Gaya Hidup

Louis Vuitton Hasilkan Trofi Trunk Ikonik FIFA World Cup 2026 Untuk Pentas Final

Share

Jenama mewah dari Perancis, Louis Vuitton, sekali lagi mengukuhkan kedudukannya dalam dunia sukan antarabangsa apabila diumumkan sebagai Official Supplier dan Official Branded Licensee bagi FIFA World Cup 2026.

Menerusi kerjasama terbaharu ini, Louis Vuitton diberi tanggungjawab menghasilkan Official Trophy Trunk, iaitu kotak khas yang digunakan untuk membawa dan mempamerkan trofi Piala Dunia FIFA, salah satu trofi paling berprestij dalam dunia sukan.

Bukan sekadar berfungsi sebagai bekas penyimpanan, Trophy Trunk telah menjadi sebahagian daripada tradisi Piala Dunia sejak lebih sedekad lalu. Ia akan kembali menjadi tumpuan apabila dibawa masuk ke padang menjelang aksi final FIFA World Cup 2026, diiringi seorang duta Louis Vuitton bersama seorang legenda FIFA, meneruskan protokol ikonik yang diperkenalkan sejak edisi 2010.

Rekaan Mewah Hasil Sentuhan Tukang Kraf Louis Vuitton

Seperti karya-karya eksklusif Louis Vuitton yang lain, Trophy Trunk untuk FIFA World Cup 2026 dihasilkan sepenuhnya oleh tukang kraf berpengalaman di bengkel bersejarah jenama itu di Asnières-sur-Seine, berhampiran Paris.

Bahagian luar trunk disaluti dengan Monogram Canvas yang menjadi identiti Louis Vuitton sejak sekian lama.

Apa yang paling menarik perhatian ialah dua panel hadapan yang dihiasi dengan huruf “V” berwarna emas, dilukis menggunakan tangan. Huruf tersebut membawa dua makna penting, iaitu “Victory” dan “Vuitton”, selain menggunakan tona emas yang menyerlahkan warna trofi Piala Dunia FIFA.

Kemasan luar turut dilengkapi dengan trim kulit tradisional yang dikenali sebagai lozines, bersama pelindung bucu daripada loyang bersadur emas, sistem kunci serta pengikat yang diinspirasikan daripada rekaan asal Louis Vuitton sejak era 1860-an.

Di bahagian dalam pula, trunk ini menggunakan lapisan kulit berwarna beige cerah dan menampilkan logo kerjasama rasmi antara Louis Vuitton dan FIFA pada bahagian penutup.

Simbol Prestij Piala Dunia

Ketua Pegawai Perniagaan FIFA, Romy Gai, menyifatkan Louis Vuitton sebagai jenama yang mempunyai gabungan unik dari segi warisan, ketukangan serta prestij.

Menurutnya, trofi Piala Dunia merupakan hadiah paling berprestij dalam sukan bola sepak dan sudah semestinya layak dibawa menggunakan trunk yang dihasilkan oleh Louis Vuitton.

Beliau turut menjelaskan bahawa detik trofi dibawa masuk ke padang sebelum perlawanan akhir kini menjadi antara momen paling dinanti-nantikan oleh jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia kerana ia menghubungkan tradisi dengan kemuncak kejohanan moden.

Kerjasama Lebih Sedekad Bersama FIFA

Hubungan antara Louis Vuitton dan FIFA bukanlah sesuatu yang baharu.

Sejak tahun 2010, jenama fesyen mewah itu telah menghasilkan Trophy Trunk bagi setiap edisi Piala Dunia FIFA bermula di Afrika Selatan, diikuti Brazil 2014, Rusia 2018 dan Qatar 2022.

Sepanjang tempoh tersebut, Louis Vuitton memperkenalkan konsep “Victory Travels in Louis Vuitton”, yang menggambarkan bagaimana trofi paling berprestij dalam bola sepak dunia mengembara ke seluruh dunia menggunakan trunk eksklusif hasil ciptaan rumah fesyen tersebut.

Kerjasama yang diteruskan untuk FIFA World Cup 2026 membuktikan kepercayaan berterusan FIFA terhadap kualiti, nilai seni serta ketelitian yang menjadi identiti Louis Vuitton.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Louis Vuitton, Pietro Beccari, berkata kedua-dua organisasi berkongsi komitmen yang sama terhadap kecemerlangan dan percaya bahawa sukan mempunyai kuasa untuk menyatukan manusia tanpa mengira latar belakang.

Beliau menyifatkan trofi Piala Dunia sebagai simbol dedikasi, cita-cita bersama dan kemuncak kejayaan yang diraikan oleh seluruh dunia.

Koleksi Edisi Terhad Turut Diperkenalkan

Selain Trophy Trunk rasmi, Louis Vuitton turut memperkenalkan koleksi edisi terhad sempena FIFA World Cup 2026.

Koleksi tersebut diinspirasikan daripada rekaan trunk rasmi dan terdiri daripada tiga produk eksklusif.

Antaranya ialah Coffret 8 Montres, sebuah kotak mewah yang mampu menyimpan sehingga lapan utas jam tangan pada kusyen boleh tanggal.

Turut diperkenalkan ialah Cotteville 16 Montres, sebuah kotak dengan dulang boleh tanggal yang boleh memuatkan sehingga 16 utas jam tangan.

Bagi mereka yang mahukan trunk bersaiz lebih besar, Louis Vuitton turut menawarkan Malle Courrier Lozine 110, sebuah trunk premium yang mengekalkan elemen rekaan ikonik jenama tersebut.

Kesemua produk dalam koleksi ini menggunakan Monogram Canvas, logo rasmi FIFA World Cup yang dilukis menggunakan tangan serta huruf “V” berwarna emas sebagai identiti utama.

BACA: 5 Indikasi Menunjukkan Anda Bersedia Sertai HYROX

Gabungan Bola Sepak, Warisan Dan Kemewahan

Kerjasama antara FIFA dan Louis Vuitton memperlihatkan bagaimana dunia sukan dan dunia fesyen mewah semakin saling melengkapi dalam menghasilkan pengalaman yang lebih eksklusif kepada peminat.

Walaupun perhatian utama pada FIFA World Cup 2026 pastinya terarah kepada aksi di atas padang, kehadiran Trophy Trunk ikonik ini dijangka sekali lagi mencuri perhatian sebelum sepak mula final berlangsung.

Ia bukan sekadar kotak untuk membawa trofi, tetapi simbol kepada ketukangan bertaraf dunia, tradisi yang dikekalkan sejak lebih sedekad lalu serta detik bersejarah apabila trofi paling diidamkan dalam bola sepak dunia diserahkan kepada juara baharu.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim