
Kegilaan terhadap kad Pokémon kini bukan lagi sekadar hobi nostalgia kanak-kanak era 90-an. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kad Pokémon telah melonjak menjadi aset koleksi bernilai jutaan dolar, setaraf karya seni dan jam tangan mewah.
Kad-kad rare bukan sahaja menjadi simbol status dalam dunia collector, malah semakin diterima sebagai instrumen pelaburan alternatif, dengan nilai pasaran yang terus meningkat, terutama bagi kad yang mempunyai sejarah, edisi terhad dan penarafan sempurna.
Fenomena Kad Pokémon dan Logan Paul
Terbaru kegilaan hobi ini mencuri tumpuan apabila Logan Paul, personaliti media sosial dan bintang WWE, mengumumkan dia akan melelong kad Pokémon paling mahal di dunia, iaitu PSA 10 Pikachu Illustrator, melalui Goldin Auctions.

Kad tersebut diperoleh Logan Paul pada tahun 2022 dengan harga USD5.3 juta (RM21.54 juta), sekali gus mencipta rekod dunia sebagai kad Pokémon termahal pernah dijual.
Lelongan ini diumumkan sempena ulang tahun ke-30 francais Pokémon, dan mula disenaraikan pada 5 Januari.
Bermula dengan bidaan awal USD1.3 juta (RM4.88 juta), harga telah melonjak melepasi USD2.1 juta (RM8.54 juta) walaupun masih lebih sebulan sebelum tarikh penutupan lelongan pada 15 Februari.
Keunikan Kad Pikachu Illustrator PSA 10
Apa yang menjadikan kad ini luar biasa bukan sekadar harganya, tetapi statusnya dalam dunia koleksi.
Kad Pokémon Pikachu Illustrator ini merupakan antara hanya 40 salinan yang pernah dihasilkan, diberikan kepada pemenang pertandingan ilustrasi Pokémon di Jepun pada tahun 1998.
Namun, versi milik Logan Paul adalah satu-satunya di dunia yang menerima penarafan sempurna PSA 10, menjadikannya benar-benar unik.
Nilai Sentimental Logan Paul terhadap Kad Pokémon
Logan Paul sendiri mengakui bahawa keputusan untuk melelong kad ini bukan sesuatu yang mudah.
Jelasnya dalam satu hantaran di Instagram, “Hati saya benar-benar jatuh bila kad ini terlepas dari tangan. Kad Pikachu Illustrator PSA 10, iaitu kad Pokémon paling jarang dan paling bernilai di dunia, kini secara rasmi dilelong.”

Kad ini juga mempunyai nilai sentimental yang besar buat Logan Paul. Dia pernah memakai kad tersebut ketika membuat kemunculan sulungnya di WrestleMania 38, detik yang turut menyaksikan kad ini mencipta Rekod Dunia Guinness sebagai kad Pokémon paling mahal dalam sejarah.
Lelongan Kad Pokémon Termahal Dunia
Lebih menarik, lelongan ini tidak melibatkan kad semata-mata. Logan Paul turut menyertakan rantai Pokémon bertatahkan permata bernilai USD75,000.
Ia merupakan rantai dipakai olehnya ketika debut WWE dan pertarungan terbarunya, selain menawarkan pengalaman eksklusif dengan penghantaran peribadi kepada pembida yang berjaya.
View this post on Instagram
Menggambarkan betapa istimewanya kad ini dalam dunia koleksi, Logan Paul menyifatkannya sebagai sesuatu yang tiada bandingan.
“Ini adalah satu daripada satu. Mona Lisa dunia koleksi. Kad paling terkenal dalam sejarah manusia,” tambahnya lagi.

Lelongan Pokémon Terbesar Dalam Sejarah
Dia turut menyatakan keyakinan bahawa lelongan ini bakal mencipta sejarah baharu. Menurut Logan Paul lagi, gabungan kad legenda ini dengan barangan koleksi lain menjadikan acara tersebut sebagai antara lelongan Pokémon terbesar pernah dianjurkan, malah beliau sendiri mengakui akan turut membida item koleksi lain yang ditawarkan.
BACA: Lewis Hamilton Wajah Koleksi Train Winter 2025 lululemon, Fokus Prestasi dan Mindset
Dengan penutupan lelongan dijadualkan pada 15 Februari dan acara siaran langsung pembukaan kotak Pokémon edisi pertama dirancang selepas itu, perhatian dunia koleksi kini tertumpu kepada satu persoalan besar.
Sebenarnya berapa had harga yang sanggup dibayar oleh collector sekeping kad Pokémon yang dianggap sebagai karya agung dunia Pokémon?
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




