
Pada usia 16 tahun petarung muda nii mengharumkan nama negara di temasya Sukan SEA berlangsung di Thailand. Sekali lagi nama keluarga Ghazali menjadi sebutan rakyat Malaysia terutamanya di kalangan peminat muay thai selepas Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar atau mesra dipanggil Miki, menghadiahkan pingat emas buat Malaysia.
Mikail Ghazali membuktikan bahawa bakat luar biasa yang digilap dengan disiplin, strategi dan ketenangan mental mampu menewaskan tekanan besar di gelanggang lawan.

Kejayaan Cemerlang Mikail Ghazali di Sukan SEA
Beraksi di Stadium Tinju Lumpinee yang cukup ikonik, Mikail Ghazali berjaya menepati ramalan apabila menundukkan wakil tuan rumah, Suphakon Sirilun, dengan keputusan tipis 29-28 dalam aksi final kategori lelaki bawah 57 kilogram.
Walaupun sorakan penyokong Thailand bergema sepanjang perlawanan, atlet muda negara itu kekal fokus dan berani mengawal rentak perlawanan sejak awal.

Johan Ghazali Puji Persiapan dan Mental Juara
Menurut abangnya yang juga bintang ONE Championship, Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo, kejayaan Mikail Ghazali bukan hadir secara kebetulan, sebaliknya hasil persiapan yang sangat rapi dan analisis mendalam terhadap lawan.
“Setiap pertandingan Sukan SEA sangat sengit kerana ia bukan tentang menentang seorang lawan sahaja,” jelas Johan yang bertindak sebagai jurulatih Mikail di Bangkok.

“Kami perlu mengkaji semua lawan yang berpotensi. Di Sukan SEA, setiap perlawanan memerlukan fokus maksimum kerana anda bertanding hampir setiap hari dan perlu mengekalkan berat badan. Setiap lawan pula mempunyai gaya bertarung yang berbeza.”
Persiapan Mental dan Strategi Kemenangan
Johan turut menegaskan bahawa cabaran di kejohanan pelbagai hari seperti Sukan SEA jauh berbeza berbanding kejohanan biasa. Menurutnya, aspek fizikal dan mental perlu berada pada tahap tertinggi sepanjang kejohanan.
“Di perlawanan akhir menentang petarung Thailand, kami sudah lama mengkaji pergerakan dan corak pertarungannya. Alhamdulillah, strategi yang digunakan tepat dan membantu Mikail Ghazali memenangi perlawanan,” tambah Johan.

Persembahan Mantap dan Disiplin Tinggi
Dalam perlawanan akhir tersebut, Mikail Ghazali mempamerkan kematangan luar biasa dengan menguasai dua pusingan pertama melalui kawalan jarak, serangan balas yang kemas dan pertahanan yang disiplin.
Walaupun Suphakon cuba bangkit pada pusingan ketiga, Mikail kekal konsisten sehingga tamat perlawanan untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya.
![]()
Kebangkitan Muay Thai Malaysia di Sukan SEA
Kejayaan Mikail Ghazali menjadi antara detik paling manis buat kem muay thai negara di Sukan SEA kali ini. Selain pingat emas Mikail, skuad negara turut mencatat kejayaan cemerlang menerusi Wassof Rujiman dalam kategori lelaki 54 kilogram serta Yan Jia Chi bagi acara wanita Wai Kru.
Secara keseluruhan, pasukan muay thai Malaysia membawa pulang tiga pingat emas, tiga perak dan empat gangsa, satu peningkatan ketara berbanding pencapaian di edisi Hanoi 2022 yang hanya menyaksikan satu emas dan satu perak. Pencapaian ini lebih bermakna memandangkan sukan muay thai tidak dipertandingkan pada edisi Phnom Penh 2023.
BACA: WWC Tiada Kelulusan, Jojo Ghazali Tegur Tindakan Penganjur Memalukan Sukan
Hubungan Adik Beradik dan Inspirasi Kemenangan
Kehadiran Johan di sudut gelanggang sebagai jurulatih juga memberi dimensi emosi yang istimewa buat kemenangan Mikail Ghazali.
Ikatan adik beradik itu jelas memberi kekuatan tambahan, dengan Johan bukan sahaja berperanan sebagai abang, tetapi juga mentor dan sumber motivasi di saat genting.
Kejayaan Mikail Ghazali bukan sekadar satu pingat emas, tetapi simbol kebangkitan generasi baharu muay thai Malaysia.
Dengan usia yang masih muda, disiplin latihan yang tinggi serta sokongan keluarga dan pasukan kejurulatihan, Mikail dilihat memiliki potensi besar untuk mengharumkan nama negara di peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




