Sukan

Merdeka Food Run 2025 Kembali Lagi, Raikan Kecergasan & Apresiasi Makanan Tempatan

Share

Kalau ada satu benda yang mampu satukan rakyat Malaysia tanpa gagal, jawapannya mudah – makanan! Dan kalau makanan tu boleh datang sekali dengan gaya hidup sihat serta semangat patriotik, itu bukan sekadar acara, itu satu pengalaman.

Itulah yang bakal dibawakan oleh the Curve Merdeka Food Run 2025 yang bakal berlangsung pada 30 Ogos 2025.

Kali ini penganjurannya dikatakan dengan skala lebih besar, lebih meriah dan yang pasti, lebih sedap.

Foto: Merdeka Food Run 2024

Tahun lalu, acara ini berjaya menarik 1,500 peserta dan tahun ini agka tersebut dijangka akan berganda kepada 3,000 penyertaan. Menariknya penyertaan ini dari pelbagai latar belakang, keluarga, kaki lari, kaki makan dan sesiapa yang cintakan Malaysia.

Larian sejauh 5KM ini akan bermula dari Piazza pada jam 7.30 pagi. Tetapi ini bukan sekadar tentang peluh dan langkah pantas.

PELBAGAI HIDANGAN SEPANJANG LARIAN

Sepanjang laluan, peserta akan disajikan dengan pelbagai hidangan tempatan seperti nasi lemak, karipap, satay dan banyak lagi di beberapa pit stop khas. Ya, ini larian yang tak perlukan carbo loading sebelum mula sebab carbo tu ada sepanjang jalan.

“Rakyat Malaysia sentiasa berkongsi ikatan yang kuat melalui makanan, dan tiada cara yang lebih baik untuk meraikan Merdeka selain menyatukan semua melalui dua minat utama negara kita iaitu makanan dan kebersamaan,” kata Ketua Pegawai Operasi Boustead Properties Berhad, En Jazmi Kamarudin.

Foto: Merdeka Food Run 2024

Lebih dari sekadar bersenam atau makan, acara ini juga membawa misi lebih besar, memupuk gaya hidup sihat, meraikan warisan budaya, dan membina hubungan komuniti.

Semangat Merdeka diangkat melalui penyertaan terbuka, dari pelari serius hinggalah ke keluarga dan rakan-rakan yang hanya mahu merasai kemeriahan hari itu.

Pendaftaran dibuka hingga 3 Ogos 2025, dan ada diskaun khas untuk penyertaan berkumpulan iaitu seramai 4 orang. Pakej korporat juga ditawarkan bagi syarikat yang mahu menjadikan acara ini sebagai platform kesihatan dan semangat berpasukan untuk pekerja.

Bukan itu saja, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai RM10,000. Siapa tahu, mungkin anda pulang bukan sekadar kenyang dan letih, tapi juga bertuah.

Acara ini juga merupakan sebahagian daripada kempen Merdeka sepanjang Ogos oleh the Curve, yang turut melibatkan aktiviti kebudayaan dan komuniti, semuanya bertemakan kesihatan, warisan dan keharmonian.

BACA: ECU Kereta Anda ‘Sakit’? Fahami Isyaratnya & Cara Diagnosis Masalah Sebenar

Pendek kata, kalau anda cari acara yang bukan sekadar lari kosong atau sekadar makan-makan, the Curve Merdeka Food Run 2025 adalah tempatnya. Lari untuk kesihatan, nikmati makanan untuk jiwa dan raikan Merdeka dengan cara paling Malaysia.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim