.
Dan bersempena Hari Kebangsaan, malam itu bukan sekadar tentang meraikan 30 tahun yang telah berlalu, tetapi menghargai rakyat Malaysia yang telah menjadi sebahagian daripada setiap cerita, setiap detik dan setiap perjalanan.
30 tahun bersama. Terima Kasih, Malaysia