Inspirasi

Membina Arah Baharu, Daniel Woodroof Kongsi Perjalanan Dari Litar ke Dunia Bisnes

Share

Dalam dunia kerjaya hari ini, laluan yang terbentang bukan sentiasa lurus. Ramai bermula dengan satu identiti, tetapi akhirnya perlu beradaptasi apabila realiti berubah.

Bagi Daniel Woodroof, peralihan itu bukan sekadar menukar bidang, tetapi proses membina semula siapa dirinya. Daripada dunia perlumbaan yang penuh tekanan kepada memimpin perniagaan sendiri, setiap fasa datang dengan cabaran yang menguji fokus, disiplin dan ketahanan mental.

Kini menerajui syarikatnya sendiri, Pandan Social, Daniel melihat kejayaan bukan hanya tentang hasil, tetapi bagaimana seseorang membuat keputusan di bawah tekanan, mengurus ketidakpastian dan kekal jelas dengan hala tuju.

Mendekati personaliti ini dengan lebih dekat, Maskulin melontarkan beberapa soalan yang menyentuh tentang perjalanan, cabaran serta cara beliau mentakrifkan kejayaan dalam lanskap kerjaya yang pantas berubah.

Datang daripada latar belakang motorsports yang bertekanan tinggi, bagaimana persekitaran itu membentuk cara anda membuat keputusan sebagai CEO hari ini?

Secara jujurnya, latar belakang motorsports banyak mengubah cara saya membuat keputusan sebagai CEO. Dalam dunia perlumbaan, anda sentiasa perlu buat keputusan dalam masa yang sangat singkat dengan maklumat yang terhad.

Anda cepat belajar bahawa menunggu terlalu lama selalunya lebih buruk daripada membuat keputusan yang “sempurna”. Saya bawa prinsip itu ke dalam dunia perniagaan, jadi saya selesa bergerak dengan sekitar 70-80% kejelasan dan menyesuaikan diri apabila keadaan berubah.

Ia juga melatih saya untuk kekal tenang di bawah tekanan. Apabila sesuatu berlaku secara mendadak, anda tak boleh panik. Anda hanya fokus dan selesaikan apa yang ada di depan mata. Jadi dalam kerja sekarang, walaupun situasi menjadi tegang, saya kekal stabil dan pecahkan masalah satu per satu.

Selain itu, ia juga membentuk saya jadi sangat berpegang kepada rasa bertanggungjawab. Dalam perlumbaan, anda bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala perkara, sama ada baik atau buruk. Saya cuba bawa mindset itu dalam cara saya memimpin dan membuat keputusan bersama pasukan.

Ramai melihat kejayaan Pandan Social hari ini, tetapi apakah titik terendah dalam perjalanan anda dan pengajaran yang anda peroleh?

Saya rasa titik terendah itu bukan satu detik dramatik, tetapi lebih kepada fasa awal di mana semuanya tidak menjadi seperti yang kami jangkakan. Kami ada cita-cita dan idea, tetapi masih mencari identiti sebenar Pandan Social dan bagaimana nak jadikan ia sesuatu yang mampan.

Ada ketika rasa tidak pasti, seolah-olah kami bekerja keras tetapi belum nampak hasilnya. Fasa itu mengajar saya tentang kesabaran dan kejelasan. Saya sedar, kita tak boleh tergesa-gesa membina sesuatu yang bermakna hanya kerana mahu hasil cepat. Kami perlu perlahan, lebih strategik dan lebih jelas arah tuju, bukan cuba buat semua benda serentak.

Bila diingatkan kembali, fasa itu memang mencabar, tapi sangat penting kerana ia memaksa kami memperhalusi fokus. Itulah yang membentuk Pandan Social seperti hari ini.

Anda pernah membuat pitching kepada CEO untuk mendapatkan penajaan ketika zaman perlumbaan. Apa pelajaran paling berharga tentang ‘menjual diri’ yang anda pelajari?

Saya rasa pelajaran paling besar ialah orang tidak melabur semata-mata pada hasil, tetapi pada kejelasan dan keyakinan.

Dulu, saya terlalu fokus kepada pencapaian dan data prestasi, fikir itu sudah cukup. Tetapi saya cepat sedar bahawa saya hanya bercakap tentang diri sendiri dan meminta jumlah yang besar, tanpa benar-benar memahami apa yang klien mahukan, apa masalah mereka, dan bagaimana saya boleh bantu.

Sebenarnya, kita perlu tawarkan solusi yang sebenar, bukan sekadar letak logo mereka pada kereta perlumbaan, yang selalunya itulah permintaan naif ramai pemandu.

Pembuat keputusan lebih tertarik kepada sejauh mana anda boleh jelaskan hala tuju anda dengan jelas, dan sama ada mereka boleh percaya pada apa yang anda perjuangkan, bukan sekadar angka.

Sejak itu, saya ubah pendekatan. Saya berhenti cuba membuktikan diri dan mula fokus kepada kejelasan tentang siapa saya, apa yang saya bina, dan kenapa ia penting.

Mindset ini saya bawa ke dalam perniagaan hari ini. Dalam setiap pitching, kami lebih empati dan cuba selesaikan masalah sebenar klien, bukan sekadar menjual servis untuk keuntungan.

Dalam dunia hari ini, ramai lelaki bergelut dengan identiti dari segi kerjaya, jangkaan dan ego. Adakah anda pernah mengalami fasa ketidakpastian ketika beralih daripada seorang pelumba ke usahawan?

Ya, saya memang melalui fasa itu. Apabila saya berhenti berlumba dan beralih ke bidang lain, saya tidak begitu pasti apa tujuan sebenar saya. Perlumbaan memberi identiti yang sangat jelas. Orang kenal saya sebagai pelumba, dan saya sendiri faham siapa diri saya dalam ruang itu.

Apabila ia berubah, ia ambil masa untuk menyesuaikan diri. Bukan saya meragui keputusan itu, tetapi saya perlu mencari semula siapa diri saya di luar dunia tersebut. Dalam perniagaan, tiada struktur atau pengiktirafan yang sama, jadi kita bermula dari kosong.

Lama-kelamaan, saya belajar untuk menerima keadaan itu. Saya sedar kita tak perlu kekal dalam satu versi diri sahaja. Kita boleh berkembang menjadi sesuatu yang baharu.

Bagi saya, itu bermaksud menjadi bekas pelumba, pemilik pasukan, jurulatih pemandu, pemilik akademi perlumbaan, pemilik agensi, hos TV dan banyak lagi.

Sebagai pemimpin muda, bagaimana anda menyeimbangkan antara mendapatkan rasa hormat dan kekal dekat dengan pasukan?

Bagi saya, semuanya tentang konsistensi dan kejujuran. Saya tak cuba nampak seperti tahu semua perkara, tetapi saya pastikan saya jelas tentang hala tuju dan apa yang saya jangkakan, termasuk daripada diri sendiri.

Rasa hormat datang secara semula jadi apabila pasukan melihat anda bukan sekadar memberi arahan, tetapi turut bekerja bersama mereka dan bertanggungjawab apabila berlaku kesilapan. Pada masa sama, saya tak mahu wujud jurang tanpa sebab. Penting untuk kekal mudah didekati dan faham apa yang berlaku di peringkat bawah.

Malah, kami strukturkan perkara ini dalam syarikat melalui sesi one-on-one setiap bulan dengan setiap ahli pasukan, supaya ada komunikasi dua hala yang konsisten. Jadi bagi saya, ia tentang keseimbangan. Tegas apabila perlu, tetapi kekal manusiawi dan hadir bersama pasukan setiap hari.

Adakah seseorang yang anda kagumi dan bagaimana individu itu mempengaruhi cara anda memimpin serta mentakrifkan kejayaan?

Secara umum, saya tidak ada seorang individu tunggal yang menjadi inspirasi utama. Saya lebih cenderung mengambil yang terbaik daripada pelbagai individu dan menyesuaikannya dengan apa yang saya rasa sesuai dengan matlamat saya.

Namun, jika perlu sebut seorang, saya akan pilih Patrick Grove. Apa yang beliau bina di rantau Asia Tenggara sangat mengagumkan, terutamanya cara beliau mengembangkan perniagaan merentasi pelbagai industri.

Daripada membina perniagaan digital melalui Catcha Group, kepada masuk ke industri hospitaliti mewah dengan Amber Lounge, beliau terus berkembang ke pelbagai pengalaman global, sambil kekal berpegang kepada identiti jenama dan hala tuju yang jelas.

Bagaimana anda mentakrifkan lelaki moden hari ini? Adakah ia masih tentang dominasi, atau sudah berkembang kepada sesuatu yang lebih kompleks seperti kecerdasan emosi?

Saya rasa kita sudah mula keluar daripada stereotaip ‘alpha male’ yang lama, walaupun ada beberapa elemen yang masih relevan.

Masih ada jangkaan seperti menjadi pemimpin dan penyedia, tetapi pada masa sama, perkara seperti empati, memahami emosi sendiri, mengawal emosi, serta adab dan cara membawa diri juga sangat penting. Ia lebih kepada keseimbangan antara semua elemen ini.

Jika anda boleh kembali dan memberi nasihat kepada diri anda pada usia 18 tahun, apa yang anda akan katakan?

Nikmati perjalanan dan hadapi setiap fasa dengan tenang. Sejak remaja, saya memang sudah ada prinsip “screw it and do it”, jadi mungkin saya hanya akan ingatkan diri sendiri untuk terus pegang prinsip itu hingga ke awal dewasa. Ia adalah sikap yang tepat ketika anda masih dalam proses mencari arah hidup.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Fiezreen