Gaya Hidup

“Mandul Bukan Isu Wanita Sahaja” – Hun Haqeem Seru Lelaki Buang Ego, Ambil Tanggungjawab

Share

Dalam masyarakat kita, isu kemandulan sering dikaitkan dengan wanita.

Namun pelakon popular, Hun Haqeem tampil memecah norma apabila menyeru kaum lelaki supaya tidak takut untuk menjalani ujian kesuburan sebagai satu usaha adil dalam usaha mendapatkan zuriat.

Menurut Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, 27, ujian kesuburan seharusnya menjadi tanggungjawab bersama, bukan beban yang ditanggung sebelah pihak sahaja.

Tambahnya, tidak wajar jika lelaki hanya ‘suruh’ wanita jalani pemeriksaan, sedangkan mereka sendiri enggan berbuat perkara sama.

“Kalau tanya saya, sudah pasti saya akan buat ujian kesuburan. Saya rasa lelaki lain pun patut ambil pendekatan ini. Bukannya tunggu pasangan je yang check. Baru adil untuk kedua-dua pihak dan kita tahu di mana punca sebenar kalau ada masalah,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama

Thariq Ridzuwan: His Treasure dan Mandul Bukan Pilihan, baru-baru ini.
Foto : mStar

Hun turut menegaskan bahawa komunikasi yang baik antara pasangan sangat penting dalam menangani isu sebegini.

“Benda macam ni sensitif, tapi penting. Kalau ada masalah, jangan salahkan satu sama lain. Duduk bincang elok-elok, cari jalan penyelesaian sama-sama. Komunikasi tu asas rumah tangga yang sihat.”

Pelakon Dua Wajah itu kini muncul dalam drama terbaru Mandul Bukan Pilihan yang menggandingkannya bersama pelakon hebat seperti Mira Filzah, Ayda Jebat dan Ashraf Muslim.

Drama ini secara tidak langsung mengangkat topik yang sering diselindungkan dalam masyarakat masalah kesuburan lelaki.

Lelaki dan Kemandulan Masih Jadi Topik Tabu?

Dalam masyarakat yang masih menganggap kesuburan sebagai isu ‘wanita semata-mata’, kenyataan Hun ini dianggap satu langkah berani.

Ia bukan sahaja membuka ruang untuk kesedaran, tapi juga menyeru lelaki agar buang ego dan mula bertindak lebih bertanggungjawab.

“Kesuburan bukan isu gender. Bila kita nak bina keluarga, dua-dua kena main peranan. Jangan malu untuk tahu tentang kesihatan diri sendiri,” ujarnya.

Foto : Sirap Limau

BACA LAGI : Lebih Ramai Rakyat Malaysia Ambil Suplemen, Tapi Adakah Ia Benar-Benar Selamat?

Kesedaran Bermula Dengan Keberanian

Apa yang diketengahkan oleh Hun Haqeem ini sepatutnya menjadi pemula kepada perbualan yang lebih terbuka dalam kalangan masyarakat terutamanya di antara pasangan muda yang sedang merancang untuk berkahwin atau menimang cahaya mata.

Langkah pertama selalunya sukar, terutama bila berkait dengan ego dan stigma.

Tapi jika lelaki berani untuk ambil tahu dan bertindak lebih awal, ia bukan sahaja mampu menyelamatkan rumah tangga, malah dapat mengurangkan tekanan emosi yang sering ditanggung secara senyap oleh isteri.

Bila dua-dua pihak main peranan, barulah impian untuk membina keluarga itu menjadi realiti bukan sekadar angan-angan.

Sumber : OhBulan!

Subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

 

Published by
Darwisy Farain