Inspirasi

Mengapa Ramai Jurutera Beralih Menjadi Usahawan?

Share

Perbincangan mengenai kecenderungan seseorang individu yang berlatar belakang seorang jurutera untuk memasuki bidang perniagaan mencuri perhatian media sosial hari ini. Dengan ramai pengguna mengaitkannya dengan kemahiran penyelesaian masalah yang dipelajari sepanjang pengajian.

Perbincangan itu bermula selepas seorang pengguna Threads, muham_dzul, Mempersoalkan mengapa beberapa tokoh perniagaan yang mempunyai latar belakang kejuruteraan memilih untuk menjadi usahawan.

Antara nama yang disebut beliau termasuk jenama makanan dan pencipta kandungan Khairul Aming, pengasas MR DIY Tan Yu Yeh, pengasas Sapura Group, Tan Sri Shamsudin Abdul Kadir serta pengasas Kopi Saigon, Asyraf Kamal.

Persoalan tersebut kemudian mendapat perhatian umum dan mendapat pelbagai reaksi dari pengguna aplikasi berkenaan yang berkongsi pandangan berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang kejuruteraan dan perniagaan.

Kemahiran penyelesaian masalah jadi kelebihan

Antara pandangan yang paling banyak dikongsi ialah latihan kejuruteraan banyak membentuk kemahiran penyelesaian masalah, berfikiran kritikal, menganalisis dan pengurusan proses.

Seseorang pengguna menyifatkan terdapat persamaan antara cara seseorang jurutera dan usahawan berfikir kerana kedua-duanya perlu mengenal pasti masalah sebelum mencari penyelesaian.

Engineer biasanya pandai untuk cepat solve the problem. Businessman pula kena tahu masalah mana yang berbaloi untuk diselesaikan, siapa yang sanggup bayar dan bagaimana hendak melaksanakannya,” menurut satu komen dalam perbincangan tersebut.

Pandangan lain juga mengatakan jurutera terbiasa melihat sesuatu masalah sebagai satu sistem, termasuk mengenal pasti punca, risiko, proses dan penyelesaian yang paling efisien.

Masalah boleh menjadi peluang perniagaan

Menurut pengguna lain, kemahiran tersebut boleh dipindahkan ke dunia perniagaan apabila seseorang mula melihat masalah pengguna sebagai peluang untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan.

Dalam konteks keusahawanan, penyelesaian kepada sesuatu masalah bukan sahaja perlu berfungsi, tetapi perlu mempunyai nilai kepada pengguna dan mempunyai pasaran.

BACA JUGA “Respect The Sport And Respect Your Body”, Dr Say Ingatkan Jangan Ambil Mudah Cabaran HYROX

Pendekatan itu menyebabkan sesetengah jurutera melihat peluang perniagaan daripada masalah yang berlaku dalam kehidupan seharian.

Malah, seorang pengguna berkongsi pengalaman seorang pemegang ijazah  kejuruteraan mekanikal yang memilih untuk ,menghasilkan dan menjual daging wagyu tempatan selepas melihat terdapat kekurangan produk tersebut di kawasan kelantan.

Bukan semua jurutera mahu menjadi usahawan

Bagaimanapun, perbincangan itu turut mengingatkan bahawa tidak semua individu dalam bidang kejuruteraan mempunyai keinginan untuk berniaga.

Sebahagian mereka berkata memilih untuk kekal dalam bidang teknikal kerana menyukai pekerjaan tersebut, selain menghargai kestabilan kerjaya.

Ada juga berpandangan bahawa keputusan untuk menjadi usahawan tidak semestinya berkaitan dengan latar belakang akademik, sebaliknya dipengaruhi oleh personaliti, peluang, keadaan pasaran serta kesediaan mengambil risiko.

Daripada menyelesaikan masalah kepada menjual penyelesaian

Secara keseluruhannya, perbincangan tersebut mencetuskan satu perspektif menarik mengenai hubungan antara kejuruteraan dan keusahawanan.

Jurutera dilatih untuk menyelesaikan masalah, manakala usahawan perlu mengenal pasti masalah yang bernilai untuk diselesaikan.

Apabila kemahiran teknikal, pemikiran kritikal dan kebolehan melaksanakan idea digabungkan dengan kemahiran perniagaan, ia boleh menjadi satu kelebihan kepada individu yang mahu membina syarikat sendiri.

Namun satu perkara yang jelas daripada perbincangan itu ialah ijazah kejuruteraan tidak menjadikan seseorang secara automatik seorang usahawan.

Sebaliknya, cara berfikir yang terbentuk melalui latihan kejuruteraan mungkin menjadi salah satu faktor yang membantu sesetengah individu melihat masalah bukan sebagai halangan, tetapi sebagai peluang untuk mencipta sesuatu yang bernilai.

Sumber threads : muham_dzul

Published by
Erwannizam Osmand